Thursday, July 21, 2016

Isu 1MDB: Azmin yang minta Najib berterus terang?

AZMIN GESA NAJIB BERTERUS-TERANG ISU 1MDB SEKARANG
by MAHADZIRA AL BAQI - 2016-07-21
NAJIB RAZAK DIGESA BERTERUS-TERANG BERHUBUNG SKANDAL 1MDB BERIKUTAN TINDAKANS SAMAN JABATAN KEHAKIMAN (DOJ) AMERIKA SYARIKAT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak digesa untuk berterus-terang berhubung skandal 1MDB berikutan pengumuman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bahawa ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk merampas aset yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu.

“Perdana Menteri kini perlu berterus terang tentang perkara ini yang tidak dapat disembunyikan lagi.

“Beliau juga tidak boleh lagi berpura-pura yang skandal ini tidak memalukan negara,” kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dalam satu kenyataan hari ini lapor Malaysiakini.

DOJ memfailkan saman untuk melucutkan hak sivil di Los Angeles kerana mahu merampas hartanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.


Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang disalahgunakan dan aset lain yang terlibat termasuk rumah agam dan mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem ‘The Wolf of Wall Street’.
Azmin menegaskan bahawa DOJ berkata pegawai-pegawai 1MDB memperlakukan dana pelaburan negara seperti “akaun bank peribadi” mereka dan “menyonglap berbilion dollar dari rakyat Malaysia”.

“Akhirnya, setelah sekian lama cuba menyembunyikan ibu segala skandal kewangan di Malaysia ini, kebenaran berkaitan 1MDB akhirnya terbongkar jua.

“Ia mengesahkan dengan jelas bahawa sememangnya wujud satu konspirasi untuk menipu dan membersihkan berbilion dolar wang pembayar cukai yang disonglap mereka yang rapat dengan pemerintah tertinggi negara,” katanya.

Walaupun beliau mengakui bahawa nama Najib tidak disebut dalam saman itu, namun ia khusus menamakan anak tirinya Riza Aziz, rakan keluarga dan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, serta dua pegawai kerajaan Abu Dhabi.

Azmin berkata, beliau sentiasa menegaskan bahawa keputusan Najib memecat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu, kemudiannya menggantikan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat akitif dalam penyiasatan 1MDB memberi petunjuk jelas akan konspirasi untuk menutup skandal ini.

“Mengambil kira perkembangan terbaru ini, Perdana Menteri tidak dapat lagi mengunci mulutnya dan perlu menjelaskan kepada negara tentang skandal ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa