Sunday, June 11, 2017

Krisis Qatar - Arab: Satu pandangan penganalisis bebas

KRISIS ARAB-QATAR, IKHWAN MUSLIMIN DAN RUSIA - KEBIMBANGAN RANTAU ARAB TERHADAP PENGARUH DAN ANCAMAN QATAR*

“Jika bangsa Arab menjadi hina, Islam akan turut dihina” (Hasan al-Banna)

Arab Saudi, Mesir, Emiriyyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, kerajaan Yaman dan Libya pro-Saudi, serta terbaru Maldives telah memutuskan hubungan dengan Qatar. Saham milik Qatar terus jatuh merudum manakala laluan darat, laut serta udaranya pula dikenakan sekatan.

Sebenarnya tindakan mengejutkan sebegini bukan kali pertama kerana pada 2014 Arab Saudi, Bahrain, dan UAE pernah memanggil pulang duta mereka dari Qatar. Apakah ‘dosa’ negara kepulauan kecil di sebelah Semenanjung Arab itu?

Mengapa Qatar yang selama ini dilihat antara sekutu Arab kini tiba-tiba dimusuhi?

Antara tuduhan terhadap Qatar ialah “menyokong aktiviti keganasan” dan “menggugat kestabilan serantau” serta memiliki hubungan baik dengan pertubuhan seperti “Ikhwan Muslimin, ISIS, dan Al-Qaeda”. Qatar turut dituduh menyokong agenda Iran dan Syiah di Qatif (Saudi) dan Bahrain.

Sebelum itu ada tuduhan yang telah pun dinafikan kononnya pemimpinnya Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menyokong Iran, Hamas, Hezbullah, dan Israel di samping tidak yakin “berapa lama Trump akan bertahan sebelum dipecat di Amerika”.

Sememangnya Qatar merupakan salah satu daripada negara Arab utama yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Malah Qatar turut menyertai latihan ketenteraan North Thunder anjuran Arab Saudi pada 2016. Qatar bahkan terkehadapan dalam mengiktiraf pencerobohan kuasa Barat ke atas rejim Muammar Gaddafi di Libya serta bersama GCC Arab menentang pemberontakan di Bahrain.

Namun berbeza dengan negara Arab lain, Qatar mesra Ikhwan Muslimin dan Rusia. Sama sekali bertentangan dengan Arab Saudi, UAE, dan Mesir yang kini menganggap pertubuhan tersebut sebagai pengganas, Qatar bukan sahaja mengadakan hubungan rapat dengan Mesir sewaktu era Morsi, bahkan turut melindungi kepimpinan Ikhwan.

Ilmuan Prof. Yusuf Al-Qaradhawi yang dianggap pemikir Ikhwan turut diberi suaka politik di Qatar.

Sewaktu kepimpinan Morsi, Qatar dilaporkan mendepositkan sebanyak USD 2 bilion kepada Bank Negara Mesir, meningkatkan pelaburannya sebesar 74 peratus di Mesir.

Doha juga secara umumnya menyokong peristiwa Arab Spring yang menaikkan kepimpinan bercitra Islamis di rantau Teluk, sedangkan Arab Saudi, Bahrain, dan UAE kurang selesa dengan kebangkitan sedemikian.

Malah terdapat dakwaan bahawa sokongan Qatar telah membantu kejayaan gerakan pro-Ikhwan Muslimin dalam pilihan raya pasca-Arab Spring di Mesir, Maghribi, dan Tunisia.

Ditambah dengan faktor kewangan yang kuat dan penglibatan aktif Qatar di pentas antarabangsa telah menjadikannya pesaing yang serius.

Qatar semakin berani mendedahkan urusan di sebalik tabir yang kurang disenangi negara jiran Arabnya. Terkini pada 2017 baru-baru ini tentang emel kerjasama UAE-Israel.

Laporan stesen penyiaran Qatar, iaitu Al-Jazeera menyatakan bahawa penggodam telah membocorkan emel Duta UAE ke Amerika iaitu Yousef al-Otaiba dengan kumpulan pemikir neokonservatif Israel, Foundation for Defense of Democracies (FDD) yang bekerjasama sejak 2014 lagi untuk memburukkan imej Qatar di rantau Asia Barat.

Pada 2015 Al-Jazeera turut menyiarkan imej ngeri orang awam yang menjadi mangsa serangan Mesir selepas Presiden Morsi digulingkan, sekali gus memburukkan hubungan Qatar-Mesir.

Malah pada 2016 dua pekerja Al-Jazeera dihukum mati oleh Mahkamah Mesir kerana didakwa membocorkan dokumen keselamatan sulit Mesir kepada Qatar sewaktu pemerintahan Morsi.

Hasilnya imbangan kuasa di Timur Tengah kini semakin boleh dibahagikan kepada tiga blok: pada satu sudut, Arab Saudi, Bahrain, Mesir, dan UAE.

Manakala pada sudut yang lain ialah Qatar, Turki, Hamas di Palestin, Sudan, serta Tunisia dan Maghribi yang lebih lunak dengan Ikhwan manakala Iran, Syria dan Hizbullah mewakili satu lagi blok yang berpengaruh.

Perkembangan ini bakal mengimpak situasi di Yaman dan Syria yang masih bergolak.

Di peringkat global pula, meskipun Qatar mempunyai pangkalan tentera Amerika Syarikat, namun ia juga semakin rapat dengan Rusia.  Amerika bukan sahaja memiliki dua pangkalan udara dan tentera di Qatar, bahkan turut membekalkan pelbagai aset ketenteraan seperti helikopter, sistem pertahanan, dan peluru berpandu kepada Doha.

Namun hubungan Qatar-Rusia makin erat apabila terkini  perjanjian syarikat minyak antara Rosneft (Rusia) dengan Qatar dan Glencore (Switzerland) ditandatangani, menyusuli pembelian saham Bank V.T.B. Rusia dan juga pelaburan dalam pembinaan lapangan terbang Pulkovo St. Petersburg oleh Qatar, sedangkan Rusia berada dalam sekatan antarabangsa.

Aset Qatar di Rusia kini berjumlah USD 2.5 bilion, suatu perkembangan yang pastinya tidak menyenangkan seteru Moscow.  Kebetulan, Rusia ialah penganjur Piala Dunia 2018 manakala Qatar pula penganjur Piala Dunia 2022.

Komentar bebas Abdul Muein Abadi,  Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) l 10 Jun 2017

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa