Sunday, June 18, 2017

DoJ tidak perlu rujuk Malaysia

Bekas peguam negara: DoJ tidak perlu rujuk Malaysia

  | June 18, 2017
Abu Talib Othman berkata siasatan DoJ hanya mengenai penggunaan sistem kewangannya untuk memperoleh aset dari dana yang diperoleh secara haram.
PETALING JAYA: Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat tidak merujuk pihak berkuasa Malaysia mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana siasatan mereka terhad kepada kawasan bidang kuasa mereka, kata bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman.
Beliau berkata AS bimbang akan penggunaan sistem kewangannya untuk membeli aset yang didakwa dibeli dengan wang yang diubah secara haram.
“Soal menghubungi peguam negara tidak berbangkit,” kata Abu Talib menjawab Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengadu DoJ tidak merujuk pejabatnya mengenai kes 1MDB.
Abu Talib berkhidmat sebagai peguam negara dari 1980 hingga 1993. Beliau berkata DoJ tidak membuat sebarang tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tindakannya terhad kepada aktiviti dalam AS.
“DoJ tidak menyiasat individu atau aktiviti di Malaysia tetapi tindakan mereka hanya mengenai penggunaan sistem kewangan mereka untuk memperoleh aset menggunakan dana yang dianggap diperoleh secara haram,” katanya.
Semalam, Apandi menepis saman terbaru pihak berkuasa AS mengenai 1MDB tetapi kerajaan mengalu-alukan sebarang permintaan selaras dengan “komitmen kepada kerjasama antarabangsa dan membanteras penggubahan wang haram”.
Apandi berkata tiada pihak berkuasa tempatan atau antarabangsa yang menyiasat 1MDB menunjukkan bukti penggelapan dana.
“Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh DOJ, yang telah gagal memberikan apa-apa bukti bahawa dana telah digelapkan dari 1MDB,” kata Apandi dalam kenyataan susulan laporan berita mengenai tindakan terbaru DoJ.
“Kami sangat khuatir dengan usaha mengaitkan perdana menteri dengan salah laku jenayah,” katanya, dan menambah tiada tuduhan dikenakan terhadap Najib, yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lepas.
Najib secara konsisten menafikan sebarang salahlaku dan namanya dibersihkan Apandi pada 26 Januari tahun lepas.
DoJ melalui tindakan terbaru yang difailkan di California mahu menyita AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset termasuk karya seni, barang kemas dan hak filem yang dibeli dengan dana yang didakwa digelapkan dari 1MDB.
Aset yang disebut dalam permohonan itu termasuk hak filem ke atas 2 cerita komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home” yang dibintangi Will Ferrell. Pembikian filem itu didakwa dibiayai jutaan dolar dari dana pelaburan milik kerajaan itu.
Saman sitaan Julai tahun lepas mahu mendapatkan kembali semua aset termasuk tetapi tidak terhad kepada Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet mewah, karya seni, serta pembiayaan filem Martin Scorcese “The Wolf of Wall Street”, yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
Keseluruhan nilai aset yang cuba didapatkan DoJ meningkat kepada AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dengan tindakan mahkamah terbaru itu.
DoJ mendakwa dari 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) milik 1MDB dilencongkan pegawai tinggi dana itu dan rakan mereka.
Abu Talib berkata DoJ masih perlu membuktikan kes mereka di mahkamah jika mahu menyita semua aset itu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa