Monday, September 25, 2017

Gelar 'gila roket': Siapa sebenarnya bermain api?

Gelar Kim 'gila roket', serangan ke atas Amerika sudah tidak dapat dielakkan lagi
Reuters |  September 24, 2017 09:43 MYT
Gelar Kim 'gila roket', serangan ke atas Amerika sudah tidak dapat dielakkan lagi
Korea Utara telah mengumumkan bahawa penyerangan terhadap Amerika Syarikat, pasti akan berlaku kerana Presiden Donald Trump telah melabelkan Kim Jong Un sebagai 'rocket man'.
NEW YORK: Korea Utara mengeluarkan amara bahawa serangan roket ke atas  bumi Amerika Syarikat, sudah ‘tidak dapat dielakkan’ lagi selepas Presiden Donald Trump melabelkan pemimpin negara itu Kim Jong Un sebagai 'orang gila roket' atau ‘rocket man’.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong Ho, semasa ucapannya di Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu.

Ucapan itu dilakukan hanya beberapa jam selepas pesawat pengebom Lancer Amerika Syarikat, Air Force B-1B, terbang di ruang udara antarabangsa di timur perairan Korea Utara, untuk menunjukkan keupayaan ketenteraan Pentagon yang bersedia menerima arahan dari Trump.
“Oleh kerana Trump tiada pengetahuan asas dan sentimen yang betul, beliau cuba menghina pemimpin negara saya dengan memangil beliau ‘gila roket’. Dengan membuat kenyataan itu, beliau telah melakukan satu kesilapan yang tidak boleh ditarik balik dan kehadiran ‘roket-roket’ kami ke Amerika Syarikat pasti akan berlaku.

“Trump sendiri berada dalam ‘misi bunuh diri’. Sekiranya ada orang awam di Amerika Syarikat terkorban dalam serangan ini, Trump perlu bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, Trump mengumumkan sekatan baru negara itu dengan membenarkan penyasaran syarikat dan institusi yang membiayai dan memudahkan perdagangan dengan Korea Utara.

Awal bulan ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah sebulat suara mengenakan sekatan kesembilan ke atas Pyongyang untuk membendung program-program peluru berpandu nuklear dan balistik.

Ri juga memberi amaran bahawa Pyongyang bersedia mempertahankan dirinya jika Amerika Syarikat menunjukkan sebarang tanda dengan sengaja menjalankan "operasi pemusnahan di ibu pejabat atau serangan ketenteraan terhadap Korea Utara".

Korea Utara telah melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu tahun ini, di mana beberapa daripadanya  terbang melintasi ruang udara Jepun.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa