Friday, June 16, 2017

Menarik: Saman DOJ timbulkan hantu-hantu baru yang tidak berupa

Watak-watak baru dalam saman DOJ, ini senarainya
Hari ini, 6:17 petang
PANDUAN BERITA Selain perincian berkaitan aset-aset dipertikai, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dalam langkah terbarunya turut mendedahkan watak-watak baru di sebalik dakwaan skandal itu.

Antara yang disebut termasuk “1MDB Officer 4” dan“1MDB-SRC Officer”.

Walaupun nama mereka tidak dinyatakan, saman DOJ semalam memberikan perincian yang dapat memberi gambaran berhubung identiti pihak itu.

1MDB Officer 4

Menurut DOJ, 1MDB Officer 4 adalah rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai pengarah eksekutif kewangan 1MDB, paling minimum, antara tahun 2012 hingga 2015.

Menurut jabatan itu, 1MDB Officer 4 terlibat dalam rundingan dengan Goldman Sachs pada 2012 dan menjadi orang perhubungan utama untuk pinjaman 1MDB daripada Deutsche Bank pada 2014.

Berdasarkan garis masa yang diberikan, kemungkinan besar individu itu adalah Terence Geh, yang menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara masih menjadi pengarah eksekutif kewangan 1MDB pada Oktober 2015.

Sebelum ini, nama Geh muncul dalam dokumen mahkamah Singapura yang menjelaskan bagaimana dana SRC International dipindahkan kepada rakan Jho Low, Eric Tan.

Dana-dana itu disalurkan melalui Pacific Harbour Global Growth Fund AA4 – dana yang dilanggan oleh SRC International yang didakwa diselia oleh Geh.

Bagaimanapun, saman DOJ semalam memberi gambaran bahawa Geh mempunyai peranan lebih besar dalam skandal melibatkan syarikat pelaburan negara itu.

Menurut DOJ lagi, 1MDB Officer 4 terlibat mengelirukan KPMG, juruaudit syarikat itu pada 2012, berkaitan hal ehwal aset yang dipegang oleh Brazen Sky.

1MDB Officer 4 juga membantu menubuhkan Aabar-BVI, untuk urusan pemindahan bon-bon yang melibatkan 1MDB.

Rundingan lain didakwa melibatkan kelulusan pinjaman Deutsche Bank yang kemudian turut didakwa dilencongkan.

1MDB-SRC Officer

1MDB-SRC Officer juga seorang warganegara Malaysia. Tempoh minimum dia menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah SRC International dari hujung 2011 hingga 2013.

“Pada 2011, sebelum berkhidmat di kedudukan itu di SRC International, 1MDB-SRC officer pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai pelaburan 1MDB,” kata DOJ.

Berdasarkan penjelasan itu, kemungkinan ia merujuk kepada Nik Faisal Ariff Kamil, yang menjadi pengarah di SRC International dan bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB.

Menurut DOJ, 1MDB-SRC Officer terlibat dalam perpindahan AS$681 juta yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB ke akaun Malaysian Official 1 (MO1).

Dia juga didakwa terlibat dalam pemindahan dana untuk usaha sama palsu antara 1MDB dan PetroSaudi International kepada Good Star Limited, syarikat yang dikawal oleh Low.

1MDB-SRC Officer juga dikatakan pernah berjudi bersama Low di kasino Las Vegas pada 2012.

Pihak lain yang turut bersama adalah bintang Hollywood Leonardo DiCaprio dan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Jasmine Loo Ai Swan

DOJ juga menyebut nama seorang individu yang namanya dirahsiakan sebelum ini.

Dirujuk sebagai 1MDB Officer 3 sebelum ini, DOJ kini menamakannya sebagai Jasmine Loo Ai Swan. Loo adalah bekas peguam 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan perniagaan itu.

DOJ dan mahkamah Singapura menyebut beliau diberikan kuasa menandatangani untuk akaun Tanore Corporation yang digunakan untuk memindahkan wang AS$681 juta kepada MO1.

Isteri MO1 dan lain-lain

Pihak lain dinamakan dalam latar belakang saman atau “individu relevan” adalah sama seperti saman sebelum ini.

Mereka adalah Low, 1MDB Officer 1, 1MDB Officer 2, MO1, Riza, Tan, Khadem Abdulla Al-Qubaisi, dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Bagaimanapun, watak baru muncul dalam saman itu, iaitu isteri MO1, yang mencuri perhatian banyak pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan bahawa MO1 yang disebut dalam saman pertama DOJ merujuk kepada Najib.

Beliau bagaimanapun menegaskan Najib bukan sebahagian daripada subjek siasatan.

Dalam pemfailan semalam, DOJ mendakwa sebahagian daripada AS$620 juta yang dikatakan dipulangkan oleh MO1 kepada “penderma” digunakan untuk membeli rantai dan loket permata merah jambu 22 karat kepada isteri MO1 yang bernilai AS$27.3 juta.

DOJ juga menuduh hartawan Jho Low membeli 27 bentuk rantai emas 18 karat dan gelang kepada isteri MO1 yang keseluruhannya bernilai AS$1.3 juta.

Najib sudah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Beliau juga mendakwa dakwaan-dakwaan itu bertujuan menggulingkannya daripada tampuk kuasa.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Malaysian Friend

Selain isteri MO1, watak yang dirujuk sebagai "Malaysian Friend" juga mencuri perhatian awam.

Walaupun identiti itu masih tidak jelas, wanita itu dikatakan menerima rantai dan loket permata merah jambu dan dikatakan menyerahkannya kepada isteri MO1.

* Panduan berita ini disusun oleh Zikri Kamarulzaman.

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa