Wednesday, September 21, 2016

Suara Jin?

Mangsa terselamat dengar bisikan halus
WARTAWAN SINAR HARIAN - 18 SEPTEMBER 2016
Mangsa terselamat dengar bisikan halus Mohd Faisal Mohd Noor

BACHOK – Mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas petang semalam memaklumkan dia terdengar bisikan halus beberapa saat sebelum kejadian itu berlaku.

Mohd Faisal Mohd Noor, 38, berkata, dia pada awalnya mandi seperti biasa bersama anak- anak buahnya yang lain sebelum terdengar bisikan tersebut.

Kejadian itu meragut nyawa anak sepupunya, Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman,16, yang baharu sahaja ditemui jam 5.38 pagi tadi.

“Masa tu kami tengah mandi ramai- ramai dan tiba- tiba kami rasa tertarik. Masa tu jugalah saya jelas dengar bisikan yang cakap ‘aku nok belako puok- puok mu’. Saya terkejut dan cuba jerit kepada anak- anak buah agar naik ke darat.

“Masa tu saya nampak Allahyarham Riz (Nik Muhammad Syahriezman) dah makin ke tengah. Saya cuba jerit minta tolong tetapi gagal. Saya buka baju untuk ringankan badan dan berenang ke arah dia tetapi saya juga makin lemah. Akhirnya saya menyerah dan apungkan diri seketika. Rasanya kalau saya terapung lebih 10 minit lagi mungkin saya pun tenggelam sama,”katanya ketika ditemui wakil Perantau Bachok, Mohd Nazri Ismail malam semalam.

Mohd Faisal akhirnya berjaya diselamatkan orang ramai yang menaiki jetski di kawasan tersebut, namun Nik Muhammad Syahriezman gagal diselamatkan.

Mayat Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman,16,ditemui ahli keluarganya ketika gerakan mencari bersama pasukan menyelamat yang dijalankan sejak malam semalam.

'Orang terpilih sahaja boleh dengar suara itu'
HABSAH ISMAIL - 19 SEPTEMBER 2016
'Orang terpilih sahaja boleh dengar suara itu' Mangsa lemas ketika mandi di Pantai Irama, Bachok, pagi semalam.

KOTA BHARU - Perbuatan membuang jin atau syaitan atau dikenali sebagai ‘buang anchak’ di kawasan Pantai Irama, Bachok tidak mustahil berlaku berdasarkan kepercayaan orang dahulu yang mengamalkan pemujaan.

Pengerusi Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) Kelantan, Zaki Ya berkata, mereka yang terdahulu memang terkenal melakukan buang anchak untuk memuja makhluk halus.

“Mereka melakukan buang achak dengan cara mengadakan pesta, meletakkan makanan seperti ayam panggang dan ia dihanyutkan ke laut bertujuan kononnya untuk membuang jin atau syaitan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa terselamat dengar bisikan halus]

“Ada juga yang memanggil perbuatan itu sebagai ‘pelepas’. Jin atau syaitan apabila ia berada di situ, ia takkan lari dan boleh mengganggu mereka yang berada berdekatan dengannya , sama ada di pantai, dalam hutan dan sebagainya,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan kejadian lemas di Pantai Irama yang meragut nyawa, Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman, 16, manakala seorang  lagi mangsa, Mohd Faisal Mohd Noor, 38, terselamat dalam kejadian terbabit.

Mohd Faisal menceritakan, semasa mandi dekat waktu Maghrib, dia mendakwa terdengar bisikan halus yang bersuara mengatakan ‘aku nok belako puok-puok mu’ menyebabkan dia sempat meminta anak-anak buahnya naik ke darat dan menyelamatkan diri dengan menanggalkan baju serta mengapungkan badan.

Zaki berkata, berdasarkan cerita dari kejadian itu, suara yang didakwa didengari tersebut boleh jadi betul memandangkan jin atau syaitan tersebut memilih Mohd Faisal untuk mendengarnya.

“Biar orang lain tak boleh dengar bisikan halus itu, tetapi jin atau syaitan sudah memilih dia (Mohd Faisal) untuk dengar, mungkin orang lain tidak dengar, namun perkara itu tidak mustahil berlaku.

“Orang terpilih sahaja boleh mendengar suara itu atau dua, tiga orang lagi biarpun orang lain tidak dengar, namun ada yang dipilih mendengar suara itu sebagai petunjuk kejadian,” katanya.

Kata Zaki, aktiviti mandi watu petang atau waktu berdekatan Maghrib juga menjadi faktor kejadian tersebut kerana dekat Maghrib, jin atau syaitan aktif pada masa berkenaan.

# pada aku cerita dengar bisikan ni aku percaya kerana aku sendiri pernah alaminya semasa gagal mencari jalan untuk turun dari Gunung Ayam. Cuma bezanya kalau dalam kisah ini suara itu merupakan ancaman tetapi sebaliknya suara yang aku dengar di Gunung Ayam adalah suara menunjukkan jalan untuk kami turun yang sebelum ini aku gagal mencarinya. Alhamdulillah kami semua selamat turun. 

Mungkin suara yang berkata-kata kepada aku adalah suara Bunian/Jin yang Islam kerana pada suatu ketika aku mendaki ke sini sebelumnya aku terdengar suara mengaji Qur'an sebelum waktu Subuh dan juga azan Subuh. Takkan Jin kapir azan kot?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa