Sunday, August 13, 2017

Tindakan LHDN tidak bermotif politik: Buktikan dulu, kenapa cabar orang lain?

Saturday, 12 August 2017
BUKTIKAN DAHULU TINDAKAN LHDN TIDAK BERMOTIF POLITIK, BUKAN MENCABAR ORANG LAIN MEMBUKTIKANNYA

Kata Menteri Kewangan Kedua, siasatan dan serbuan Lembaga Hasil Dalam Negeri atau LHDN terhadap tiga anak Tun Mahathir Mohamad tidak sesekali bermotif politik.

"LHDN adalah agensi bebas dan bebas daripada pengaruh politik. Ia menyiasat semua orang.

"Selagi mereka mempunyai maklumat, mereka bebas menjalankan siasatan. Tiada siapa boleh mengarah LHDN, jika seseorang itu tidak melakukan kesalahan, tiada sebab mereka perlu risau," tambahnya lagi.

Serentak dengan itu, Johari juga mencabar mereka yang menuduh LHDN  mengambil tindakan kerana faktor politik agar membuktikan dakwaan tersebut.
Macam bagus je kenyataan Johari ini yang pada pilihanraya 2013 lalu hanya menang dengan majoriti 866 undi di Titiwangsa.

Benarkah LHDN tidak dipengaruhi unsur politik dan tiada sesiapa boleh mengarah mereka?

Jika begitu, mengapa hanya setelah Tun Mahathir menjadi musuh politik kepada Najib Razak dan bersama Pakatan Harapan, baru LHDN menjalankan siasatan serta serbuan terhadap anak-anaknya?

Kenapa tidak sebelum ini lagi dijalankan siasatan?

Selain itu, tindakan Johari mencabar pihak lain menunjukkan bukti jika tindakan terhadap anak-anak Tun Mahathir itu berunsur politik, jelas kelihatan kelakar dan hanya membuatkan ramai orang ketawa mendengarnya.

Untuk membuktikan tindakan LHDN tidak berunsur politik bukanlah dengan mencabar orang lain menunjukkan bukti-buktinya, tetapi yang lebih afdal ialah LDHN itu sendiri perlu membuktikannya berdasarkan tindakan mereka.

Jika anak-anak Tun Mahathir boleh disiasat dan diserbu secara serentak, LHDN juga sepatutnya bertindak terhadap semua anak-anak bekas Perdana Menteri, daripada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sehinggalah Tun Abdullah Badawi dan kepada anak-anak Najib yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini.

Adakah hanya anak-anak Tun Mahathir saja yang kaya dan mungkin tidak membayar cukai pendapatan?

Bagaimana dengan anak-anak Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Abdullah dan Najib sendiri, termasuk anak tiri serta menantu mereka sekali?

Adakah salah seorang anak  bekas Perdana Menteri yang diketahui umum pernah menerima wang RM2,600 juta, kononnya derma, telah membayar cukai pendapatan kepada LHDN?

Jika "orang itu"  tidak membayar cukai, kenapa LHDN tidak menyiasatnya dan sekiranya cukai telah dibayar, tunjukkanlah buktinya?

Begitu juga, adakah Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri sekarang yang mengaku ada menerima hadiah dalam bentuk wang sebanyak AS$94 juta serta memiliki kondo mewah ratusan juta ringgit, selama ini pernah membayar cukai pendapatannya?

Kiranya anak-anak Tun Mahathir boleh disiasat, apakah anak-anak bekas Perdana Menteri yang lain dan anak tiri Perdana Menteri begitu istimewa di mata LHDN?

Maka, sebelum Johari mencabar orang lain menunjukkan bukti, sebagai Menteri Kewangan Kedua, beliau perlulah terlebih dahulu membuktikan LHDN itu benar-benar bersikap adil, bebas dan tidak memilih bulu dalam tindakannya. (ShahbudinHusin 12/08/2017)

Anda mungkin juga meminati:
SEJAUH MANA AKTA 355 TIDAK BERMOTIF POLITIK?
TUN MAHATHIR SUDAH MENYAHUT CABARAN, SIASATLAH JUGA KEKAYAAN ANAK2 SEMUA BEKAS PERDANA MENTERI

Posted by Shahbudin Husin at 20:45 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa