Tuesday, August 30, 2016

Bila Najib berundur?

Posted on Tuesday, August 30 @ 15:38:01 MYT by paktam
Oleh Subky Latif

MAKA Perdana Menteri Najib pun memberitahu, satu hari nanti dia akan berundur juga, tentunya bukan ketika dia didesak kencang sekarang. Diberitahunya, sesudah itu nanti sesiapa hendak datang berjumpanya boleh datang. Kalau tiada yang sudi datang, dia akan buat kerjanya sendiri.
     
Ia ada pilihan yang ada pada semua pemimpin. Mana-mana yang digemari rakyat seperti Gandhi penuhlah kediaman dikunjung orang. Sebaliknya yang digetik terpencillah diri dan kadang-kadang bini lari.
      
Bila dia hendak berundur itu? Allah dan dia saja yang tahu. Mungkin hendak jadi Perdana Menteri kedua berkuasa 22 tahun.
       
Bekas pemimpin itu biasanya pemimpin juga walaupun sudah tidak berjawatan. Akan adalah yang mendatanginya baik sekadar merai dan menziarahi orang lama, bahkan perlu didatangi untuk dirundingi, bagi mendapatkan pandangan dan nasihat.
      
Tunku Abdul Rahman Putra dan Dr. Mahathir dapat layanan itu. Ramai yang mahu terus bersamanya dan meminta panduannya.
      
Pemimpin yang sebenar masih seorang anggota masyarakat yang bersama dan berada di tengah semua orang. Kalau orang tidak datang kepadanya, dia pergi kepada orang. Tidak timbul orang hendak datang kepadanya atau tidak.
      
Sebaik-baik bidalan ialah seperti yang orang Melayu tentang Nabi SAW. Jika gunung tidak datang kepada Muhammad, Muhammad datang kepada gunung. Semua orang sewajarnya bersikap begitu, jika masyarakat tidak datang kepadanya, dia mesti datang kepada masyarakat. 

Terbaik lima kali sehari berjemaah di tempatnya. Dan yang seminggu saja bersamaan orang ramai pada hari Jumaat, sudah ada yang tidak betul. Dan yang dua kali saja setahun lagi tidak betul.
      
Yang paling betul ialah selagi terdengar dia azan di mana saja berada, maka mustahak dia mendatangi tempat azan itu. Tidak dikira bermasyarakat dia, dengar azan dilaksanakannya sendiri di rumahnya.
      
Maka tidak berbangkit, jika tiada yang datang kepada kita, maka kita buat kerja sendiri. Itu orang menyendiri namanya.
      
Bagi seorang ketua yang sudah tidak pegang apa-apa jawatan dalam masyarakat selain jadi ahli khairat kematian, jangan sebarang anggapan, jika dia tidak didatangi orang, maka ia bererti tidak dihargai orang. Maka kita memencil diri.
     
Pada hari-hari tua jika ramai yang datang, ia adalah rahmat dan kehormatan. Tetapi jika tidak kerap orang datang, perlu kita faham bahawa semua orang zaman ini sibuk dan masa sentiasa penuh. 

Saya selalu pesan kepada orang PAS yang ziarah saya. Jangan ziarah saya jika ada kerja lain. Orang PAS lebih aula menunaikan semua kerja daripada menziarahi seorang pemimpin.
       
Sesudah tidak kerja dan ada masa lapang maka baru datang ziarah. Sekalipun ziarah itu penting, menunaikan kerja yang diamanahkan adalah lebih penting. Pejuang bukan sekadar perlu kerja 24 jam sehari, jika boleh bekerjalah 25 jam sehari.
      
Saya ingatkan anak isteri, jika jarang orang ziarah, jangan rasa kita dilupakan. Masing-masing sentiasa sibuk, utamakan apa yang aula dulu.
      
Saya tidak kecil hati jika tidak didatangi. Jika mereka tidak datang, saya cari mereka seperti pesan orang tua, jika gunung tidak datang kepada Muhammad, Muhammad kena datang kepada gunung.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa