Saturday, July 8, 2017

'Bina sendiri gaung': Azmin ajak PKR terjun bersama?

'Bina sendiri gaung jika masih mahukan Pas'
08 Julai 2017 | ARIF ATAN
Danial Al Rashid

Pemuda Amanah Selangor menyifatkan tindakan mengekalkan panji Pakatan Rakyat yang sudah terkubur sebagai tidak bermakna lagi kerana paling penting wajar dilakukan adalah mengukuhkan Pakatan Harapan.

Timbalannya, Danial Al-Rashid Haron (gambar) berkata, jalinan kerjasama dengan Pas yang telah berpatah arang dengan PKR dan DAP akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap gabungan parti pembangkang melalui Pakatan Harapan.

"Semasa PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kita seakan-akan melihat kejayaan gabungan parti pembangkang semakin ada sinarnya, dan diperkuatkan lagi dengan sokongan MB (Menteri Besar) Selangor terhadap calon Amanah yang melawan calon Pas dan BN.

"Tetapi hari ini, mengambil tindakan bercanggah pula iaitu ingin mengekalkan gabungan Pakatan Rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hubungan kerjasama politik harus dibina agar kekuatan padu sesebuah gabungan itu diyakini oleh rakyat sebagai kerajaan menanti.

"Tetapi jika yang diharap itu semakin dilihat terpesong, apa lagi kiraan yang tinggal untuk rakyat memilihnya?" soalnya.

Jelas Danial, Pemuda Amanah Selangor menyokong kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali dan berhasrat mengekalkan kesinambungan kejayaan yang dilaksanakan pada penggal akan datang.

"Namun, sekiranya masih ada hubungan kerjasama dengan Pas, maka kita seolah-olah membina sendiri gaung untuk kita terjun, sebelum menghadapi PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dengan penuh kesediaan membina keyakinan rakyat," tegasnya.

Azmin pada 5 Julai lalu memberitahu Pakatan Rakyat masih wujud dan akan terus mentadbir Selangor kerana itu ialah mandat yang diberikan rakyat.

Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang sebab Pakatan Harapan di peringkat negeri Selangor masih belum wujud.

Mengulas lanjut, Danial menegaskan tindakan Pas memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015 dan PKR pula tahun ini adalah tanda Pas sudah tiada persefahaman politik yang padu.

"Tindakan Pas meninggalkan Pakatan Rakyat melalui putusnya hubungan dengan DAP, maka di Pulau Pinang berlaku penyingkiran wakil Pas dari kerajaan. Inilah prinsip yang dipegang DAP dan majoriti rakyat Pulau Pinang. Itulah detik terkuburnya Pakatan Rakyat.

"Apa yang boleh kita harapkan dari parti Pas di Selangor? Parti itu sudah pun memutuskan hubungan kerjasama dengan dua buah parti utama di dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, dan yang terbaru PKR iaitu melalui usul di Muktamar Kedah 2017," jelasnya.

Menyentuh sikap Pas pada masa ini, beliau menyifatkan keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan semakin pudar termasuk pengundi bukan Islam.

"Taring parti itu melawan kezaliman BN terutama dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) semakin tumpul.

"Kumpulan non muslim yang dahulunya cenderung, sudah ramai meninggalkan kotak harapan itu hasil kuatnya sentimen perkauman yang dimainkan Pas," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya penubuhan gabungan pembangkang perlu disegerakan memandangkan kehadiran Amanah dan PPBM dalam politik negara pada masa ini bakal mengukuhkan lagi gabungan pembangkang pada PRU-14.

"Asasnya ialah berbalik kepada ‘kuasa rakyat’. Tindakan pemimpin atasan yang tidak konsisten seperti ini akan menyulitkan lagi pemikiran rakyat.

"Lebih elok mengambil tindakan 'clear cut', bina gabungan yang kuat, dengan matlamat jelas menumbangkan BN.

"Kesemua pimpinan harus duduk dan bincang, hentikan perang kenyataan media, dan kembali ke meja perbincangan untuk mendapatkan solusi yang baik terhadap keinginan rakyat yang ingin melihat perubahan negara yang semakin korup," tegas Danial lagi.

1 comment:

  1. aku pengundi atas pagar. Kali ini dek kerana kelakuan azmin aku dah muak nak turun undi beri pada pembangkang maupun BN

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa