Wednesday, May 10, 2017

Drama PKR-PAS Selangor: Bijakkah cara Azmin menangani situasi?

Drama berpanjangan Azmin, Amanah dan DAP perlu bersuara
10 Mei 2017 | MUAMMAR QADDAFI
Sudah lebih dua tahun drama tarik tali melibatkan PKR dan Pas berlangsung, sehingga kini walaupun muktamar Pas telah memutuskan bahawa tahaluf antara Pas dan PKR sudah berakhir, timbalan presiden PKR, Azmin Ali masih enggan menerima situasi itu.

Kegusaran Azmin Ali mungkin pada kedudukan beliau sebagai ahli parlimen Gombak yang mungkin dirasakan terkesan jika gagal memperoleh undi penyokong Pas, dan kedua, sikap ini mungkin lahir dari kegusaran hilang jawatan menteri besar memandangkan saraf yang dimainkan Pas cukup berkesan dalam menakutkan Azmin dari mengeluarkan Pas dari kerajaan Selangor.

Malangnya, tindakan terdesak Azmin yang dilihat untuk kepentingan politik peribadinya sebenarnya telah membantu mengukuhkan kedudukan Pas di Selangor, akar umbi Pas telah bertapak dan berjaya meresap di Selangor setelah kejayaan mereka menguasai jawatan lantikan politik yang memberi akses kepada pimpinan akar umbi Pas berhubungan dengan rakyat bawahan.

Penangguhan sehingga hampir dua tahun penubuhan kerajaan Pakatan Harapan Selangor turut memberi kesan yang tidak baik kepada parti kompenen Pakatan Harapan memandangkan ia bermakna Pas akan terus berada dalam kerajaan negeri.

Hakikat bahawa Pas adalah duri dalam daging kerajaan Pakatan Selangor langsung dipandang sepi pentadbiran Azmin Ali, sehinggakan duri ini telah berubah menjadi paku yang kuat melekat dan bakal memberi parut yang amat dasyat berdepan PRU14 akan datang.

Azmin perlu lebih bijak dan peka dengan mood, bacaan serta indikator yang ada berdasarkan kajian dan data. Contohnya, kajian INVOKE membayangkan 40% pengundi tegar Pas telah abandonded parti mereka dan sanggup mengundi parti lain. Setahun lalu, semasa PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kadar ahli pengundi Pas yang meninggalkan parti dan mengundi Amanah ialah 15%. Bermaksud, kadar pengundi tegar yang telah meninggalkan Pas merudum hampir tiga kali ganda dalam tempoh setahun.

Azmin mungkin tertipu dengan tegar Pas sekitar 25% yang tentunya totok Pas, yang sering mengelilingi dan memberi gambaran yang enak untuk Azmin dengar. Ditambah dengan mereka yang berkepentingan seperti penghulu, JKKK, imam, bilal, siak dan sejenisnya yang mendapat habuan kerana ada peruntukan atas kuota parti Pas.

Adalah satu langkah kurang cerdik kalau Azmin mendengar dan bergantung kepada mereka ini. Bila ada PRU, peruntukan mereka ini sudah lupus, dan ditakdirkan lebih dari 40% pengundi Pas beralih sokongan, bukan sahaja Pas akan bungkus, tetapi juga dikhuatiri Azmin sendiri akan kehilangan tapak politik sendiri. Pada masa yang sama langkah Azmin jelas akan merugikan rakan Pakatan terutamanya Amanah dan Dap.

Persoalannya, di manakah suara Amanah dan DAP dalam hal ini, adakah Amanah dan Dap langsung tidak punya suara dalam kerajaan Selangor sehingga hari ini Azmin seolah-olah mempunyai kuasa veto yang cukup besar dalam menentukan kedudukan parti kerajaan Pakatan Selangor.

Kali terakhir teguran dari Amanah adalah dari Adun Hulu Klang yang berakhir dengan herdikan dan penghinaan oleh Azmin dengan menggunapakai perkataan "mengemis" kepada adun yang menyelamatkan kerajaan Pakatan itu dari jatuh ke tangan BN.

Adakah herdikan Azmin itu telah menakutkan pimpinan Dap dan Amanah lain dari terus bersuara untuk kepentingan Pakatan Harapan?

Enough is enough, Azmin sudah melampaui batas walaupun di tahap akhir sebelum pilihan raya, masih cuba menarik tali dengan Pas yang jelasnya sudah konsisten menolak kerjasama dengan parti pembangkang lain yang punyai hubungan dengan Dap dan Amanah.

Tindakan yang merugikan Pakatan ini tidak wajar terus didiamkan, Dap dan Amanah, bahkan PPBM perlu bersuara dan mendesak PKR dan Azmin khususnya untuk meninggalkan Pas dan fokus kepada pengukuhan Pakatan Harapan, sekiranya tiada desakan dibuat, Pakatan Harapan akan kekal ditertawakan kerana terikut dengan permainan Pas yang sememangnya ingin terus memenangkan Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa