Monday, November 21, 2016

Akal dan komunikasi merapatkan Amanah-DAP

Rahsia keakraban hubungan DAP-AMANAH
ULASAN l Saya begitu tersentuh dengan tulisan YB Liew Chin Tong yang telah disiarkan di akhbar Amanah keluaran ke 12 iaitu untuk tempoh 14 – 20 Ogos 2016.

Dalam penulisan beliau amat jelas bahawa antara sebab utama DAP begitu selesa dalam berkerjasama dengan Amanah adalah kemampuan berkomunikasi dan kejujuran dalam berpakat.

Sebenarnya kedua-dua sifat ini sepatutnya merupakan sifat semulajadi bagi mana-mana organisasi, lebih-lebih lagi yang memperjuangkan Islam.

Tetapi malangnya cara ia dinyatakan oleh Liew seolah-olah ia merupakan sesuatu yang amat sukar dijumpai di kalangan organisasi politik dewasa ini.

Sememangnya persoalan komunikasi adalah penting bagi sebuah organisasi yang ingin membawa
aspirasi Islam.

Dalam suasana Islam diberikan imej yang ganas dan buruk, kemampuan kita menjelaskan prinsip Islam dalam bahasa yang mudah dan meyakinkan adalah antara cabaran terbesar mana-mana jemaah Islam.

Kecenderungan untuk merempuh, mengugut, memaksa dan sebagainya, sepertimana yang ditunjukkan oleh sebahagian ‘gerakan Islam’ hanya berlaku apabila kurangnya kemampuan untuk memberi penjelasan dan pencerahan yang meyakinkan.

Akal dan komunikasi

Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “bercakap dengan manusia mengikut kemampuan akal dan kefahaman mereka”.

Ini merupakan hadis masyur yang sering diguna-pakai dalam sesi tarbiah untuk membentuk para duat atau pendakwah.

Apabila dibicarakan maksud hadis ini, sering ditekankan bahawa tiada satu corak penjelasan yang sama untuk semua golongan manusia.

Tetapi kadang-kadang dilupai bahawa turut terkandung dan sama penting dalam hadis tersebut adalah bahawa tujuan penerangan ialah untuk memberikan kefahaman melalui akal orang yang mendengar.

Ini adalah kerana mengikut tanpa kefahaman atau ‘taqlid’ secara membabi buta bukan kehendak dakwah islam. Oleh itu, kemampuan berkomunikasi, dalam bahasa yang difahami, melalui kaedah yang diyakini, secara logikal dan rasional yang boleh diikuti minda pendengar adalah sesuatu yang penting bagi semua pendakwah dan pejuang Islam.


Malangnya ramai yang terlibat dalam gerakan Islam diasuh dengan budaya “dengar dan patuh”. Dan atas sebab kononnya usaha mereka berpaksikan ‘keimanan’ maka kefahaman melalui akal seolah-olah tidak diutamakan.

Malahan ada yang menganggap penggunaan akal sebagai sesuatu yang hina dan bercanggah dengan keimanan! Kerana iman adalah kepercayaan tanpa adanya bukti mahupun logik yang membawa kepada kefahaman.

Dan apabila sesebuah gerakan Islam diasuh dengan kefahaman sebegitu rupa, bagaimana ahli-ahlinya akan mampu berkomunikasi? Selama ini ianya sekadar dilatih untuk “dengar dan taat”, “mereka ulama kamu jahil, maka ikut sahaja” dan “jangan banyak tanya, beriman sahaja”.

Maka tidak hairan bagi saya apabila Liew menyebut keselesaannya apabila berbincang dengan pimpinan Amanah, walaupun Amanah sebuah parti Islam.

Akal bukan musuh keimanan

Bagi Amanah, akal adalah antara pemberian Allah yang paling berharga. Pegangan ini terbukti benar apabila ‘Hifzul aqal’ atau ‘penjagaan akal’ disenaraikan sebagai salah satu dari lima perkara utama yang ingin dijaga syariah dalam ilmu Maqasid Syariah.

Akal yang dibebaskan dari pengaruh hawa nafsu mampu membawa manusia kepada kefahaman yang menghasil dan menambahkan keimanan. Akal bukan musuh keimanan. Akal sendiri boleh mengakui kewujudan yang ghaib yang diimani orang-orang yang beriman.

Melalui akal ini dapat juga dihasilkan perbahasan dan komunikasi yang baik samada dengan orang beriman mahupun yang tidak beriman akan sesuatu persoalan.

Oleh kerana ia berpaksikan logik dan rasional tanpa bergantung kepada keimanan, maka komunikasi yang logikal dan rasional seperti yang dinyatakankan di atas mudah difahami semua.


Oleh itu ia menjadi alat perhubungan, dakwah dan penerangan yang paling berkesan samada terhadap yang beriman atau yang sebaliknya.

Oleh itu, antara sebab mengapa pimpinan Amanah mampu berkomunikasi dengan baik dengan pimpinan DAP dan juga parti lain kerana Amanah tidak menuntut supaya ‘diimani’ apa sahaja yang di katakan.

Sebaliknya apa yang dikatakan dikupas dan dibentang secara logikal dan rasional sehingga yang baik terserlah kebaikannya dan begitu juga yang buruk untuk semua yang mendengar menilai.

Kata-kata atau hujjah yang dikemukakan tidak perlu ‘diimani’ walaupun diyakini ianya pandangan yang mantap dan tepat. Kerana ia tetap sekadar pandangan.

Dan sekiranya sebaliknya, iaitu sekiranya dibuktikan bahawa pandangan Liew atau sesiapa sahaja, secara logikal dan rasional, adalah lebih tepat, maka Amanah akan tetap sanggup juga menimbangkannya.

Pemimpin bukan qat’iyah

Perlu difahami bahawa yang sering dibahas adalah bukan persoalan aqeedah atau kepercayaan tetapi pendekatan untuk menyelesaikan masalah khusus yang dihadapi rakyat, iaitu persoalan muamalah dan siasah.

Banyak darinya merupakan persoalan ijtihadiyah atau pandangan. Namun semestinya ijtihad itu dipandu dan selari dengan kehendak dan matlamat syariah.

Dan di sini terletaknya kelemahan sebahagian gerakan Islam! Bagi mereka, semua pandangan pimpinan mereka adalah qat’iyah semuanya di mana ia tidak boleh dipertikai atau disoal oleh yang lain. Kerana apa? Kerana ia ‘pandangan ulama’.

Maka dengar dan patuh kerana “ulama adalah pewaris nabi”. Begitulah dilatihnya ahli-ahli mereka dan begitulah dikehendakinya dari pihak lain.

Kalau pandangan ahli sendiri tidak dihormati, apakah mungkin dihormati pandangan pihak lain? Sedangkan Nabi sendiri membezakan antara pandangan peribadi Baginda (SAW) dan wahyu. Tetapi bagi sebahagian, pandangan ulama dianggap bagaikan wahyu yang wajib diimani!

Kejujuran dalam berpakat

Kejujuran berpakat juga dinyatakan oleh YB Chin Tong sebagai antara sebab utama mengapa DAP selesa berkerjasama dengan Amanah. Amanah dilihat berpegang kepada janji kerana dahulu, apabila pemimpin PAS melanggar janji, mereka yang sekarang ini berada dalam Amanah telah menegur pemimpin tersebut.

Apabila berlakunya peristiwa Kota Damansara, sebagai contoh, setelah bersetuju di semua peringkat ia ditandingi Keadilan, yang berada dengan Amanah sekarang ini telah menegurnya.

Dan begitu juga dalam begitu banyak keadaan dan situasi, apabila PAS melanggar janji, maka yang sekarang berada dengan Amanah jugalah yang telah menegurnya.

Maka bagi Liew, ini adalah bukti kejujuran dalam berpakat. Sedangkan yang lain sekadar berdiam diri dan mengikut sahaja.

Sehinggakan ada seorang Pesuruhjaya Negeri yang ditukarnya selepas muktamar 2013 kerana disyaki
atas sebab beliau bersama dalam sidang akhbar menyokong Dr Nasir sebagai calon rasmi Pakatan Rakyat di Kota Damansara!

Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “Orang mukmin berada atas (berpegang pada) janjinya”. Samada berjanji dengan orang Islam atau yang bukan Islam, janji dipegang dengan tepat. Dan apabila janji dilanggar, maka orang beriman mesti bersuara membantah sambil menjauhkan diri mereka dari pihak yang melanggar janji dan mengutuk tindakan melanggar janji itu.

Ada yang menganggap janji kepada yang bukan Islam boleh dilanggar begitu sahaja kerana mereka bukan Islam. Sikap sebegini bukan dari Islam.
Mungkin ia dari ajaran Yahudi yang menganggap selain berbangsa dan beragama Yahudi adalah manusia yang tidak berhak dan boleh dizalimi mereka?

Kalau dilihat dari sudut ajaran Islam, bertindak khianat terhadap rakan yang bukan Islam adalah dikutuk dan diancam Allah dengan azab seksaan yang amat pedih!

Ini adalah kerana tindakan sebegitu menyebabkan yang bukan Islam terhalang dari melihat kebenaran Islam. Akhlak yang hodoh dan rosak di kalangan orang Islam menjadikan yang bukan Islam lari dari Islam.

Kesimpulan

Sebenarnya apa yang dijelaskan oleh YB Chin Tong bukanlah sesuatu yang pelik. Komunikasi adalah penting dalam semua jenis hubungan, dari hubungan antara dua sahabat sehingga ke hubungan antara organisasi.
Dengan adanya komunikasi yang jelas dan baik maka akan terjalin hubungan yang mantap. Komunikasi antara rakan merupakan bukti saling menghormati kerana yang diinginkan adalah keadaan saling memahami dan bukan dominasi satu pihak atas satu pihak yang lain.

Kedua-dua sifat yang diutamakan YB Chin Tong merupakan aspek yang pernah dipesan Nabi.

Sebagai sebuah parti Islam tiada panduan yang lebih utama selain Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Saya yakin sekiranya dua sumber ini terus dipegang sebagai panduan Amanah, maka sokongan terhadapnya akan terus bertambah dan YB Chin Tong sebagai bukti akan kebenaran dakwaan ini. 

KHALID SAMAD adalah ahli parlimen Shah Alam dan tulisan ini pertama kali dimuatkan di blognya. -sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa