Tuesday, August 23, 2016

Konspirasi guling Najib atau ke atas 3 Tan Sri?

Kit Siang: Konspirasi guling Najib atau ke atas 3 Tan Sri?
mk - Hari ini 23 Ogos 2016, 3:17 petang
Tun Dr Mahathir Mohamad pada hujung minggu mendedahkan bahawa tiga pegawai kanan negara yang dituduh bersubahat untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah "dikhianati" oleh salah seorang di kalangan mereka.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, Najib sudah berdepan dengan tindakan pihak berkuasa di negara ini.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika menjawab dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, bahawa dirinya adalah sebahagian daripada plot berkenaan.

Berkongsi pandangannya, mengenai perkara itu, ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang tertanya-tanya sama ada jika konspirasi tersebut adalah bagi menentang perdana menteri, ataupun ke atas keiga-tiga pegawai tinggi berkenaan.

"Apakah wujud konspirasi negara yang melibatkan tiga Tan Sri untuk menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri pada Julai tahun lalu, sebelum Najib melancarkan pembersihan dalaman ke atas pegawai kerajaan peringkat tertinggi, termasuk membabitkan pemecatan timbalan perdana menteri dan peguam negara?"

"Atau adakah terdapat konspirasi nasional untuk menghalang pegawai tertinggi daripada menjalankan kewajipan mereka mengikut undang-undang?" soalnya dalam satu kenyataan media.

Bulan lalu, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap tiga Tan Sri - bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akthar Aziz; bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamad.

Beliau menuduh ketiga-tiga mereka membekalkan maklumat sulit kepada agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Khairul Azwan juga mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka mungkin memalsukan maklumat untuk mencapai agenda masing-masing.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudian berkata tiada tindakan akan diambil kerana laporan ketua pemuda Umno itu hanya berdasarkan andaian.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa