Tuesday, November 29, 2016

Tahanan SOSMA: Pengalaman 10 malam Maria

10 malam Sosma Maria
Alyaa Alhadjri     28 Nov. 2016, 8:53 malam
 
 
Selepas melalui malam-malam yang menjerihkan, ia bukan alasan untuk Maria Chin Abdullah mengambil masa panjang berehat di rumah.

Sejurus selepas dibebaskan daripada tahanan polis petang tadi, dia pulang untuk disambut tiga anaknya - Azumin, Aziman Azemi Yunus. Turut menunggu di rumah itu ialah bapa Maria Chin.

Sejurus kemudian rakan-rakan dari BERSIH mula tiba meraikan kegembiraan Maria Chin yang sebelum itu ditahan mengikut Sosma - iaitu nama lain yang lebih mudah untuk menjelaskan Akta Kesalahan Jenayah (Langkah-langkah Khas) 2012.

Agenda seterusnya ialah menuju Dataran Merdeka yang sejak 27 November lalu menjadi tempat berkumpul penyokong BERSIH untuk mendesak Maria Chin dibebaskan.

Malam ini Maria Chin hadir sendiri di lokasi itu.
"Saya tiba di sini (rumah) dan mereka semua datang," katanya dengan nada gembira kepada Malaysiakini.

Maria Chin ditanya apakah yang mula-mula dilakukannya sebaik tiba di rumahnya.

Menjelang jam 6 petang petugas media sudah berkumpul di depan rumahnya tetapi masing-masing masih teragak-agak untuk memanggil Maria Chin keluar.

Aktivis Suaram, Amir Abdul Hadi, yang tidak tidak lama kemudian memujuknya untuk bertemu media seketika.

Sambil mengucapkan penghargaan kepada penyokongnya Maria Chin juga menyampaikan mesej khas kepada ketiga-tiga anak lelakinya yang sentiasa menyokong dalam sebarang keadaan.

"Saya kagum dengan ketabahan anak-anak dan mereka tidak pernah meragui saya," katanya.

Ditanya pengalamannya ditahan sendirian selama 10 hari, Maria Chin berkata, kesan utama dialaminya adalah rasa bercelaru.

"Anda tidak tahu waktu ketika itu siang atau malam. Lampu dalam sel itu dibiarkan terpasang sepanjang masa dan tidak ada sebarang tanda menunjukkan waktu sebenar," katanya.

Kadang-kadang ada lobak merah

Lebih memburukkan keadaan kata pengerusi BERSIH itu, polis menutup matanya setiap kali dia dibawa keluar dari bilik tahanan untuk disoal siasat.

Soalan yang ditanyakan pula, kata Maria Chin, kebanyakannya berkaitan sumbangan Open Society Foundation - yang dikaitkan dengan hartawan George Soros - serta operasi Global BERSIH dan butiran akaun pertubuhan berkenaan.
Setiap sesi soal jawab, katanya, berlangsung lebih enam jam dengan tempoh rehat yang singkat di antaranya.

"Empat hari pertama memang menyeksakan. Saya sakit belakang sebab berbaring di atas papan dan hampir-hampir tidak dapat tidur langsung," katanya.

Mengenai hidangan pengalas perut, Maria Chin berkata, dia diberikan roti dengan sedikit kaya "yang tak tahu pun ia wujud" pada makanan itu.

Juga diberikan, air teh yang kelihatan seperti air lumpur serta sedikit biskut.

"Untuk makan tengah hari dan malam, mereka memberikan saya (lauk) daging sebesar kotak mancis api. Kadang-kadang ia datang bersama sepotong lobak merah.

"Mereka juga memberikan air manis yang rasanya sangat teruk," katanya.

Seorang aktivis Global BERSIH, Ivy Josiah, menambah menu itu tentu boleh menyebabkan seseorang mendapat diabetes dalam tempoh yang sangat singkat.

Sepanjang ketiadaan Maria Chin, Ivy sering dilihat menemani Azumin, Aziman Azemi bersama Cynthia Chin (adik Maria).

Sementara itu di sebalik kegembiraan mereka melihat Maria Chin pulang, anak kedua, Aziman, berkata masih banyak yang perlu dilakukan bagi mencabar penahanan aktivis terbabit di bawah Sosma.

"Ini baru langkah pertama kami - membawa ibu pulang," katanya yang kini berusia 23 tahun.

Maria Chin juga menegaskan dia akan memfailkan saman bagi mencabar penahanannya yang dianggapnya "tidak adil".

Ditanya kemungkinan pihak berkuasa akan bertindak keras ke atas perhimpunan yang diadakan untuk menyokongnya, Maria Chin berkata, ia adalah "bodoh" kerana hanya akan menambah kemarahan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa