Monday, July 25, 2016

Eh....malunyaa.....weh!

Monday, 25 July 2016
1MDB AUTOMATIK MENJADIKAN MALAYSIA DIKENALI SEBAGAI NEGARA PENCURI

Tidak semena-mena perkataan kleptokrasi tiba-tiba popular dan menjadi sebutan ramai di sebalik tindakan menggemparkan dunia yang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS mahu menyita harta-harta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Menurut kenyataan yang dibacakan oleh Peguam Negara AS, tindakan menyita harta-harta berjumlah kira-kira RM4,000 juta berkaitan 1MDB yang dilakukannya adalah di bawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi.

Buat seketika ramai yang tidak tahu apa itu makna kleptokrasi. Barangkali majoriti kita tidak pernah pun mendengar perkataan itu sebelum ini. Setelah ditinjau dalam google dan dicari maklumat dalam wikipedia, kleptokrasi rupa-rupanya memberi makna yang cukup memalukan kepada Malaysia.
Dalam ertikata mudah, kleptokrasi adalah kerajaan pencuri yang mencuri duit rakyat untuk memperkayakan diri sendiri dan kelompok tertentu yang dekat dengan pemimpinnya. Secara langsung ia sangat bertentangan dengan makna dan amalan demokrasi yang dijunjung selama ini. 

Di media-media sosial, barangkali untuk kemudahan pakcik kampung dan makcik Felda memahaminya, kleptokrasi disimpulkan berasal daripada cantuman perkataan "klepet"  dan "kelentong" yang berselindung di sebalik demokrasi.

Sebab itu, dalam kenyataan yang disebut oleh Jabatan Kehakiman AS, harta-harta yang disita berkaitan 1MDB itu akan dikembalikan semula kepada pemunya asalnya.

Rupa-rupanya juga, dalam kita bergembira kerana AS mahu mengembalikan semula harta-harta yang disita itu kepada kita, Malaysia juga turut mendapat malu kerana kini lebih dikenali sebagai negara kleptokrasi.

Dalam kenyataan yang disebut oleh Jabatan Kehakiman, selain harta-harta yang bakal disita, mereka juga tanpa ragu-ragu mengatakan wang RM2,600 juta yang dimasukkan ke akuan peribadi Malaysian Official 1 adalah juga berasal daripada 1MDB.

Makna kata, dalam maklumat yang ada dalam tangan Jabatan Kehakiman AS dan FBI, tidak ada sama sekali individu Timur Tengah, anak raja Arab atau sesiapa yang lain yang kononnya pernah ditemui oleh Zahid Hamidi yang dikenalpasti sebagai penderma wang tersebut.

Curi jugalah maksudnya wang RM2,600 juta itu.

Hanya kerana 1MDB, Najib Razak dan Jho Low, seluruh dunia dalam sekelip mata mula mengenali negara kita sebagai negara pencuri. 

Malu beb...melainkan bagi mereka yang sama-sama pencuri.
Keadaan ini, mahu tidak mahu, dengan sendirinya meletakkan beban yang berat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tahun-tahun mendatangnya. Tentunya tidak ada di antara kita yang waras mahu Malaysia terus dikenali sebagai kleptokrasi atau negara pencuri.

Di dunia moden sekarang, tidak ada negara lain yang dilabel sebagai negara pencuri melainkan negara kita. Pelabur dan pelancong tentu saja akan memikir lebih daripada sekali untuk datang ke sini selepas ini.

Kecuali bagi yang tiada rasa malu, tidak terhina walau sedikit pun atau terus bergantung kepada dedak dalam kehidupan, menyingkirkan Najib, sama ada dalam masa terdekat atau ketika pilihanraya nanti, sudah menjadi keutamaan  buat semua kita.

Jika tidak, Malaysia akan terus dikenali sebagai negara pencuri untuk selama-lamanya. (SH 25/07/2016) - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa