Monday, August 29, 2016

Cerna minda: Beza Benggali dan Bangla

Benggali dahulu bukanlah Bangla yang sekarang
Posted by paktam

Oleh H FANSURI
DALAM teks sastera terdahulu, kerap ditemukan kata ‘Benggali Putih’. Perkataan Benggali juga dipercayai datang daripada kata Bangladesh. Namun, Benggali hari ini lebih dikenali sebagai Bangla, amat berubah dengan benggali putih selepas zaman Hang Tuah dan roti benggali yang kita kenali sejak dahulu.

Perbahasan mengenai warga bangla, benggali putih, roti benggali tentu sahaja berbeza-beza disebabkan wujud beza waktu. Menurut satu catatan, bahasa Benggali itu sendiri adalah bahasa Indo-Aryan (Peranakan bangsa Aryan) yang datang berasal dari belahan Timur Asia Selatan. Bahasa ini kemudiannya berkembang daripada Prakrit, Pali dan Sanskrit.

Kalau penjajah Portugis (Feringgi) pernah digelar sebagai ‘Banggali Putih’, apakah itu bererti bahawa warga Bangla sudah lama bertapak di Melaka untuk urusan perdagangan? Hasil dagangan apakah yang dilakukan warga Bangla sejak Empayar Melaka mula berkembang dengan pesatnya?

Banyak persoalan yang tidak terjawab. Demikian juga, seringkali orang menyebut ‘kuli Batak’. 

Apakah pada suatu masa dahulu, orang Batak selalu menjadi buruh, kuli, dan pekerja kecil kepada sebuah perusahaan dan pekerjaan yang penting? Jika benar ada, apakah pekerjaan dan perusahaan itu?

Itu baharu persoalan buruh-buruh. Belum lagi kita rincikan kegiatan kapitalis British di Malaya. Apa beza British sebelum kemerdekaan dan British yang datang selepas merdeka? Apakah bezanya British sebelum penjajahan Jepun dan selepasnya?

Kenapakah wujud BMA (British Military Administration) selepas Jepun menyerah kalah 1945 dan sebelum itu British dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI)?

Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) atau terkadang disebut ‘John Company’ adalah syarikat perdagangan yang dianugerah piagam diraja oleh Ratu Elizabeth I pada 31 December 1600. Ia juga digelar Honourable East India Company dan diberi kemudahan untuk menguasai perdagangan di Hindia Timur.

Syarikat ini kemudiannya berubah daripada syarikat perdagangan kepada badan yang mentadbir India apabila ia memiliki kuasa ketenteraan dan kerajaan tempatan. SHTI ini ditubuhkan di England dan British telah memberi mandat kepadanya bagi menjalankan perdagangan antarabangsa sekali gus meluaskan tanah jajahan.

Sementara BMA pula wujud selepas SHTI dan warisannya kalah perang akibat jajahan dan perang penaklukan Jepun ke atas empayar Rusia, China dan Malaya. British tergugat oleh kemaraan kuasa besar Jepun selepas Empayar Turki Uthmaniyyah tumbang.

Begitulah sedikit sebanyak cerita pertarungan antara blok-blok kapitalis dunia. Inilah antara peranan sastera, iaitu memerdekakan sejarah yang terjajah dalam sangkar kurungan pemerintah. Pemerintah cuma berminat dengan sejarah yang dikarang dalam versi mereka saja. Tanggungjawab kaum pencerah adalah menguasai ilmu sastera dan berusaha keras memerdekakan sejarah yang terjajah dalam tangan kekuasaan pemerintah.

Kali ini, kita mula menyemak kisah Bangla, Bangladesh dalam versi yang terkini. Yang diperkenal Mamat Khalid dalam filem Werewolf Dari Bangladesh baru-baru ini boleh kita cermati walaupun ia adalah sebuah kisah ringan, jenaka yang dikaburi dengan khayalan-khayalan Barat; werewolf (serigala jadi-jadian).

Menurut versi Mamat Khalid, kejadian serangan serigala jadi-jadian ini terjadi di Kuala Lumpur. Ia bermula sejak 1983 (dua tahun selepas Dr Mahathir Mohamad memimpin Umno) di Chittnambur, Bangladesh yang dikatakan berada antara sempadan Bangladesh dan Myanmar.

Ia bermula saat Mirdu (Saiful Apek) seorang peladang Bangladesh diserang seekor serigala ketika berjuang menyelamatkan keluarganya.

Akibat serangan itu, maka terjadilah beberapa perubahan ke atas tubuhnya sehingga mengakibatkan beliau membunuh orang-orang kampungnya sendiri.

Penduduk kampung tidak dapat bersabar dengan angka korban yang semakin meningkat setiap hari. Lalu, mereka mengambil keputusan untuk membakar rumah Mirdu. Di tengah kekalutan itu, Mirdu akhirnya menggigit dua anak kembarnya Kumba dan Kumbi sehingga kedua-dua mereka menjadi serigala jadi-jadian ketika dewasa.

Kumba dan Kumbi inilah yang kemudiannya melarikan diri ke Malaysia dan kemudian membikin onar di Kuala Lumpur sehinggakan warga Bangla kini menjadi serigala jadi-jadian kesemuanya.

Untuk membiakkan baka serigala jadi-jadian ini, Kumbi sedang berusaha mendapatkan bantuan Jaynab Ramunggei (Emma Maembong) bertujuan menurunkan zuriat haiwan ganas ini, sekali gus melenyapkan bangsa manusia di Malaysia pada hari ini.

Tapi segala rancangan jahat ini sudah lama dihidu Pilun (Zizan Razak), iaitu seorang buruh asing tanpa izin Bangladesh yang juga serigala jadi-jadian. Pilun, pekerja di gerai Usop Wilcha cuba memaklumkan Usop berhubung hal itu. Namun, rahsia besar ini cuba ditutup serapat-rapatnya oleh rakan-rakan pekerjanya yang juga telah menjadi serigala jadi-jadian di ibu kota.

Itu versi Mamat Khalid yang cuba melihat warga Bangla dengan khayalan khurafat Barat seperti serigala jadi-jadian.

Namun hal-hal yang tersirat di sebalik ini semua jelas ada juga. Misalnya Mamat Khalid cuba menunjukkan hubungan warga Bangla dengan BN apabila digambarkan buruh asing ini terkinja-kinja menari dengan baju t-shirt tajaan BN dalam filem lakon layarnya.

Sesekali muncul babak bot-bot kecil yang dinaiki warga Bangla itu. Bot-bot kecil itu dengan jelas mengibarkan bendera BN untuk keselamatan. Ini menitip pesan tersirat.

Iaitu, warga-warga Bangla ini didatangkan oleh BN juga demi urusan politik Umno-BN.

Ada lagi kritik pedas dan sindiran tajam yang terapung di dalam filem Werewolf Dari Bangladesh. Ia menyangkut soal ekonomi dan peluang pekerjaan yang makin berkurang untuk bangsa peribumi.

Untuk menangkap maksud tersirat di sebalik khayalan khurafat Barat yang bersulam komedi ini, anda boleh saksikan sendiri tayangannya yang sedang berlangsung di pawagam.

Namun, satu hal yang pasti, Benggali dahulu, bukanlah Bangla yang sekarang. Dahulu Benggali, tidak pernah dipolitikkan seperti yang terjadi ke atas warga Bangla pada hari ini.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa