Tuesday, April 25, 2017

Labellah lagi: Bila terkena hidung sendiri........

Mahu jadi monyet atau biawak?
ABDUL NSER TUN RAHMAN - 25 APRIL 2017
Mahu jadi monyet atau biawak? Gambar hiasan

BARU-BARU ini, sebuah surat khabar Cina telah melukis sebuah kartun di mana Haji Hadi digambarkan sebagai 'monyet'. Netizen-netizen meluahkan pelbagai perasaan. Ada yang kaitkan ini dengan rasisme, atau usaha untuk menjatuhkan Islam dengan bersifat biadab pada seorang ulama.

Saya tidak setuju dengan kartun ini dan pihak surat khabar sudah pun meminta maaf. Tetapi saya tertarik dengan komen bahawa Haji Hadi sendiri sebelum ini pun pernah melabel musuh-musuhnya dengan pelbagai jenama seperti barua, anak taik, jebon dan biawak.

Maka, tiba-tiba terhasil diskusi antara saya dan sahabat Cina saya tentang biawak dan monyet. Mana satu jenama yang lebih mulia? Sahabat saya ini berhujah bahawa adalah lebih manis menggelar orang sebagai monyet daripada biawak.

 “Saya lebih suka menjadi monyet,” senyum kawan saya. “Kalau jadi monyet, saya boleh nakal-nakal.” Sahabat Cina saya ini memang nakal kerana ramai teman wanita.

Saya jawab balik, “Saya tak suka jadi monyet lompat-lompat. Saya mahu jadi biawak kerana saya suka berenang. Lautan Atlantik pun saya sanggup harungi. Berkarisma sungguh!”

“Tak bestlah jadi biawak!” Sahabat Cina saya tak sabar menyampuk. “Monyet melihat alam dari perspektif yang tinggi dengan melompat dari pokok ke pokok. Berkarisma macam Tarzan. Biawak hanya merayap dengan empat kaki sahaja. Tak boleh lompat-lompat tinggi!”

“Kamu salah,” saya pun balas balik. “Saya sebagai biawak, boleh hidup dalam dua alam iaitu boleh hidup di darat dan hidup di air. Monyet hanya boleh hidup di darat semata-mata. Melihat dunia dari satu perspektif sahaja. Mindset sempit dan prejudis.”

Sahabat saya tersenyum luas, “Bagi budaya Cina, monyet lebih mulia daripada biawak. Monyet boleh jadi dewa. Maka, kita ada dewa Hanuman iaitu dewa monyet. Dewa ini banyak hebat, mampu membunuh ramai musuh dalam satu masa. Mana ada dewa biawak dalam budaya Cina sebab ia tidak sehebat monyet yang mampu berdiri dan berkungfu seperti manusia. Biawak hanya tau merayap sahaja!”

“Apalah kita merapu ni,” saya berkata. “Apa-apa pun, lebih bermakna jadi manusia daripada jadi monyet dan biawak.”

Melalui isu biawak-monyet, saya cuba ajak sahabat saya bercakap tentang hakikat manusia. Kita sebagai manusia, kita ada akal dan keupayaan membina tamadun. Monyet dan biawak tak mampu bina tamadun. Mereka hidup untuk survival semata-mata. Manusia hidup bukan sekadar untuk survival tetapi untuk membina tamadun. ALLAH SWT telah mengangkat darjat manusia sebagai khalifah di muka bumi. Menjadi khalifah maknanya mempunyai kemampuan untuk membina tamadun.

Kita mudah sahaja untuk cerca musuh politik kita dengan gelaran biawak atau monyet tetapi sejauh manakah kita sendiri faham makna menjadi manusia? Apakah makna kita sebagai manusia?

Bila saya ditanya untuk jawab soalan apa itu Islam dalam satu minit, saya terus kata, “Islam itu bukan agama Tuhan walaupun ia adalah wahyu daripada Tuhan kerana Tuhan tidak memerlukan agama. Islam itu adalah agama manusia dalam erti kata manusia memerlukan agama untuk memahami hakikat dirinya sebagai manusia. Kalau mahu kenal siapa diri kamu dan apa itu kemanusiaan, fahamilah Islam.”

Siapakah seorang Muslim? Seorang Muslim ialah manusia yang sedar dirinya adalah manusia dan faham apa makna menjadi seorang manusia dan mengajak orang lain menjadi manusia sejati, tidak mencerca manusia lain sebagai biawak atau monyet.

Ada manusia tidak sedar dirinya sebagai manusia, lalu tidak berperikemanusiaan pada dirinya dan manusia lain. Hidupnya hanya untuk survival of the fittest semata-mata seperti monyet dan biawak.

Ada manusia yang sedar dirinya sebagai manusia tetapi tidak faham makna kemanusiaan. Lalu memperjuangkan hak-hak kemanusiaan seperti LGBT yang hanya merosakkan zuriat manusia. Ada yang sedar dirinya manusia dan faham makna kemanusiaan tetapi dia tidak berusaha untuk mengajak manusia lain untuk menjadi manusia sejati. Akhirnya dunia semakin dimonopoli oleh manusia bersifat binatang.

Sebelum menggelar orang lain sebagai biawak atau monyet, cuba tanya siapa diri kita sendiri.

- Abdul Nser Tun Rahman, Tokoh Pendakwah Perak

1 comment:

  1. Sejak kawan dgn kafirun mana nak faham lagi dah bahasa melayu.. lebih cina dari cina pulak bila tak paham permumpamaan melayu.

    Bagai monyet mendapat bunga
    Bagai ayam berak kapur
    Bagai malu2 kucing
    Bagai anjing menyalak bukit
    Bagai membela biawak hidup
    Bagai ulat bulu dah naik daun

    Syabas PAN!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa