Friday, August 18, 2017

DAP telah berubah?

Adakah DAP telah berubah?
Wan Hamidi Hamid
Diterbitkan pada 18 Aug 2017 7:00AM 

SEJAK ditubuhkan pada 1966, DAP memilih jalan berparlimen sebagai amalan perjuangannya. Ia bermakna ia berpegang kepada sosialisme secara evolusi, yakni berperingkat, dan tidak bersifat revolusi.

Ini bererti ia menolak sosialisme yang ditentukan oleh politbiro parti seperti yang biasa diamalkan oleh gerakan komunis. Ia juga tidak menyokong gerakan ganas bersenjata.

Mungkin ada orang menganggap DAP skema kerana memilih jalan aman yang tidak menumpahkan darah. Biarlah apa orang nak kata; yang penting, ia berjuang untuk golongan pekerja kolar biru dan putih, petani, nelayan dan peniaga kecil yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

Oleh itu, seruan Malaysia milik rakyat Malaysia adalah sesuatu yang semulajadi untuk DAP kerana ia selaras dengan hasrat ideologi yang berdasarkan kepada asas kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

Malah, berasaskan peredaran zaman, DAP meminda perlembagaannya untuk membolehkan sosialisme demokratik dikembangkan menjadi sosial demokrasi pada 2006.

Ini bererti peralihan untuk menerima kewujudan pasaran tetapi tetap memastikan hak golongan majoriti – pekerja, petani nelayan, peruncit, peniaga kecil – sentiasa dibela melalui usaha reformasi pentadbiran dan amalan perniagaan. Ia menyedari bahawa hasil saksama (equality of outcome) tidak sepatutnya menjadi tumpuan, sebaliknya menyeru kepada usaha mendapat peluang saksama (equal opportunity).

Malah, bantuan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan tetap diteruskan. Ia bererti DAP memang memperjuangkan meritokrasi tetapi ia ditambah dengan hak keperluan. Maksudnya, gabungan bersama merit dan keperluan berdasarkan latar belakang pendapatan keluarga menjadi garis penentu kelayakan. Jika berasaskan merit sahaja, dalam banyak bidang termasuk pendidikan dan peluang perniagaan, ia hanya menguntungkan golongan kaya.

Inilah amalan sosial demokrasi DAP yang diasaskan daripada sosialisme demokratik 1966 yang terus dilaksanakan sehingga ke hari ini. Buktinya dapat dilihat di Pulau Pinang di mana DAP menjadi peneraju bersama Pakatan Harapan. Di Selangor pula, DAP memberi input sosial demokrasi kepada kerajaan Pakatan pimpinan PKR.

Di sini jelas prinsip dan amalan DAP kekal progresif sejak penubuhannya. Walaupun ia tidak pernah menyembah sosialisme sebagai ideologi, ia gigih dalam usaha mereformasi pentadbiran kerajaan di semua peringkat.

Dalam konteks ini, sifat progresif DAP adalah dalam bentuk parti yang membawa serta menyokong idea-idea baru dan moden untuk mengubah sistem pentadbiran kerajaan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Progresif juga bererti amalan reformasi sosial yang dibawakannya itu tidak bersifat mengutamakan satu kaum atau agama tetapi menyeluruh. Tumpuannya adalah kepada majoriti rakyat, bukan segelintir yang menguasai kekayaan dan kuasa negara.

Jika masih ada golongan yang iri hati dengan kecekalan dan kegigihan pimpinan serta anggota DAP, itu adalah hak mereka untuk cemburu. Malah, jika mereka tidak mahu DAP digelar sosialis – walaupun akar sosial demokrasi  adalah sosialisme – itu juga hak mereka.

Dalam bahasa yang lebih mudah, jika ada yang mahu menjadikan sosialisme sebagai hak milik peribadi, silakanlah. DAP tiada masalah. Keterbukaan DAP melalui sosial demokrasi tidak menghalang penyertaan ahli-ahlinya daripada pelbagai latarbelakang.

Tidak hairan jika dalam DAP hari ini ada golongan sosial demokrat, ada sosialis, ada liberal, malah ada yang sedikit konservatif juga. Parti seperti payung terbuka untuk mana-mana rakyat Malaysia yang mahu berjuang menuju ke arah kebebasan, keadilan, kesaksamaan, dan solidariti.

DAP tidak pernah mengaku ia jemaah suci. Ia bukan jalan singkat ke syurga. Ia hanya sebuah badan siasah yang dipimpin dan dianggotai orang berjiwa progresif yang juga pragmatik. Sesekali orang di dalamnya membuat kesilapan. Sesekali keputusan pimpinan juga tidak semestinya tepat.

Namun, itulah DAP sejak zaman berzaman. Ia tetap bersolidariti dengan mana-mana pihak yang melawan rejim rasuah, zalim dan kejam. Ia pernah dan masih terus bekerjasama dengan bekas-bekas pemimpin UMNO yang bangkit menentang salahguna kuasa pucuk pimpinan kerajaan.

DAP pernah bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada awal 1990-an; kemudian dengan Anwar Ibrahim sejak 1998, dan kini bersama Anwar bergabung tenaga dengan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin. Malah, DAP pernah beberapa kali bersama PAS. Semuanya atas dasar mahu mereformasi pentadbiran negara agar lebih adil, bersih, saksama, sejahtera dan makmur.

Walau DAP ada sedikit-sebanyak kelemahan, walau ia dipijak ditendang diterajang, walau ia difitnah setiap detik, ia tetap berjuang atas dasar progresif. Walau dengan siapa ia bersetiakawan, petunjuk arahnya masih sosial demokrasi. Walau apa pun orang lain kata, asalkan bukan fitnah, DAP rela malah meraikan perbezaan pandangan. – 18 Ogos, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa