Friday, December 30, 2016

Nampaknya dah mula main kasar ni!

Wartawan Sinar Harian diugut bom
SAPINAH AB GHANI - 30 DISEMBER 2016
Mohd Zailani Abd Rahman

KOTA BHARU - Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) memandang serius terhadap ugutan bom yang diterima salah seorang wartawan Sinar Harian kira- kira jam 5.51 petang semalam.

Presidennya, Mohd Zailani Abd Rahman berkata, Kemudi berharap tindakan tegas dapat diambil pihak berkuasa terhadap mana- mana pihak dipercayai melakukan ugutan berkenaan dan membawa mereka kemuka pengadilan.

“Wartawan wanita berkenaan menerima panggilan telefon lewat petang semalam daripada nombor telefon sama yang didakwa menelefon bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan untuk mengebom kedua-dua bangunan berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: LTSIP gempar terima panggilan palsu]

“Satu laporan polis telah dibuat wartawan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini kira-kira jam 9 malam tadi. Kita harap tindakan tegas akan diambil bagi mengelak kejadian ugutan kepada wartawan khususnya mereka yang melaporkan berita  jenayah terus menular,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zailani berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi umum mengetahui tugas wartawan adalah melaporkan apa jua kejadian dan berita secara profesional tanpa mana-mana pengaruh atau fahaman tertentu.

Mengulas lanjut, Mohd Zailani berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai berpunca daripada laporan kejadian ugutan bom di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu dan Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang dibuat wartawan berusia 36 tahun itu pada 28 Disember lalu.

Dalam pada itu, Mohd Zailani berkata, kes-kes ugutan bom di bangunan kerajaan dan awam sebelum ini juga perlu ditangani pihak berkuasa agar tidak berlarutan sekali gus mengancam keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 507 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan melalui telefon.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, terdapat tiga kes panggilan bom palsu direkodkan berlaku di negeri ini iaitu dua melibatkan Kompleks Mahkamah Kota Bharu dan satu kes melibatkan LTSIP.

Rabu lalu, Kompleks Mahkamah Kota Bharu dan LTSIP gempar apabila menerima panggilan ugutan bom dan sehingga kini siasatan masih dijalankan.

Sementara pada 29 November lalu, kompleks mahkamah sama turut diancam letupan bom melalui panggilan telefon yang diterima di bilik gerakan polis daripada seorang lelaki, pada jam 8.47 pagi.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa