Sunday, November 27, 2016

Ucapan Zam merasmikan perhimpunan Agung Perkasa

SUNDAY, 27 NOVEMBER 2016

BERANIKAH NAJIB LARI DARI MULUT BUAYA KE MULUT NAGA
MEMBINA CORAK POLITIK BARU DI LUAR SENTIMEN MELAYU
(Bahagian terakhir dari ucapan Zainuddin Maidin merasmikan perhimpunan Agung Perkasa)
Zam bersana Dato' Ibrahim Ali

Dalam buku Men in White mengenai Lee Kuan Yew (Muka 610) disebutkan bahawa selepas perpisahan dari Malaysia apabila  LKY mengetahui hasrat Dewan perniagaan China mahu berjuang mengekal status Bahasa China dan budaya China di Singapura beliau membunuh benihnya sebelum tumbuh .

Beliau memanggil pemimpin mereka dan meletakkan mereka di bawah sinaran lampu TV siaran langsung dan memberitahu mereka bahawa beliau tidak akan membenarkan sesiapapun mengexsploitasi Bahasa China sebagai isu politik. “Mereka tidak boleh lagi berada dalam prasangka  bahawa saya akan membiarkan sesiapa juga mengexsploitasi Bahasa China sebagai isu politik China”. Beliau kemudian dengan tegas menghapuskan sekolah China, Universiti China dan Institusi pengajian dan kebudayaan China.

Lee Berkata “ Selepas 1965 kita terpaksa membuat keputusan mengenai Bahasa bersama. Sekiranya kita jadikan China sebagai Bahasa bersama maka kebudayaan China akan menjadi dominan yang akan membawa kepada perpecahan masyarakat ( muka 613)
Di Singapura perarakan mayat dan pembakaran geharu tidak dibenarkan kerana mengganggu ketenteraman dan jiran sebelah.

Bahaya  Singapura kepada keselamatan Malaysia seperti bahayanya Yahudi kepada negara-negara Arab sering dibangkitkan  oleh pemimpin-pemimpin Melayu Malaysia  tapi mereka lupa membuat perhitungan  bahawa Singapura  akan lebih mengancam Malaysia sekiranya  menjadi pusat perkauman Cina atau sebuah negara komunis.

Lee Kuan Yew telah mencegah hal ini dari berlaku sebaliknya menjadikan Singapura   sebuah negara liberal sosialis yang kaya dan makmur yang telah melimpahkan kekayaan kepada Malaysia. Selain dari memberikan pekerjaan kepada rakyat Malaysia, juga mencurahkan wang pelancongan rakyatnya.

Walaupun kita bercakap tentang kemungkinan peperangan antara Malaysia dan Singapura tetapi kedua negara ini akan terus menjadi strategik partner kepada Amerika Syarikat dan Kuasa Barat  bersama dengan India dan negara-negara Asean lainnya untuk menghadapi bahaya China kerana  di yakinkan oleh  indoctrinasi Kuasa Barat bahawa China mengancam keselamatan sedangkan merekalah sebenarnya yang  menjadi penjajah baru dengan berselindung disebalik Globalisasi, menghancurkan perpaduan negara-negara Arab dan membunuh ribuan orang Islam setiap hari dan bukan China.

Sebaliknya Chinanisasi dimomokkan dan Amerikanisasi didemokrasikan. Apakah Datuk Seri Najib akan dapat menghapuskan fobia Chinanisasi dan menChinanisasikan Malaysia, Adakah Najib berani keluar dari dari mulut buaya dan masuk ke mulut naga?.Kita telah berada dalam mulut buaya sejak dari Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhom Tunku Abdul Rahman.

Meningkatkan keupayaan pertahanan negara bukanlah jawapan kepada ancaman keselamatan samaada real atau imaginasi dari  Singapura tetapi persaingan ekonomi yang sihat , peningkatan  taraf hidup rakyat, permodenan negara adalah  pertahanan yang paling kukuh.

Inilah yang disedari oleh  Tun Abdul Razak  dan Tun Mahathir.

Tun Razak telah menjadikan bekas-bekas anggota  PAP yang pro komunis yang juga bekas  tahanan politik di Singapura sebagai sahabat bagi membantunya memahami pemikiran di belakang  dasar-dasar  Singapura terutama di bidang ekonomi. Diantara nya ialah Woodhull dan Putucheary.

Malaysia  telah mendahului Singapura dalam membuka Casino di Genting Hinghland  dan melancarkan FI yang diikuti oleh Singapura beberapa tahun kemudian .Lee Kuan Yew memberitahu Pengarang Mingguan Malaysia Zin Mahmud dalam satu interviu bahawa Singapura terlepas F1 kepada Malaysia tetapi apa juga atas nama Mahathir sedang menghadapi ancaman sekarang dan khabarnya FI akan dihentikan. 
  
Mahathir mendirikan bangunan tertinggi di dunia  Menara Petronas bukanlah semata-mata untuk berbangga kepada dunia tetapi kerana bangunan-bangunan tinggi dan modern di Orchard Road Singapura merendahkan perasaan rakyat Malaysia yang pergi mendongak kepala di Singapura tetapi sekarang orang Singapura datang ke Kuala Lumpur mendongak kepala melihat bangunan tertinggi didunia.

Bayangkanlah betapa perasaan rakyat Malaysia pada setiap kali ke Singapura jika Malaysia tidak mempunyai LRT dan monorail. Mungkin ada rakyat Malaysia yang pergi ke Singapura semata-mata untuk naik LRT dan kemudian merasakan kita ketinggalan.

Mahathir telah meningkatkan keupayaan pelabuhan Klang dan membuka pelabuhan Tanjung Pelepas untuk menyaingi Singapura.

Dari sejak awal kemerdekaan untuk melaksanakan projek-projek yang sensitif kepada orang Islam, pemimpin Melayu terpaksa melawan fanatisme agama bangsanya dengan merationalisasikan pemikiran mereka.

Ini dapat dilihat dari kesanggupan Tunku untuk menanggung dosa kerana mahu mendirikan Masjid Negara dengan wang lottery Kebajikan Masyarakat ketika negara masih miskin sehingga kepada  pemberian  lesen  judi  ekor dan casino, meneruskan pertandingan membaca Al Quran walapun dianggap haram sehigga mengharumkan nama negara di kalangan negara-negara Islam, memastikan hari puasa dan aidilfitri dengan memakai rukyah dan hisab yang sebelumnya menjadi masalah tentang ketidakpastiannya kepada umat Islam sejak dari zaman penjajah.

Tindakan berani Mahathir menegur amalan agama yang bersifat taksub ,jumud dan conservatif seperti keengganan doktor wanita Melayu menyentuh pesakit  lelaki kerana dianggap haram sebaliknya memeriksa pesakit dengan pensil
 .
Mahathir mengharamkan Al-Arqam yang memperalatkan kanak-kanak untuk mengutip tabungnya,melarikan siswa-siswa wanita dan mengorbankan masa depan ramai pelajar, mengambil harta benda pengikutnya dan tidak menghormati undang-undang syariah di negara ini

Semua ini nampak mudah setelah kita melaluinya dan kita tidak sedar kerana sikap persisten pemimpin-pemimpin UMNO dalam menentang koservatisme dan kejumudan agama yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman telah akhirnya menjayakan evolusi sosial yang besar  di negara ini.

Orang Melayu sekarang berada pada kedudukan yang jauh lebih baik dari era selepas kemerdekaan. Tanpa asas yang kuat pun kita boleh sampai kepada peringkat ini maka apakah kita tidak boleh melonjak lebih tinggi dan lebih cepat kehadapan dengan  kita berada pada kedudukan yang lebih mantap sekarang

Tun Razak memberitahu Parlimen selepas peristiwa 13 Mei, dalam ucapannya di Parlimen  pada 23 Febuari 1971 bahawa pada tahun 1970 bilangan siswazah Melayu dalam fakulti Sains di Universiti Malaya hanya 20 orang daripada 493 orang, seorang dari 71 orang dalam fakulti kejuruteraan, 15 orang daripada 40 orang dalam Fakuli Pertanian dan hanya 4 orang daripada 60 orang dalam fakulti perubatan.

Sekarang kita mempunyai  doktor Melayu diseluruh negara disamping doktor-doktor  pakar yang terkemuka,jurutera-jurutera Melayu ,arkitek, accountant dan sebagainya yang tidak sahaja berkhidmat di dalam tetapi juga di luar negara.

Di negara-negara Arab professional Melayu dianggap sebagai yang kedua terbaik dari profesional Barat sedangkan rakyat dari negara Bangladesah, Pakistan, Philipina dan Indonesia adalah menjadi tenaga buruh 

Dalan masa yang singkat pimpinan Melayu dan Islam telah mencipta sejarah besar yang mengharumkan nama Malaysia dan menggemparkan dunia.

Hanya dua bulan sahaja selepas Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia telah berjaya membuat serangan waktu subuh di London Stock Exchange pda 7 September 1981 untuk mengambil balik harta kita  lebih 200,000 ekar tanah kelapa sawit, getah dan koko dari British yang dimiliki oleh Guthrie.

Bukankah kita sebuah negara yang bijaksana dan  berperadaban tinggi apabila dapat melakukan ini menerusi commercial transaction dan bukan nationalisation  

Apakah kita suatu bangsa pengecut  apabila kita boleh menggugat Britain dengan Buy British last kerana mahu mengexpolitasi  kita?

Bukankah kita suatu bangsa yang bermaruah apabila kita dapat mematahkan serangan peyangak  mata wang Soros sedangkan negara-negar lain termasuk Singapura mejadi mangsanya dan kita memalukan Singapura yang cuba mensabotajkan kita pada masa itu dengan membeli sebanyaknya currency kita.

Adakah kita akan mempunyai Putrajaya sebuah bandar bercirikan Islam dan modern di Malayisa sekiranya kita tidak mempunyai pemimpin yang mempunyai visi untuk menggunakan wang hasil minyak(PETRONAS) bagi pembangunan sebuah bandar terindah bercirikan Islam yang boleh dimegahkan sebagai suatu warisan bangsa dan agama.

Apakah akan jadi wang itu sekiranya tidak digunakan pada projek  yang boleh merealisasikan impian suatu bangsa untuk menjadi bangsa yang bermaruah.

Adakah imej kebesaran dan kegemilangan bangsa ini boleh dihapuskan oleh Salleh Said Kruak dan Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Strategi Komunikasi BN atau Penglima Garang Datuk Jamal Temberang?

Apakah rakyat mempunyai keyakinan untuk meneriakkan Malaysia boleh!, Malaysia boleh!  kalau  mereka tidak melihat bukti-bukti dan tugu-tugu dan yang menunjukkan kita boleh.

Kita telah  mencapai semua keagungan ini  kerana  kepimpinan Melayu yang terbuka, demokratik, cekap, bijak dan berani walaupun tiada kesetiaan dari rakan seperjuangan kita   MCA dan MIC.

Apakah kita harus memejamkan mata kepada  hakikat bahawa MCA dan MIC bukan lagi mewakili orang Cina dan India dan hanya menjadi parasit kepada UMNO  tetapi DAP telah mengambil alih tempat mereka mewakil  orang China dan bukan Melayu lainnya.

Apakah sesudah lebih 60 tahun merdeka, kita boleh mengekalkan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Pengekalan kuasa Melayu dalam  tentera dan polis, kita  masih takut untuk melihat dari perspective yang betul untuk membina suatu corak  politik baru di luar sentimen Melayu.

Bagi pertama kalinya dalam sejarah negara ini,rakyat dari semua kaum sekarang bersama dan bersatu dalam rasa kehilangan  kepimpinan yang berintegriti dan bemaruah yang mahu menolak  pimpinan yang rasuah dan menyalahgunakan wang negara.

Adakah ini semua hanya boleh dicapai dengan perpaduan UMNO dan Pas, dengan hanya perpaduan Melayu dan bukan dengan perpaduan seluruh tenaga yang dinamik, radikal, progresif yang melampaui batas kaum dan agama. 
  
Dengan doa, semoga PERKASA terus maju dan berjaya. Saya rasmikan persidangan Agong PERKASA kali yang ke-7.

Posted by zainudin maidin at 21:17 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa