Friday, September 2, 2016

Adakah RUU 355 itu hudud?

Nik Fatma Amirah Nik Muhamad   -   Hari ini, 1:30 tengahari
ULASAN Akta 355 adalah suatu akta untuk memberi bidang kuasa jenayah kepada mahkamah yang ditubuhkan bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan jenayah bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Akta ini mula-mula dikanunkan pada tahun 1965 dan waktu itu, ia dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Hukuman yang tersenarai dalam akta ini ialah denda RM1,000 dan penjara 6 bulan.

Pindaan yang pertama dilaksanakan pada tahun 1984 [yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984], untuk meluaskan lagi kuasa menghukum Mahkamah Syariah kepada tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Selepas itu, akta ini dipinda lagi pada tahun 1989 untuk diluaskan ke Sabah dan Sarawak [dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989].

Pindaan terakhir berlaku pada tahun 1997, tetapi pada tafsiran sahaja, dan ia digelar Akta Tafsiran (Pindaan) 1997.

Kesemua pindaan bermula tahun 1984, 1989 dan 1997 diusulkan oleh pihak kerajaan.

Manakala, buat kali pertama pindaan pada tahun 2016 baru-baru ini dibawa secara usul persendirian oleh yang berhormat anggota parlimen Marang yang bertujuan untuk meluaskan lagi bidang kuasa hukuman yang dibenarkan oleh Mahkamah Syariah, kecuali hukuman mati.

Analogi permit lebuh raya 5 lorong

Usul yang dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang menimbulkan banyak persoalan.

Oleh itu, Biro Penyelidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil inisiatif memberi kefahaman kepada masyarakat dengan menganjurkan wacana bertajuk “RUU 355: Wajarkah bukan Islam bimbang?” yang bertempat di The Mines 2, Seri Kembangan.

Ia membariskan lima panelis, antaranya felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Prof Madya Dr Shamrahayu, Prof Madya Dr Zulfakar Ramlee dari Pertubuhan Ikram Malaysia, Mujahid Yusof Rawa (Parti Amanah Negara), Howard Lee (DAP) dan Dr Zuhdi Marzuki (PAS).

Saya bersetuju dengan analogi Dr Zulfakar, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) semasa wacana tersebut:

“Pindaan Akta 355 ini seumpama permit atau lesen untuk membina lebuh raya lima lorong (lima lorong yang memperkasakan lima maqasid syariah).”

Apabila menyebut cadangan pembinaan lebuh raya, terdapat dua pandangan.

Pandangan pertama daripada golongan yang tidak bersetuju untuk membina lebuh raya ini kerana tanahnya akan diambil dan yang pastinya akan ada tol yang membebankan.

Pandangan kedua pula datang daripada golongan yang bersetuju dengan pembinaan lebuh raya kerana akan menjadikan perjalanan lebih laju dan selesa.

Beginilah analoginya untuk pindaan Akta 355 ini. Ada yang tidak bersetuju kerana belum terbukti kesempurnaan proses perancangan dan beberapa isu teknikal untuk pindaan ini.

Proses ke arah pembinaan lebuh raya memerlukan langkah atau perancangan yang sangat rapi, seperti rundingan dengan pemilik tanah, bayaran pampasan yang sewajarnya kepada pemilik tanah, menyediakan pusat rehat dan rawat yang diuruskan dengan baik.

Ia bukan sekadar membina tol dan mendenda mereka yang melanggar peraturan.

Begitu juga untuk pindaan RUU 355 ini – ia memerlukan perancangan yang rapi, rundingan dengan pelbagai pihak dan perlaksanaan dalam suasana yang adil dan jauh daripada fitnah.

Dr Shamrahayu juga ada menyatakan di dalam wacana yang sama bahawa "jangan disebabkan ketidaksempurnaan melaksanakan hukum Islam, Islam difitnah".

Siapa patut bimbang?

Sebenarnya yang sepatutnya bimbang adalah orang Islam, bukannya bukan Islam.

Apabila pindaan ini diluluskan dalam keadaan persediaan yang tidak rapi dan sempurna, ia akan membuka jalan kepada keburukan yang lebih besar.

Nama baik Islam akan tercalar dek kerana sistem keadilan syariah yang tidak teratur dan tidak adil.

Seterusnya, wujud persepsi dari segi ketidakmampuan sistem undang-undang negeri untuk menjalankan hukuman tersebut, terutamanya pada bahagian pendakwaan dan perlaksanaan hukuman,yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Di samping itu, ketidaksempurnaan perlaksanaan hukum Islam juga akan mencemari nama baik negara Islam itu sendiri.

Sebagai contoh,perlaksanaan syariah di Pakistan telah menyebabkan mangsa rogol dibicara bawah hukuman zina sehingga mangsa rogol juga dimasukkan ke dalam penjara.

Di negara Sudan, kes terkenal Mahmud Mohd Taha (yang dibunuh kerana pandangan politik yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan syariah).

Ia menggambarkan bukan sahaja kurang kesempurnaan dalam perlaksanaan hukum Islam, tetapi salah guna institusi agama untuk menindas orang yang mereka tidak suka atau menyingkirkan individu tertentu kerana kepentingan politik.

Jadi, jelas bahawa ketidaksempurnaan pelaksanaan hukum Islam akan memberi kesan yang besar.

Yang lebih membimbangkan adalah dikhuatiri ada pihak yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan hukum Islam untuk menyingkirkan individu tertentu disebabkan kepentingan politik.

Ini yang harus kita bimbang dan kita tidak mahu suasana seperti ini terjadi di dalam negara kita ini.

RUU 355 bukan hudud

Dr Zuhdi pula menjelaskan pindaan ini matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan memberi ruang kepada profesion kehakiman syariah.

Kenyataan ini jelas bahawa RUU 355 ini bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja, bukannya hudud.

Enakmen jenayah negeri Kelantan dan Terengganu sahaja yang mempunyai hukuman hudud.

Jadi, yang tidak boleh dibantah oleh orang Islam adalah dua enakmen ini dan bukannya RUU ini.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Penyelidikan RUU 355 di bawah Muslim Youth Legal Interest Group (MYLIG), badan sukarelawan yang membantu pelajar Muslim jurusan undang-undang mencapai impian dalam bidang perundangan, mendapati RUU ini bukan hudud.

Ia hanyalah sebuah cadangan perubahan aturan undang-undang yang sangat bersifat prosedural yang melibatkan mahkamah bawah bidang kuasa persekutuan.

Maka, RUU ini bukanlah termasuk hukum Islam substantif yang berdasarkan dalil daripada al-Quran dan Sunnah.

Maka, setiap Muslim boleh memilih untuk menyokong ataupun menolak perubahan aturan ini.

Ini bermaksud jika aturan perubahan undang-undang prosedural ini dibawa dengan perancangan yang rapi, ia wajar disokong, tetapi jika ia mengelirukan pengurusan Mahkamah Syariah, maka ia wajar untuk ditolak dan diganti dengan aturan yang lebih tersusun.

Kenyataan tersebut juga menyebut, “oleh kerana kita dapati RUU 355 ini bukan undang-undang Islam substantif tetapi lebih kepada prosedur, maka semua pihak termasuk bukan Islam juga wajar menyatakan pandangan dalam isi aturan undang-undang ini.

Jika terdapat pihak yang mempunyai cadangan untuk memperkemaskan lagi aturan ini, maka seharusnya kita terima tanpa mengira latar belakang agama.

Apabila meneliti kenyataan tersebut, kita dapat simpulkan bahawa RUU 355 ini bagus kerana ia bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Tetapi yang menjadi kebimbangan adalah dari sudut pelaksanaan, kecukupan fasiliti dan sejauh mana kemampuan sistem undang-undang di peringkat negeri bersedia untuk menjalankan hukuman tersebut.

Cadangan

Sebagai kesimpulan, pertama, perlunya rundingan dan perbincangan dengan banyak pihak, antaranya pihak berkepentingan dalam isu ini, seperti bidang penguatkuasaan, pendakwaan, hakim Mahkamah Syariah, peguam syarie, dan jabatan-jabatan agama untuk memastikan kelancaran proses pindaan akta ini.

Kedua, perlu ada usaha untuk memberi kefahaman sebenar dari sudut perundangan kepada golongan bukan Islam.

Namun, tidak bermakna mereka tidak boleh menyokong atau membantah selepas mereka sudah memahaminya.

Ketiga, perlu memberi penekanan kepada kelengkapan kemudahan dan sistem sokongan sebelum pindaan Akta 355.

Contohnya institusi penjara, pemakaian kaedah pembuktian Mahkamah Syariah yang lebih menyeluruh, memastikan semua daerah mempunyai jumlah hakim syarie yang mencukupi, dan mempersiapkan pelatihan profesional kepada pihak-pihak yang akan terlibat sebagai contoh bahagian pendakwaan, guaman, kehakiman dan pengurusan Mahkamah Syariah.

Keempat, semua pihak perlu berhenti dari mempolitikkan isu ini dan mengelirukan masyarakat umum dengan persepsi yang tidak tepat dengan sudut pandang undang-undang.

Islam sepatutnya perlu dipersembahkan dengan baik, rahmah dan harmoni, bukan sekadar melalui perlaksanaan bidang kuasa mahkamah.

Tetapi juga dalam konteks syariah secara keseluruhan bagi mencapai lima maqasid syariah yang dijanjikan oleh Allah akan membawa kebaikan kepada manusia.

Kita mengharapkan suatu hari nanti syariat Allah mampu tertegak dalam kerangka keadilan dan rahmah. Semoga Malaysia menuju negara rahmah berasaskan maqasid syariah!

# NIK FATMA AMIRAH NIK MUHAMAD pelajar sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan aktivis IKRAM Siswa.

1 comment:

  1. Silakan nik fatma amirah.. Syorkan cara terbaik dalam penambahbaikan RUU 355 segera! Dari segi penulisan beliau macam tahu segala kelemahan RUU 355; pasti beliau juga tahu cara nak memperbaikinya..

    Tapi yg malangnya ianya juga termasuk mencari alasan2 utk menolak dan sengaja mengalu2kan peluang kpd bukan islam untuk campur tangan..

    Agak2nya masa undang2 British mula nak dilaksanakan di Malaysia dulu, adakah wujud seribu keraguan macam kandungan tulisan si nik fatma amirah ni?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa