Tuesday, September 19, 2017

Ahmad Jailani Abdul Ghani - Pembunuh pelajar Tahfiz sepatutnya dihukum mati tapi........

PEMBUNUH PELAJAR MAAHAD TAHFIZ SEPATUTNYA DIHUKUM MATI
admin 9/19/2017 01:04:00 PM

Hukuman bagi kesalahan membunuh dengan sengaja mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah gantung sampai mati mandatori. Sesiapa yang didapati bersalah membunuh dengan sengaja, tiada hukuman lain yang boleh dikenakan ke atasnya melainkan hukuman gantung sampai mati. Namun begitu, ia berbeza dalam kes suspek yang terlibat dalam kes kematian pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah. Ini kerana kesemua mereka kecuali seorang, masih berusia di bawah 18 tahun.

Berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, seseorang yang berusia di bawah 18 tahun, tidak boleh dikenakan hukuman mati. Hukuman yang tersedia untuk kanak-kanak bawah umur walaupun mereka melakukan kesalahan bunuh yang sangat kejam sekali pun, mereka hanya akan ditahan selama mana diperkenankan oleh YDPA sebagaimana peruntukan Seksyen 97 (2) Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen tersebut menyatakan "sebagai ganti hukuman mati, Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya seseorang yang disabitkan atas sesuatu kesalahan ditahan di penjara selama yang diperkenankan oleh, (a) YDPA jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Labuan, (b) Raja atau Yang Di Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di negeri itu.

Kes pembunuhan kejam yang pernah berlaku dalam negara ini yang dilakukan oleh kanak-kanak ialah pembunuhan seorang budak perempuan berusia 11 tahun pada tahun 2002. Pembunuhnya ialah seorang budak lelaki berusia 12 tahun dan 9 bulan. Puncanya, dia diejek "gemuk" oleh mangsa lalu berlaku perbalahan antara dua kanak-kanak ini yang kemudiannya ditikam kira-kira 20 kali dengan kejam. Keluarga mangsa tidak mendapat sebarang ganti rugi berdasarkan undang-undang negara ini, manakala pembunuh itu ditahan selama mana diperkenankan oleh YDPA.

Keadaan ini akan menjadi berbeza jika sekiranya undang-undang negara ini selari dengan undang-undang jenayah Islam. Ini kerana, jika usia 15 tahun digunakan sebagai umur baligh, sekurang-kurangnya 5 orang dari 7 orang itu bakal berhadapan dengan hukuman qisas jika cukup bukti untuk didakwa di mahkamah.

عَرَضَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ فِي الْقِتَالِ، وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْنِي، وَعَرَضَنِي يَوْمَ الْخَنْدَقِ، وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَنِي، قَالَ نَافِعٌ: فَقَدِمْتُ عَلَى عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ وَهُوَ يَوْمَئِذٍ خَلِيفَةٌ، فَحَدَّثْتُهُ هَذَا الْحَدِيثَ، فَقَالَ: «إِنَّ هَذَا لَحَدٌّ بَيْنَ الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ

”Aku dihadapkan kepada Rasulullah SAW ketika perang Uhud, yang ketika itu usiaku empat belas tahun. Namun Baginda tidak mengizinkan aku. Kemudian aku dihadapkan sekali lagi kepada Baginda dalam perang Khandaq, ketika itu umurku telah mencapai lima belas tahun. Baginda pun mengizinkanku”. Nafi' (perawi hadis ini) berkata : "Aku menghadap Umar bin Abdul Aziz, pada waktu itu beliau memegang jawatan khalifah, lalu aku menceritakan hadis ini, lalu beliau (Umar bin Abdul Aziz) berkata : "Sesungguhnya ini adalah batas antara orang yang masih kecil dan sudah dewasa". (Sahih Bukhari, no.2664 dan Sahih Muslim, no.1868)

Imam Nawawi menyatakan bahawa hadis ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa umur baligh adalah 15 tahun. Ini adalah qaul muktamad mazhab Syafie, juga selari dengan pendapat beberapa ulama lain seperti Imam Al-Auzaie, Imam Ahmad dan lain-lain. Baligh pada usia 15 tahun juga adalah selari dengan keputusan Jawatankuasa Kekal Bagi Kajian Ilmiyyah dan Fatwa, Arab Saudi. Namun begitu, terdapat juga pendapat lain yang menetapkan umur baligh adalah 18 tahun. Jika, usia 18 tahun diambil kira maka ia selari dengan Akta Kanak-Kanak 2001. Hanya seorang sahaja daripada 7 suspek tersebut yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Jika sekiranya (andaian saya) kesemua 7 suspek ini dituduh dengan kesalahan membunuh dengan sengaja berdasarkan undang-undang jenayah Islam, dan usia 18 tahun adalah usia baligh, maka hanya seorang yang bakal berhadapan dengan hukuman qisas, manakala baki 6 orang tertakluk kepada diyat (wang ganti rugi). Secara umumnya, ganti rugi satu nyawa adalah sekitar RM700,000.00. Dalam kes ini sebanyak 23 nyawa yang terlibat (21 pelajar dan 2 guru). Ini bermakna diyat yang mungkin terlibat boleh mencecah RM16 juta.

Jika usia 15 tahun digunakan sebagai umur baligh, 5 orang akan berhadapan dengan qisas. Jika tumbuhnya bulu kemaluan dijadikan ukuran baligh, kemungkinan hanya seorang sahaja yang boleh terlepas daripada qisas.

Walau bagaimanapun kes seperti ini, fakta lengkapnya hanya diketahui oleh pihak berkuasa terlibat termasuk PDRM dan pihak pendakwa. Pelbagai pertuduhan boleh dikenakan berdasarkan undang-undang sedia ada. Antaranya, Seksyen 302, Kanun Keseksaan, membunuh dengan sengaja, Seksyen 304, membunuh tanpa niat, Seksyen 435, Kanun Keseksaan, khianat dengan menggunakan api dan sebagainya.

Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik kesabaran dan sebaik-baik pahala kepada semua mangsa dan keluarga mereka. - sumber asal

1 comment:

  1. Gue nak hantar anak ke tahfiz yang ada fire extinguisher, pak guard + post kawalan, sistem penggera, CCTV, alat pemadam api paling asas macam pasir, pagar keliling berkawat duri + tombak tajam, ada fire drill, ada pemantauan orang luar keluar-masuk, alat pemecah pintu seperti kapak, burglar alarm, alarm bangun subuh, pintu / tangga / laluan kecemasan, intercom, gril tingkap berselak kunci, selimut kalis api ehh... banyak sangat safety ke???

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa