Sunday, September 4, 2016

Aduii......apa nak jadi ni? Sebut takut Tuhan pun orang tak percaya!

Saturday, 3 September 2016
"TUHAN JUGA TAHU SAMA ADA NAJIB BENAR2 TAKUTKAN ALLAH ATAU IA HANYA SEKADAR KATA2"

Kalau mendengar Najib Razak berucap atau bertempik di depan audien UMNO yang diketahuinya mereka adalah kelompok yang akan mengangguk dan mengiakan 110 peratus segala kata-katanya, lebih-lebih lagi secara sehala,  memang boleh meremang segala bulu-bulu yang ada di badan dibuatnya.

Bahkan, burung yang sedang terbang juga boleh jatuh dan terhempas ke bumi kerana mendengar "ghau" tempikan beliau ketika menyampaikan ucapannya. 

Malah, mendengar betapa semangatnya Najib mahu mempertahankannya jawatannya, tidak gentar sehingga bumi berkeping dua, gajah pun boleh terbang dan bertukar menjadi jet pejuang.
Di penggulungan Mesyuarat Perwakilan UMNO Pekan hari ini, dengan penuh semangat Najib mengumumkan untuk kesekian kalinya bahawa beliau tidak gentar menghadapi sebarang musuh serta tidak sesekali akan berundur, meskipun menerima tentangan bertubi-tubi dari dalam dan luar negara.

Berbekalkan perjuangan yang dipacu oleh semangat kebersamaan, perpaduan dan sokongan semua pihak, kita akan bangkit semula. Lawan tetap lawan. Saya tidak takut pada sesiapa, saya hanya takut kepada Allah sahaja, kata Najib lagi.

Meskipun Najib mengatakan tidak takut kepada sesiapa, temasuk Tun Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun, kita semestinya belum lupa bagaimana beliau tidak berani turun ke program NothingToHide di PWTC semata-mata kerana bekas Perdana Menteri itu sudah menunggunya di sana.

Selain itu, jika benar tidak takut sesiapa, mengapa cabaran berdebat oleh Tun Mahathir mengenai rasuah 1MDB tidak berani dijawab sampai sekarang?

Jika benar tidak takut kepada sesiapa juga, ingin ditanyakan sama kepada Pahlawan Bugis itu mengapa tidak berani menghadirikan diri dalam persidangan anti rasuah antarabangsa tidak lama sebelum ini?

Bukankah persidangan anti rasuah antarabangsa itu merupakan medan terbaik untuk menjawab segala isu berkaitan rasuah yang dipalitkan kepada dirinya jika benar tidak takut sesiapa dan hanya Allah yang ditakutinya?

Sebagai umat Islam, memang semua orang yang beriman takutkan Allah. Tidak takut kepada mana-mana manusia dan hanya takut kepada Allah adalah 100 peratus sifat terpuji. Ini kerana Allah itu sifatnya maha agung, maha mendengar, maha mengetahui, bahkan maha kepada segala-galanya.

Tetapi, manusia selalunya memang mudah mengucapkan kata-kata hanya takut kepada Allah apabila dalam keadaan tersepit atau ketika dalam keadaan bersalah. Ketakutan kepada Allah bukan boleh dinilai melalui kata-kata atau jerit pekik yang dilaungkan, tetapi melalui amalan dan perbuatan seharian.

Berdasarkan pelbagai perlakuan, masalah, kemelut dan caca marba yang berlaku dalam negara sejak dari awal Najib berkuasa sampailah kepada tercetusnya isu 1MDB dan wang ribu-ribu juta dalam akaun peribadinya, malah berterusan sehingga berlaku beberapa pemecatan dan kacau ganggu kepada agensi-agensi kerajaan, apakah Najib benar-benar boleh ditanggapi sebagai seorang pemimpin yang takut kepada Allah?

Apakah seorang pemimpin yang mendakwa hanya takut kepada Allah boleh sewenang-wenang melakukan pelbagai pembaziran, kemewahan, membiarkan isteri  bebas menggunakan pelbagai kemudahan kerajaan serta berbangga pula mengatakan wang ribu-ribu juta yang diterimanya adalah merupakan derma?

Audien UMNO atau mereka yang hanya tahu mengangguk-angguk saja mungkin akan bertepuk tangan dan memuji-muji Najib apabila beliau berkata tidak takut kepada sesiapa, lawan tetap lawan dan hanya takutkan Allah saja.

Tetapi, Allah juga sebenarnya maha tahu sama ada Najib seorang hamba yang benar-benar takut kepadaNya, pura-pura takut, takut hanya pada waktu-waktu tertentu atau mengucapkan kata-kata itu untuk maksud lain selain daripada takut kepada Allah.

Usahlah bimbang Najib, Allah sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui segala-galanya. Mengucapkan kata-kata takut kepada Allah belum merupakan jaminan terlepas dari seksaan dunia dan akhirat atas kesalahan yang dilakukan, kecuali bertaubat nasuha dan meminta ampun daripada manusia lain yang pernah dianiaya serta hak-haknya telah diambil secara sengaja.

Jika lain cakap di mulut dan lain pula perbuatan yang ditunjukkan, seperti mana yang sudah banyak berlaku sejak zaman Nabi-Nabi lagi, janji dan balasan Allah pasti akan tiba juga akhirnya.  (SH 03/09/2016). - sumber

2 comments:

  1. Setuju dgn tulisan di atas.. Tapi maaflah ingin saya katakan di sini bahawa ada jugak org yg takutkan selain Allah iaitu takutkan DAP. Hatta jika nak laksanakan peraturan utk mengukuhkan perundangan Islam sediada sekalipun yg tak melibatkan non muslim, selagi DAP tidak menunjukkan tanda2 sokongan, mereka tak berani utk MENYATAKAN walaupun HANYA sokongan kpd usaha melaksanakan peraturan tersebut. Apatah lagi kalau nak dilihat membantah kehendak DAP; JAUH SEKALI!

    Cukuplah sekadar hal2 lain bolehlah nak ikut telunjuk DAP; tapi jgnlah sehingga dalam semua perkara! Kan takut namanya tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baru bangun drpd mimpi ngeri DAP. Lama sungguh mimpinya

      Delete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa