Sunday, July 2, 2017

Ibrahim mahu berhijrah ke Rantau Panjang?

Betulkah Ibrahim mahu berhijrah ke Rantau Panjang?
MSO
Membuka bicara maudu' politik selepas berihat lebih sebulan kerana berpuasa, saya ingin mengisahkan perihal Ibrahim Ali yang saya panggil dia sebagai Selentia. Saya kira Inchik Ibrahim tidak tersinggung kerana saya memanggilnya demikian kerana dia sendiri menganggap dia sebagai sang "Raja Katak".

Apa yang hendak saya perihal hal Ibrahim kali ini ialah mengenai hasratnya atau angan-angan dipasangnya menjelang Piraum -- pilihan raya umum akan datang. Kandati beberapa kali dia menafikan untuk tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya alasan sudah tua, tetapi penafian itu hanya dibibir sahaja. Tiadak ada sesiapa mempercayainya.

Ibrahim adalah ahli politik tulen, di mana pilihan raya baginya sepertilah itik dengan air. Itik tidak akan dapat melihat air, walaupun setohor mana, secemar mana, pantang melihat air, ia akan turun dan berenang juga. Begitulah juga Ibrahim dengan dunia politik yang menjadi darah dagingnya. Pilihan raya adalah hari raya buatnya.

Sejak dia mengenali sifir politik, dia tidak pernah diam diri dari ikut sama berlawan dan menyertai politik-- bertanding dalam pilihan raya. Bukan sahaja pilihan raya umum, tetapi pilihan raya kecil juga disertai, sehinggakan membawa mala petaka dan memberi rekod buruk kepadanya hilang deposit.

Iya, Ibrahim pernah kalah sampai wang depositnya hilang. Ini berlaku dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir akhir tahun 2006 apabila meraih hanya 240 undi.

Dalam pada itu sebagai ahli politik yang boleh dianggap excellent, Ibrahim mencatat kemenangan sebanyak enam kali di kerusi parlimen dan enam kali juga dia kalah di kerusi parlimen. Kejayaan itu jarang diraih oleh ahli politik lain di kawasan sama. Kekalahan terakhir kepadanya ialah pada tahun 2013, dan kemenangan terakhir ialah pada tahun 2008. Semua kenangan manis dan pahit itu Ibrahim catat di kerusi parlimen Pasir Mas yang menjadi kuatnya.

Sepanjang penglibatan Ibrahim dalam politik secara aktif selama lebih 40 tahun, sejak tahun 1978 Ibrahim tidak pernah meningalkan Pasir Mas sebagai pengkalan dan kubu politiknya. Ibrahim tidak pernah bertanding di luar kawasan Pasir Mas, walaupun dia mengaku dia adalah tokoh ever green di Kelantan, dikenali oleh rakyat Kelantan dari Bachok hingga ke Gua Musang oleh golongan bangsawan hinggalah kepada masyarakat Orang Asli.

Kalah atau menang beliau tetap berada di Pasir Mas. Pasir Mas adalah tempat tumpah darahnya dan dikira tempat akan mengembumikan jasad politiknya. Kerana lamanya dia bertumas dan berjerumu di situ menyebabkan setiap inci bumi Pasir Mas dijejakinya. Setiap wajah dan orang Pasir Mas dikenalinya. Bahkan kalau tidak semua hampir separuh orang Pasir Mas pernah merasai nikmat daripadanya dan dibantunya. Menerima jasa dan budi yang ditaburnya selama dia berada di Pasir Mas sama ada semasa dia menang dan juga kalah.

Penglibatan Ibrahim dalam membantu orang Pasri Mas tidak dapat siapa nafikan. Mereka yang menafikan hanya orang yang membenci dirinya dan juga yang buta mengenali politik Ibrahim dan jahil menilai perjuangannya. Ada juga yang membencinya tetapi di dalam hati tetap menerima kehebatan dan keulitan dia sebagai pejuang di Pasir Mas. Ibrahim adalah Adi Jagat di Pasir Mas, nama yang disanjung dijulangnya sendiri.

Dari segi pembangunan infrastruktur di Pasir Mas, apa yang tidak dibawa oleh Ibrahim. Boleh dikatakan wajah Pasir Mas berubah atas usahanya. Beliau menggunakan hubungan personalnya dengan para menteri untuk membawa projek demi rakyat. Dengan muka tidak tahu malu, beliau menuntut apa-apa sahaja projek untuk rakyat dan kepentingan bumi Pasir Mas. Di samping dia berjuang untuk kepentingan duniawi dirinya, dia juga berjuang untuk rakyat. Ibrahim adalah memerang yang menyelam sambil minum air.

Jambatan Tendong, Bangunan Mara di Pasir Mas, Jambatan Pasir Mas Salor, Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lubuk Jong, bandar baharu Lubuk Jong, adalah antara mercu tanda kejayaan Ibrahim di Pasir Mas. Kalau pun Ibrahim belum sempat membawa pembangunan di Pasir Mas ialah pembinaan sebuah universiti atau pusat pengajian tinggi. 

Pendeknya Pasir Mas adalah bumi menjadi medan perjuangannya dan seharusnya di situ juga dunia politiknya akan berakhir.

Tetapi tampaknya tidak begitu. Ibrahim tidak menjadikan Pasir Mas bumi tempat dia berpijak awal dan akan menurunkan titik akhir di situ. Beliau kini sedang membina penghidupan, maksudnya membuka medan politik baharu di kawasan di luar Pasir Mas. Beliau perlahan-lahan sedang membawa hati untuk meninggalkan Pasir Mas.

Apa dimaksudkan, kini khabarnya Ibrhaim sedang merisik khabar untuk bertapak di parlimen Rantau Panjang pula yang bersempadan dengan parlimen Pasir Mas dan Tanah Merah.

Ramai yang sudah perasaan Ibrahim tidak mempedulikan Pasir Mas apabila beliau kalah dalam pilihan Piraum ke 13 lalu kepada anak Tokguru Nik Aziz Nik Mat yang disifatkan sebagai "anak kera". Kekalahan kepada "anak kera" itu sungguh memalukannya. Katanya Ibrahim terkilan dengan pengundi di Pasir Mas yang rela menerima "anak kera" daripadanya yang banyak berjasa.

Dalam satu ceramah dalam meremehkan calon parti aagama yang menumpang pengaruh bapak itu Ibrahim menyifatkan calon itu sebagai "anak kera".

Kekalahan itu sungguh mengaibkannya. Dia kalah di tangan budak mentah yang berhingus dalam politik. Ibrahim sungguh terkilan dengan pengundi di Pasir Mas. Kerana keterkilanan itu menyebabkan dia tidak mempedulikan lagi Pasir Mas. Ibrahim berasakan kekalahan itu sebagai petanda orang Pasir Mas tidak sayangkannya dan tidak tahu menilai budi dan jasanya. Penghijrahannya ke luar Pasir Mas adalah dendamnya.

Sejak itu beliau tinggalkan Pasir Mas. Segala kegiatan dan kepeduliannya kepada masyarakat Pasir Mas tidak diteruskan seperi biasa. Acara makan colek pada sepajang bulan Ramadhan yang menjadi acara tahunan yang meriah, ditinggalkan. Khabarnya ada gerai-gerai colek perut yang diwujudkan untuk memenuhi permintaan Ibrahim menutup operasi apabila Ibrahim tidak lagi berkebajikan di Pasir Mas. Tindakan Ibrahim itu memberi kesan kepada industeri colek di bulan puasa.

Bukan itu sahaja, majlis atau acara lain yang sering dibawa dan diadakan di Pasir Mas juga langsung tidak diadakan. Pasir Mas seolah-olah menjadi daerah asing bagi Ibrahim. Mereka yang selama ini menumpang kasih dan mendapat limpahan rezeki daripada kegiatannya juga merunggut kesedihan. Keadaan itulah menyebabkan Ibrahim kini dikatakan akan berpindah.

Saya sendiri maklum perkara itu dan diberi tahu yang Ibrahim sedang mengaturkan perpindahan untuk meninggalkan Pasir Mas. Saya mulanya tidak percaya, tetapi setelah saya melihat sendiri apa yang berlaku baharu saya yakini. Iya, benar Ibrahim membina tapak baharu di Rantau Panjang. Wel come.

Beliau sudah membuka pejabat untuk berurusan dengan rakyat Rantau Panjang di Lubuk Jong. Dan semasa hari raya lalu terdapat beberapa banner ucap selamat hari raya yang terpampang gambar dia bersama isterinya dipasang di beberapa tempat dalam kawasan Rantau Panjang. Yang jelas kepada saya dua banner dipasang di dalam Dun Gual Periok; kampung saya, dipasang betul-betul ditiang api yang berdekatan dengan tanah milik saya di Gua Tinggi.

Dengan adanya banner ucap selamat itu maka nyata Ibrahim sudah mula bergerak dalam Rantau Panjang. Kalau tidak ada mengadakan untuk apa banner Ibrahim berada di situ. Khabarnya di sepanjang bulan Ramadhan lalu, beberapa majlis perjumpaan santai dan berbuka puasa dengan pengundi atau penduduk dalam parlimen Rantau Panjang juga diadakan.

Anaranya ialah di markaz besarnya di Lubuk Jong, dalam Dun Bukit Tuku, majlis berbuka puasa di masjid Lubuk Jong, di rumahnya di Tendong, di Wakaf Baru, di Kangkong, di Pekan Rantau Panjang, di Meranti dan lain-lain.

Ikhlas saya nyatakan sebagai orang Rantau Pajang, dan mengundi di Gual Periok saya mengalu-alukan kehadiran Ibraim ke bumi Rantau Panjang. Satu segi saya tidak bersetuju dengan cara Ibrahim berpolitik tetapi dari sudut lain beliau mempunyai keistimewaan tersendiri yang jarang kedapatan kepada ahli politik lain.

Buruk atau baik, senang atau benci Ibrahim adalah sebahagian daripada sejarah politik Kelantan. Apabila dibaca tawarikh politik Kelantan nama Ibrahim tidak akan dilupakan sama seperti nama-nama besar lain seperti Allahyarham Mohd Asri Muda, Hussein Ahmad, Tengku Razaleigh ataupun Allahyarham Tokguru Nik Aziz sendiri.

Kenapa? Tunggu sambungan catatan ini, dan saya juga akan membuat ulasan apakah nasib bakal diterima Ibrahim nanti dengan penghijrahannya itu. Apakah si Selentia ini akan berjaya mencipta sejarah di Rantau Panjang atau pun beliau akan mengakhiri kerier politiknya di sungai Golok kemudian hanyut hingga ke Kuala Tabai?

Dicatat oleh ELBI RISALAH di 7/01/2017 06:51:00 PTG 

* Sebenarnya aku pun pernah terima pertolongan Ibrahim Ali berkaitan satu perkara yang agak rumit.

1 comment:

  1. I love this web blog a lot. Countless amazing info.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa