Saturday, September 3, 2016

Episod teka-teki siapa MO1 selesai

Sabtu, 3 September 2016
MO1 ~ Kata Pedang..!
Apa pulak pedang pedang ni..! 
Samun menyamun membawa bencana..!

KATA PEDANG: Episod siapa MO1 selesai, tetapi………..

Akhirnya, Malaysian Official 1 (MO1) atau ‘Pegawai Nombor Satu Malaysia’ SECARA RASMI DIUMUMKAN. Beliau adalah Datuk Seri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak berumur 63 tahun yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam pada 3 April 2009.

Sebelum ini, walaupun, rakyat Malaysia dan dunia mengetahui siapa yang dimaksudkan sebagai MO1, tidak ada kenyataan rasmi dibuat oleh mana-mana pemimpin kerajaan, sehinggalah kelmarin dalam satu temu bual dengan BBC News, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, mengesahkan Najib adalah MO1.

Bagaimana isu MO1 ini boleh timbul? Pedang ingin mengajak pembaca mengimbas kembali secara ringkas isu yang mencetuskan gegaran dalam dunia perniagaan, politik dan pentadbiran negara.

Ia bermula pada 2009 ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri yang mengambil peluang ‘merampas’ Terengganu Investment Authority (TIA) dan menukarnya menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau sendiri menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat.

1MDB dijadikan syarikat pelaburan kerajaan yang menyasarkan pelaburan secara langsung pelabur asing. Walaupun, Najib menjadi Perdana Menteri pada April 2009, beliau masih terus memainkan peranannya dalam 1MDB, malah mempunyai kuasa penuh meluluskan hal-hal kewangan.

Pada September tahun yang sama, 1MDB menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat minyak dari Arab Saudi – PetroSaudi. Laporan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan 1MDB melabur AS$1 bilion, di mana US$300 juta dimasukkan ke dalam akaun 1MDB PetroSaudi Ltd di dalam bank JP Morgan (Suisse) SA.

Tetapi, US$700 juta daripada jumlah pelaburan 1MDB itu ‘dilencongkan’ dan dimasukkan ke dalam satu akaun di RBS Coutts Bank Ltd. Akaun itu dimiliki oleh Good Star Limited yang mana jutawan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, adalah pemiliknya. Kenapa wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun syarikat Jho Low?

Dan, pada tahun-tahun berikutnya berlakulah pelbagai urusan di dalam 1MDB termasuk melaksanakan beberapa perjanjian kerjasama, selain serangan penceroboh di Sabah pada 2013.

Pada 2014, portal pendedah makluamt – Sarawal Report – dan akhbar kewangan antarabangsa, The Wall Street Journal, mula mendedahkan berita-berita mengenai salah laku dalam dana 1MDB.

Pendedahan terbesar yang mengejutkan negara ialah mengenai wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib. Apabila akaun itu terdedah kepada umum, maka bermacam-macam jawapan diberikan semata-mata untuk meyakinkan rakyat bahawa ‘Najib tak salah’.

Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, juga menegaskan bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam kes wang di dalam akaunnya itu.

Rentetan daripada itu, macam-macam perkara berlaku, termasuk pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pegawai kanan kerajaan, termasuk penyiasat-penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangkap, Peguam Negara dibersarakan, manakala mereka yang membangkitkan isu 1MDB serta menentang Najib akan berdepan tindakan sebagaimana yang berlaku terhadap bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Siasatan oleh pihak berkuasa negara luar juga dimulakan, termasuk di Singapura, Switzerland, Hong Kong, Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Dan, Julai lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) AS memberitahu akan menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion milik individu dan syarikat selepas mereka menyiasat aliran dana 1MDB, dan mendakwa MO1 menerima jutaan dolar dari 1MDB. Individu tidak dinamakan itu dirujuk sebanyak 32 kali dan dinyatakan sebagai ‘pegawai tinggi kerajaan Malaysia’.

Saman yang difailkan di mahkamah itu turut menyatakan lebih AS$3.5 bilion (RM14.16 bilion) dana 1MDB telah disalahgunakan. DOJ mendakwa kesalahan itu dilakukan sepanjang tempoh empat tahun dan membabitkan pelbagai individu, termasuk pegawai Malaysia dan rakan mereka yang berkonspirasi untuk melencongkan berbilion ringgit wang 1MDB. 

DOJ menamakan anak kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya – Riza Shahriz Abdul Aziz – sebagai ‘individu berkaitan’, selain ahli perniagaan Jho Low, Tan Kim Loong (rakan sekutu Jho Low – pemilik beberapa akaun bank di mana dana 1MDB yang diseleweng dipindahkan) dan pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi serta Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Kelmarin Abdul Rahman menamatkan episod berjudul ‘Siapa MO1?’. Tetapi yang belum berakhir ialah kenyataan DOJ yang mengatakan MO1 menerima jutaan dolar dari 1MDB.

Lumrah dunia seseorang akan menyokong sesuatu yang memihak kepada mereka dan begitulah sebaliknya. Contohnya, jika DOJ kata MO1 menerima wang jutaan dolar dari 1MDB sudah pasti pihak MO1 tidak menyukainya dan meminta rakyat jangan mempercayainya dengan memberi macam-macam alasan, termasuk campur tangan kuasa asing dan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Tetapi, bagaimana pula jika DOJ mengatakan MO1 tidak terbabit dan tidak menerima wang jutaan dolar dari 1MDB? Pedang percaya ‘berlari-lari lah’ MO1 dan pengikutnya di seluruh pelosok negara dan dunia menjaja cerita itu dan mengatakan “lihatlah.. FBI dan DOJ telah mengesahkan MO1 tidak terlibat…” dan lain-lain lagi, termasuk menyalahkan penentang mereka.

Namun, penjelasan lanjut Abdul Rahman (bagi melindungi Najib) bahawa MO1 tidak didakwa oleh DOJ adalah isu kecil. Sebaliknya isu besar ialah kenyataan DOJ mengatakan MO1 (Najib) menerima jutaan dolar wang 1MDB, ada penting.

Kata Pedang: Pedang mengucapkan syabas atas keberanian Abdul Rahman mengesah dan mengumumkan siapa MO1. Baik buruk kepada Najib hasil pengumuman Abdul Rahman itu biarlah masa yang menentukan. Satu yang Pedang lihat dari sudut penulisan ialah dengan pengumuman itu media bolehlah mula merujuk terus Najib sebagai MO1.

ismaweb

Takkan Najib nak buang Rahman pulak lepas ni? Tapi mungkin dah ada hembusan dan saranan..!
Berani?
Posted by PUTRA MERDEKA at 7:09 PG 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa