Sunday, September 24, 2017

Isu yang menyakitkan hati yang tak kian habis

Remaja ditahan cuba buang bayi hasil hubungan dengan teman lelaki
Astro Awani |  September 23, 2017 21:21 MYT
Remaja ditahan cuba buang bayi hasil hubungan dengan teman lelaki
Warga emas menemui bayi seberat 3.1 kilogram yang baru dilahirkan, di beranda rumahnya, dengan kesan darah. Astro AWANI
BATU PAHAT: Seorang remaja 19 tahun ditahan polis hari ini susulan cubaan menyembunyikan kelahiran bayinya di sebuah rumah di Kampung Lubok Semerah, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Abdul Wahib Musa berkata, soal siasat mendapati remaja perempuan itu mengaku melahirkan bayi perempuan hasil hubungan sulitnya bersama teman lelaki pada 12.30 tengah malam tadi.

"Suspek sakit perut dan telah pergi ke seberang jalan di hadapan rumahnya. Selepas melahirkan, bayi tersebut ditinggalkan di sebuah rumah yang penghuninya tiada di rumah ketika kejadian.
"Bayi itu ditinggalkan, manakala tali pusat dan uri dibuang di tepi rumahnya," katanya.
Abdul Wahib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mendapat panggilan dari seorang warga emas pada 7.45 pagi Sabtu.

Dia yang juga pemilik rumah berkenaan melaporkan menemui bayi baru dilahirkan di beranda rumahnya dengan kesan darah.

Katanya, keadaan bayi seberat 3.1 kilogram itu semasa ditemui dalam keadaan sihat dan stabil.

Suspek dan bayi telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk rawatan kesihatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi tersebut.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda atau keduanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa