Sunday, November 27, 2016

RUU 355 dan Syaitan: Zaid cabar debat

NOVEMBER 25, 2016 Zaid Ibrahim

Berdebat Dengan Saya

Saya telah menerima banyak maklumbalas yang penuh dengan kemarahan daripada penyokong-penyokong Akta 355. Ramai yang menggelar saya “syaitan”.
Saya bukanlah syaitan. Saya rasa saya telah melakukan banyak perkara yang baik untuk umat Islam melalui amal kebajikan saya selama 20 tahun yang lepas — paling tidak pun, lebih daripada ramai pihak yang menuduh saya.
Saya mungkin bukanlah yang paling arif tentang hukum Islam, tetapi saya boleh mengenali ketidakadilan apabila saya menyaksikannya. Saya amat mengambil berat tentang nasib orang Melayu dan saya cukup meluat melihat bagaimana ahli-ahli politik dan pendakwah telah mempergunakan mereka. Bangsa Melayu umumnya bergantung berat dengan pemimpin-pemimpin mereka di dalam hal-hal politik dan agama, dan akibatnya mereka telah diperdayakan sebulat-bulatnya.
Saya memahami yang orang Melayu mahukan undang-undang Islam, sama seperti mereka inginkan perubatan Islam, pendidikan Islam, sukan Islam, dan seterusnya. Saya terima semua itu, asalkan semuanya adalah untuk kebaikan dan kemajuan umat Islam dan bangsa Melayu.
Walau bagaimanapun, jika perkara yang ingin dijalankan membawa kepada kemudaratan, maka ianya haruslah ditentang.
Malangnya, penyokong-penyokong setiap perkara yang “Islamik” mempunyai kecenderungan untuk pergi lebih jauh dari semua itu. Mereka memandang rendah kepada kita, dan berlagak seolah-olah pertuturan mereka adalah arahan dari Tuhan dan oleh itu, hendaklah diikut.
Pengganas Taliban juga berbahasa sama seperti mereka yang mendesak untuk mewujudkan sebuah “Negara Islam” hari ini. Oleh sebab itu saya fikir yang golongan Islamis Malaysia ini harus bertindak lebih daripada hanya berbuat pengumuman sahaja. Mereka harus menunjukkan bukti bahawa apa yang ingin mereka laksanakan adalah pada hakikatnya baik untuk rakyat. Allah hanya akan merestui perkara-perkara yang baik untuk umat manusia.
Dalam cara manakah Akta 355 — yang telah diulang semak ini pun — baik untuk yang berugama Islam? Saya telah meminta supaya satu perdebatan terbuka dengan penyokong-penyokong Akta 355 disiarkan secara lansung di kaca televisyen supaya saya berpeluang untuk menerangkan kepada umat Islam mengapa mereka perlu bertenang dan memeriksa dengan teliti usul Datuk Seri Hadi Awang itu.
Saya ulangi sekali lagi tawaran saya itu sekarang kerana saya percaya orang Melayu dan yang berugama Islam berhak mengadakan satu perbincangan terbuka tentang perkara ini. Akta 355 tidak seharusnya dipersetujui dengan senyap oleh pemimpin-pemimpin parti politik dalam mesyuarat-mesyuarat rahsia dengan Ahli-ahli Parlimen yang dipilih sahaja. Akta ini melibatkan banyak nyawa. Mereka boleh berbuat apa yang mereka suka dengan hidup mereka sendiri, tetapi janganlah bersifat sombong dan semberono dengan hidup umat Islam di dalam negara ini.
Satu lagi contoh sifat sombong mereka: ada beberapa peguam Muslim yang menyatakan bahawa hukuman sebat di dalam Islam adalah “berbeza” jika dibandingkan dengan sistem jenayah sivil dan 100 kali sebatan serupa dengan sekali sebatan yang dilakukan di penjara Kajang.
Sebenarnya, saya sangsi yang peguam-peguam itu pernah mengalami secara sendiri sebatan “cara Islam” itu, dan tidak ada pula buku arahan yang mengarah sebanyak mana kekuatan yang perlu digunakan dan alat apakah yang perlu digunakan untuk menjalankan sebatan itu.
Adakah sesiapa di antara peguam-peguam ini telah menyaksikan hukuman rotan yang dilakukan di hadapan khalayak ramai di Afghanistan dimasa pemerintahan Mullah Omar ataupun di wilayah Baluchistan di Pakistan? Ianya sangat ganas dan tidak berperi kemanusiaan, tetapi telah dianggap “Islamik” oleh mereka yang mengamalkannya. Jadi, jenis “keadilan Islamik” apakah yang akan kita terima di sini?
Saya terima kesungguhan mereka untuk menjalankan keadilan Islam yang sebenar, tetapi mereka juga perlu berhati perut dan mempunyai belas kasihan kepada golongan yang berkemungkinan besar untuk menerima keadilan Islam yang palsu: kaum wanita, mereka yang miskin, dan anak-anak muda yang mungkin terkeluar sedikit dari landasan dengan mencium kekasih hati mereka di dalam taman.
Masihkah anda semua ingat, pada tahun 2012 seorang lelaki telah merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, tetapi pendakwaannya telah digugurkan kerana dia telah mengahwini kanak-kanak itu dengan izin Mahkamah Syariah? Adakah anda ingin meletakkan kepercayaan anda di tangan Hakim Syariah yang seperti itu untuk memberikan keadilan kepada anak-anak anda?
Saya juga ingin mengingatkan peguam-peguam yang berugama Islam ini bahawa kita tidak mempunyai cukup peguam-peguam syarie yang mengkhusus dalam bidang jenayah, bagi mereka yang mampu untuk melantik peguam-peguam seperti itu untuk membela mereka. Tambah lagi, peguam syarie diterima pada peringkat negeri — jika anda seorang peguam syarie di Kelantan, tidak bermakna anda secara automatik boleh membela anak guaman di Terengganu. Tidak ada badan pentauliahan pusat seperti yang wujud untuk peguam-peguam sivil.
Adakah sebuah negeri seperti Kelantan akan meluluskan peguam-peguam syarie yang memegang pandangan-pandangan yang liberal? Adakah negeri seperti itu akan meluluskan mana-mana peguam syarie untuk membela orang-orang yang dianggap “sesat”? Tidak, mereka tidak akan melakukannya — tiada peguam syarie di Terengganu yang bersedia untuk membela arwah Ayah Pin.
Jadi, mengapakah kita perlu memberikan lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah di bawah Akta 355 untuk menjatuhkan hukuman penjara yang lebih lama, lebih sebatan, pemotongan anggota badan dan selainnya ketika infrastructure undang-undang yang asas pun tidak wujud?
Kepada ahli-ahli politik Pembankang (yang bukan Islam), saya kini berkata perkara yang sama: hanya kerana anda tidak menerima apa-apa kesan dari Akta ini tidak bermakna anda tidak perlu mempedulikan isu ini.
Salah seorang daripada mereka telah berkata, “Apakah salahnya memberikan apa yang orang Islam kehendaki?”
Bagaimanakah dia mengetahui apa yang dikehendaki oleh orang-orang Islam? Hanya kerana itu yang dikatakan oleh Hadi? Jadi, bagaimana jika orang-orang Islam mahukan hamba-hamba abdi semula? Bagaimana jika orang-orang Muslim lelaki ingin dibenarkan untuk mengahwini kanak-kanak berumur 13 tahun? Adakah kita harus menunaikan semua hasrat mereka?
Ahli-ahli Parlimen, daripada parti mana pun, harus bertanggungjawab untuk kesejahteraan rakyat di negara ini. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan kepada rakyat perkara-perkara yang boleh mengaibkan rakyat. Itulah sebab mengapa mereka menjadi pemimpin.

1 comment:

  1. Pas telah brtukar mnjadi pas90 .....tunggu apa lagi lariiiii n pakat keluar blako.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa