Friday, July 1, 2016

Kenapa marah DAP?

UMNO yang gadai Melayu, kenapa marah DAP?

Dalam muktamar Pemuda PAS baru-baru ini kita dapat melihat penonjolan retorik yang penuh dengan hasrat buruk sangka yang tidak terkawal terhadap DAP, lebih-lebih lagi sejak PAS mula menjalin hubungan mesra dengan UMNO.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Alias menyuarakan tuntutan mengekalkan ‘tanah milik Melayu’ dengan meminta semua konstituansi di Pulau Pinang menentang dan memperbetulkan apa yang diuar-aurkannya sebagai kononnya ketidaksamarataan sosial yang dibelenggu oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah DAP.

Menurut beliau populasi “Orang Melayu di Pulau Pinang adalah kedua terbanyak iaiitu 43.6 peratus namun hanya memiliki 20.1 peratus tanah di negeri ini.” Dengan kenyataan itu PAS nyata cuba menyemarakkan emosi perkauman sejajar dengan muslihat UMNO yang sentiasa mencari helah mengaitkan isu-isu tertentu dengan dakwaan perkauman.

PAS nampaknya sengaja buat-buat lupa dengan dosa tindak-tanduk UMNO yang lalu yang ternukil dalam lipatan sejarah. Umum mengetahui bahawa UMNO telah banyak “merampas” tanah-tanah milik kaum Melayu dengan membelinya dengan harga murah dan dijual dengan harga tinggi.

Contohnya kes Kampung Terang di Balik Pulau di mana 31 pemilik tanah (Melayu) menjualkan tanah mereka pada Januari 2012 kepada Maison Heights Sdn Bhd dengan jumlah harga RM8,563,983.00 yang kemudian menjualkannya kepada Kay Pride Sdn. Bhd. pada May, 2012 dengan harga RM13,457,664.00 – untung sebanyak RM5 juta dalam hanya 5 bulan.

Ini terang-terangan merupakan suatu eksploitasi sistem sedia ada dan apa lebih menyedihkan adalah ia juga merupakan suatu eksploitasi terhadap orang Melayu dengan cara amat jijik.

Jangan kita lupa bahawa dua daripada anggota Lembaga Pengarah Maison Heights pada masa itu adalah Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Pilihanraya Barisan Nasional, Datuk Omar Faudzar. Kes-kes skandal tanah yang dirancang para pemimpin UMNO jelas memperlihatkan betapa hipokritnya mereka menuduh orang lain sedangkan mereka adalah petualang Melayu dalam senyap.

Tuduhan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang ini bukanlah yang pertama kali dan akan berterusan dari masa ke semasa. Pada masa yang lalu PAS pernah cuba memburuk-burukkan imej dan reputasi DAP sebagai kononnya sebuah parti yang anti-Islam dan anti-Melayu. Kes Kampung Mutiara dan Kampung Chetty diputarbelitkan dan dijadikan isu dengan manabur fitnah dan niat untuk memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan penduduk di Malaysia.

Hakikatnya, apa yang ketara ialah bahawa Kerajaan Pulau Pinang di bawah pemerintahan DAP telah berusaha sedaya mungkin untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk dengan pemaju berhubung sebarang isu berkaitan pembangunan. Contohnya kes-kes Kampung Permatang Tok Subuh di Bukit Mertajam, Kampung Chetty dan Kampung Batu Feringghi di mana para penghuni di kawasan-kawasan tersebut dipaksa keluar oleh pemaju di mana sebahagian mereka tidak diberi pampasan.

Nyata sekali bahawa dua komponen yang menjadi elemen keadilan sosial ialah makanan yang cukup dan perumahan asas untuk semua manusia. Pihak Pakatan Harapan telah bertindak tegas dan mengambil langkah-langkah demi keadilan sosial untuk mempertahankan hak-hak kemanusiaan mereka agar terjamin. Dengan melindungi hak-hak semua penduduk negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang menjamin kesejahteraan rakyatnya.

Percaturan yang dipermainkan PAS dengan menuduh DAP dan Pakatan Harapan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan tanpa bukti-bukti kukuh menyerlahkan betapa gusarnya PAS ketika ini untuk menawan hati sekutu politik elit yang baru sehingga langsung tidak mengendahkan fakta-fakta dan sejarah yang ternyata boleh membuktikan siapa yang benar-benar menggadai orang Melayu.

*Kenyataan Media oleh Syerleena Abdul Rashid – Penolong Setiausaha Publisiti Negeri DAP Pulau Pinang/Ahli Majlis MBPP – Georgetown, Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa