Monday, August 1, 2016

Ke mana hilangnya ukhuwah Pakatan Harapan?

Friday, July 29, 2016
- Vince Tan
Pimpinan DAP dan PKR patut berasa malu dengan cara mereka menangani perbezaan pendapat dalam isu pilihan raya negeri Pulau Pinang.

Kegagalan mereka untuk menangani isu ini dengan baik menyebabkan tercetusnya perbalahan di kalangan pimpinan dan akar umbi masing-masing.

Saya masih ingat apabila Pakatan Rakyat ditubuhkan pada tahun 2008, rakyat Malaysia seumpama diberi peluang menekan butang “reset” untuk negara ini.

Butang ini penting untuk menghapuskan masalah rasuah, salah guna kuasa, ekonomi yang tidak menentu dan ketegangan agama dan kaum.

Anak-anak muda teruja dengan masa depan negara ini walaupun hanya belajar di sekolah menengah pada waktu itu.

Selepas menjejaki kaki ke menara gading, saya pula berkecimpung dalam aktivisme mahasiswa dan bekerjasama dengan parti-parti, politik khususnya DAP dan PKR.

Oleh sebab aktiviti kami yang sering melibatkan demonstrasi jalan raya maka tidak hairanlah untuk kami bermalam di lokap.

Peguam-peguam yang datang tolong kami juga daripada DAP atau PKR.

Kami ditahan pada 1 Ogos 2015 di pasar raya Sogo kerana menganjurkan demonstrasi #TangkapNajib sempena skandal 1MDB yang baru meletup.

Turut ditahan bersama saya adalah aktivis-aktivis daripada kumpulan anak muda Demi Malaysia yang dipimpin oleh Adam Adli.

Kami disiasat bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang mengatakan bahawa kami melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Saya berasa hairan kerana sejak bila melaksanakan hak untuk berhimpun yang dijamin bawah Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan boleh dikatakan sebagai melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Saya masih ingat peguam-peguam kita yang datang untuk membantu kita semasa prosiding reman.

Ada di kalangan mereka pimpinan DAP dan PKR masing-masing. Gobind Singh Deo, Lim Lip Eng dan Thomas Su merupakan anggota parlimen DAP sedangkan Sivamalar Genapathy dan Melissa Sasidaran merupakan pemimpin wanita dan anak muda dalam PKR.

Saya juga tidak melupakan peguam-peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Cyrus Tiu, Rajsurian Pillai, Dinesh Munthal dan John Das.

Berlalu sekelip mata

Begitu juga dengan peguam-peguam daripada kumpulan masyarakat sivil seperti Datuk Ambiga Sreenevasan dan Eric Paulsen.

Mereka semua bekerjasama untuk kepentingan yang sama iaitu untuk tegakkan keadilan dan mempertahankan demokrasi.

Saya ceritakan semua ini kerana saya percaya bahawa sebagai manusia kita perlu tahu mengenang budi dan jasa orang yang pernah mwnolong kita.

Dan saya percaya kebersamaan ini pada waktu susah lebih kuat daripada faktor-faktor yang memecahbelahkan kita.

Setahun berlalu, dengan sekelip mata dan saya kini melangkah keluar ke dunia pekerjaan tetapi idealisme dan semangat saya tetap kuat dan ingin melihat perubahan di tanah air yang tercinta ini.

Namun banyak benda telah berubah belakangan ini. Pakatan Rakyat kini berkubur tanpa batu nisan manakala gabungan baru Pakatan Harapan dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) masih kurang meyakinkan rakyat jelata bahawa perubahan kerajaan pusat akan berlaku dalam masa yang terdekat.

Soalan yang sering ditanya adalah ke mana hala tuju kita ataupun quo vadis dalam bahasa Latin.

Parti-parti pembangkang sudah mula menunjukkan kelemahan dalam pentadbiran masing-masing dan sering terlibat dalam perebutan kerusi, perbalahan sesama pimpinan parti dan juga serangan peribadi antara pimpinan parti-parti pembangkang.

Keadaan ini tidak dibantu dengan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga berdepan dengan pendakwaan di mahkamah.

Isu yang paling hangat di Pulau Pinang adalah spekulasi pilihan raya mengejut dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

Isu pilihan raya mengejut ini kini mendapat liputan media dengan komen-komen pimpinan DAP dan PKR dengan kritikan dan tuduhan yang dilemparkan antara satu sama lain.

Isu ini pada pandangan saya, sekiranya DAP bertegas hendak menjalankan pilihan raya mengejut, hendaklah mendapatkan kebenaran rakan-rakan daripada parti PKR dan AMANAH.

Keputusan ini melibatkan semua pihak dan berdasarkan prinsip setiakawan dan solidariti.

Jikalau salah satu parti membantah keputusan tersebut pilihan raya mengejut ini tidak haruslah diteruskan.

Dedak parti

Sekiranya DAP masih dengan egonya untuk meneruskan hasrat mereka tanpa persetujuan PKR dan AMANAH, maksudnya DAP tidaklah banyak berbeza daripada Umno.

Malang sekali pimpinan DAP dan PKR membawa perbezaan pendapat mereka ke ruang awam dan beraksikan pertunjukan yang tidak senang dilihat oleh orang awam khususnya penyokong masing-masing.

Keadaan bertambah teruk apabila macai-macai parti masing-masing ambil peluang ini untuk membodek pimpinan masing-masing dengan menyokong pendirian parti mereka.

Macai-macai ini kemudian menyerang antara satu sama lain di media sosial.

Tindakan mereka langsung tidak mencerminkan semangat ukhuwah yang ditonjolkan masing-masing pada tahun 2008 dan 2013 semasa pilihan raya umum.

Saya mengakui bahawa kini setiap parti dalam Pakatan Harapan mempunyai kepentingan masing-masing dari segi perebutan kerusi, jawatan kerajaan negeri dan berlumba-lumba mengejar habuan dalam bidang politik.

Setiap kritikan yang pernah dilontarkan oleh mereka terhadap Umno dan BN kini boleh digunakan balik terhadap mereka.

Dan di mulut rakyat jelata dan mula kami mendengar kata-kata bahawa Pakatan Harapan tiada banyak perbezaan dengan BN.

Yang menghairankan saya, ke mana perginya suara anak muda dalam parti-parti pembangkang yang selalunya menjadi suara hati nurani.

Anak muda parti pembangkang dilihat menyokong sebulat-bulatnya keputusan orang tua dalam parti.

Mungkin cara terbaik untuk mendapat dedak daripada parti adalah menjadi pak turut dalam parti.

Tetapi lama kelamaannya kita akan melihat kesan buruk yang bakal datang ke parti tersebut.

Budaya tanggungjawab kolektif dalam politik adalah untuk mewujudkan kebersamaan dalam tindakan dan bukannya budaya pak turut semata-mata.

Sekiranya kita mengikut jejak langkah anggota Umno dan BN yang membuta tuli menyokong pimpinan yang melakukan kesalahan maka kita sememangnya tiada perbezaan dengan mereka yang kita kutuk itu.

Tiba masanya pimpinan DAP dan PKR mengakui bahawa mereka tidak akan menang pilihan raya umum yang ke-14.

Akui kesilapan

Mereka perlu mengakui banyak kesilapan telah dilakukan dalam pentadbiran mereka sepanjang pilihan raya umum yang lepas hingga sekarang.

Dan selepas berani mengakui kesilapan tersebut bolehlah mereka memperbaiki kelemahan masing-masing dan kembali ke pangkal jalan.

Saya menyeru anak muda dalam parti-parti pembangkang melaksanakan peranan tradisi masing-masing sebagai suara imbang kuasa dan bersuara terhadap pimpinan parti masing-masing yang membawa kita ke arah hari ini.

Masa untuk menjadi lena dan leka dah berakhir.

Ketahuilah bahawa selepas pemenjaraan dan pendakwaan terhadap pimpinan masing-masing akan meninggalkan satu vakum atau ruang kosong yang perlu diisi untuk meneruskan perjuangan masing-masing.

Tetapi perjuangan tersebut tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya anak muda masih terikut-ikut dengan politik lama dan enggan memeluk idealisme politik baru.
----------------------------------------------------------
VINCE TAN anggota Jawatankuasa DAP cabang Medan Maktab dan bekas aktivis mahasiswa di Universiti Malaya.

2 comments:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa