Saturday, December 24, 2016

Lambang keagungan ISLAM

Posted on Saturday, December 24 @ 09:06:11 MYT by paktam
NEGERI Kelantan sememangnya tidak pernah sunyi daripada pelbagai catatan tawarikh sepanjang zaman. Pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu, Sultan Muhammad V adalah antara saat yang paling dinantikan rakyat negeri itu.

Sebelum ini, nama ‘Sultan Muhammad’ sekadar terbuku dalam lipatan sejarah dan bagi kebanyakan rakyat, ia hanya sinonim dengan nama sebuah stadium keramat tempat pasukan bola sepak The Red Warriors menumpahkan keringat.

Namun, gelaran yang dihidupkan semula sejak pemasyhuran Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010 itu kini menjadi semakin fenomena apatah lagi setelah baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Baginda yang diputerakan 47 tahun lalu dengan nama Tengku Muhammad Faris Petra dilaporkan berkenan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V atas kehendak sendiri dan untuk mendapat berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan leluhur Seri Paduka dahulu.

Seorang penulis dan pengkaji sejarah negeri ini, Ismail Che Daud berkata, penggunaan gelaran Sultan Muhammad telah bermula pada zaman Long Muhammad bin Long Yunus yang memerintah antara 1801 sehingga 1835.

Ismail yang juga penulis buku ‘Kisah-kisah Sejarah Negeri Kelantan’ terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berkata, Long Muhammad adalah perintis kepada ‘wangsa’ keturunan keluarga diraja yang memerintah Kelantan hari ini.

mega utusan malaysia
Selain sifat 
rendah diri baginda yang kerap turun padang menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama rakyat, antara perkara lain yang turut mendapat pujian dan sebutan ramai adalah bagaimana baginda menukar lafaz ‘Daulat Tuanku’ kepada ‘Allahuakbar’.

“Long Muhammad yang tidak mempunyai anak juga dikenali sebagai ‘Marhum Mandul’. Selepas kemangkatannya pada 1835, berlaku ‘perang saudara’ dan akhirnya adindanya iaitu Long Jenal @ Long Zainal pula naik memerintah dalam tempoh singkat.

“Selepas itu, anak saudara Long Muhammad iaitu Long Senik Mulut Merah bin Long Tan memerintah dari tahun 1838 hingga 1886, menggunakan semula gelaran Sultan Muhammad II.

“Antara tahun 1886 hingga 1890 pula, anakanda kepada Sultan Muhammad II ini iaitu Long Ahmad yang mewarisi pemerintahannya bagaimanapun mengguna pakai nama sendiri iaitu Sultan Ahmad,” kata Ismail.

Tambah beliau, gelaran Sultan Muhammad itu kemudiannya dihidupkan semula buat kali ketiga oleh Long Kundor bin Sultan Ahmad yang memerintah antara 1890 sehingga 1891.

Jelasnya, Sultan Muhammad III mangkat mengejut semasa beradu pada 11 Mei 1891 dan digantikan dengan adindanya, Long Mansor bin Sultan Ahmad yang memerintah dari 1891 sehingga 1900.

Long Mansor pada awal pemerintahan menggunakan nama Raja Kelantan dan hanya menggunakan nama Sultan Mansor pada tahun-tahun akhir pemerintahannya.

“Kemudiannya anak saudara baginda yang juga anakanda kepada Sultan Muhammad III iaitu Long Senik naik menjadi Sultan (1900 hingga 1920). Bagi menjaga hati sesetengah kerabat yang terguris hati dengan pelantikannya, Long Senik menggunakan gelaran Raja Kelantan pada peringkat permulaan.

“Baginda hanya mula menggunakan gelaran Sultan Muhammad IV setelah ditabalkan pada 22 Jun 1911,” jelas Ismail.

Menurutnya, penggunaan gelaran ‘Sultan Muhammad’ terhenti di situ apabila raja yang ditabalkan berikutnya iaitu anakanda Long Senik sendiri, Sultan Ismail tidak menggunakan gelaran sama lagi apabila memerintah antara 1920 hingga 1944.

Katanya, adinda Sultan Ismail iaitu Sultan Ibrahim yang mengambil alih tampuk pemerintahan antara 1944 sehingga 1960 juga mengguna pakai nama sendiri.

“Pemerintahan kesultanan Kelantan selepas itu kemudiannya disambung Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim (1960 hingga 1979) dan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra (1979 hingga 2010) sehinggalah pemasyhuran Sultan Muhammad V pada 13 September 2010.

“Penggunaan gelaran ‘Sultan Muhammad’ bukanlah perkara baharu yang sengaja diada-adakan, ia adalah sesuatu yang diwarisi turun temurun keluarga diraja dan bergantung sepenuhnya atas kehendak baginda sultan untuk menggunakannya atau tidak,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Farok Zakaria berkata, penggunaan gelaran yang sama membolehkan leluhur atau ‘titih barih’ seseorang raja dikenal pasti dengan lebih mudah.

Malah katanya, gelaran yang biasanya dirangkai dengan nombor turutan bilangan itu akan menjadikan seseorang raja dan sejarah yang berlaku pada zaman pemerintahannya lebih mudah diingati.

“Ini menjadi ‘standard’ dunia. Kita boleh lihat di United Kingdom atau Perancis misalnya, raja-raja mereka juga menggunakan gelaran yang sama seperti King George dan King Louise yang diguna pakai generasi seterusnya mengikut turutan masing-masing.

“Keputusan menggunakan gelaran itu juga bertepatan dengan peribadi Sultan Muhammad V yang cenderung kepada agama dan kedudukan negeri Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah.

“Saya berpandangan baginda berkenan menggunakan gelaran itu kerana nama Muhammad itu sendiri adalah nama junjungan kita Nabi Muhammad SAW, jadi selain merujuk kepada pangkal nama asal baginda sendiri, baginda menggunakan nama Muhammad sebagai lambang pegangan agama yang jitu yang menjadi warisan penduduk negeri ini,” katanya.- utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa