Monday, September 5, 2016

Gabungan Anwar - Mahathir: Adakah telahan ini akan menjadi realiti?

Monday, 5 September 2016
BILA ANWAR DAN TUN M DAH BERGABUNG, BERMAKNA NYAWA POLITIK NAJIB SEDANG BERADA DI HALKUM
Setelah 18 tahun berlalu iaitu sejak dipecat daripada kerajaan dan UMNO pada 2 September 1998, Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim hari ini bertemu semula dan bersalam-salaman, menandakan berakhirnya perseteruan politik yang berlaku selama ini.

Walaupun kehadiran Tun Mahathir di Mahkamah Tinggi ialah untuk memberi sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang memfailkan saman terhadap kerajaan berhubung Akta Majlis Keselamatan Negara, di mana kedua-dua pemimpin tersebut  menentang perlaksanaan undang-undang yang antaranya memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat, realitinya pengertian pertemuan ini memberi makna yang lebih jauh daripada itu.

Dengan pertemuan bersejarah ini, kedua-dua mereka kini dalam persamaan untuk bergabung tenaga bagi mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang, seterusnya memastikan Najib tersingkir dari kerusi Perdana Menteri yang sedang empuk didudukinya.
Walaupun sejak Tun Mahathir keluar UMNO dan kemudian menginisiatifkan parti BERSATU, beliau sudah menjalinkan hubungan dengan PKR yang dipimpin oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, pertemuan bertentang mata dan bersalam dengan Anwar ini merupakan sejarah baru dalam politik negara ini.

Ia secara langsung memberi isyarat tiada lagi perselisihan peribadi antara kedua-dunya dan mereka sanggup berbaik serta bersatu hati demi sama-sama menyelamatkan negara dek onar dan masalah yang dicetuskan Najib sehingga Malaysia sekarang ini menjadi lebih bualan buruk di seluruh dunia.

Sudah barang tentu penyokong Tun Mahathir dan Anwar di semua peringkat masyarakat turut sama bertaut hati dan perasannya, seiring dengan bertemunya kedua-dua pemimpin tersebut

Penggabungan Tun Mahathir dan Anwar ini turut memberi tanda bahawa nyawa politik Najib, UMNO dan BN sudah berada di halkum, hanya menunggu detik dan waktunya saja untuk terpisah daripada kuasa yang digenggam selama ini.
Jika dalam pilihanraya 2013 lalu di mana ketika itu Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim, BN hanya mampu menang dengan kelebihan 23 kerusi Parlimen, tetapi kalah undi popular dengan 47 peratus berbanding 52 peratus, bayangkan dalam PRU 14 akan datang bila mana Tun Mahathir dan Anwar sudah sama-sama berganding bahu?

Bersama isu-isu lain seperti 1MDB, duit ribu-ribu juta dalam akaun peribadi Najib, perangai Rosmah, pembaziran, kemewahan dan macam-macam lagi kemelut yang sedang berlaku dalam negara, genggaman kuasa UMNO dan BN kini tidak ubah ibarat telur di hujung tanduk.

Kesediaan Tun Mahathir ke mahkamah bertemu Anwar ini adalah isyarat pukulan maut yang bakal melumpuhkan Najib secara perlahan-lahan jika beliau ingin terus bertahan sehingga PRU 14 akan datang.

Meskipun Anwar mungkin berada di dalam penjara semasa kempen PRU 14 nanti, jiwa dan perjuangannya, setelah berbaik-baik dengan Tun Mahathir ini, menjadi lebih debat di hati rakyat yang begitu mengharapkan perubahan.
Dalam masa yang sama, impian Najib Ahad lalu yang mahu jentera UMNO berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan lebih cemerlang dengan kelebihan 40 undi di Pekan, hampir tidak memberi sebarang makna lagi.

Menang di Pekan, tetapi jika UMNO dan BN tumbang, ia akhirnya hanya mampu menjadikan Najib sebagai Ketua Pembangkang semata-mata, kalau pun tidak terpaksa turun naik mahkamah menghadapi pelbagai pendakwaan yang bakal dikenakan terhadapnya nanti. (SH 05/09/2016). - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa