Saturday, September 30, 2017

Selepas gagal di US: Kenyataan Media Pemuda AMANAH Nasional

SELEPAS GAGAL YAKINKAN RAKYAT DENGAN LAWATAN KE AMERIKA SYARIKAT, PERDANA MENTERI TERPAKSA BERALIH KEPADA INDIA

1. Kenyataan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak bahawa kadar GST sebanyak 6% di negara ini rendah jika dibandingkan dengan negara India adalah suatu kenyataan terdesak Perdana Menteri dalam mendapatkan keyakinan rakyat.

2. Perdana Menteri yang sebelum ini terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam usaha beliau membersihkan namanya yang dikaitkan sebagai MO1 yang menjadi antara subjek utama dalam siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan Biro Siasatan Persekutuan berkaitan skandal berskala mega 1MDB, sedar bahawa usaha tersebut ternyata gagal.

3. Pertemuan tersebut yang diharapkan dapat mengembalikan keyakinan rakyat ternyata meleset dan ditertawakan rakyat kerana alasan beliau untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat dengan dana hampir AS$24 bilion (RM100 bilion) tidak sedikitpun meringankan beban hidup rakyat di negara ini sedangkan wang sebanyak itu seharusnya digunakan bagi memulihkan ekonomi negara. Ironinya, dari manakah sumber kewangan kerajaan bagi membina infrastruktur di Amerika Syarikat sedangkan kerajaan terpaksa berhutang kepada kerajaan China untuk projek infrastruktur tempatan seperti Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ERCL) sebanyak RM55 bilion.

4. Setelah sedar permainan politik beliau tidak berjaya, Perdana Menteri beralih pula kepada India, tetapi bukan dengan nada yang bermegah tetapi nada menghina kononnya rakyat negara ini tidak perlu marah dengan pelaksanaan GST kerana kadar GST di India jauh lebih tinggi iaiti 28%.

5. Namun, setelah tiada lagi panglima kabinetnya yang sanggup merendahkan kredibiliti masing-masing, Perdana Menteri sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan yang dilihat naif oleh rakyat. Tiada lagi suara-suara seperti Datuk Ahmad Maslan yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa GST akan mengurangkan harga barang. Ternyata, kenyataan tersebut meleset setelah 2 tahun pelaksanaan GST, harga barang semakin melonjak naik. Kini, Perdana Menteri sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan seumpama itu di mana beliau gagal melakukan kaji selidik berkaitan fakta lengkap pelaksanaan GST di India. Jelas, Perdana Menteri semakin terdesak dan kehilangan sokongan menteri kabinetnya.

6. Hakikatnya, pelaksanaan GST di India jauh berbeza dengan dasar GST kerajaan Barisan Nasional. GST di India berbeza kadar bermula 5% sehingga kadar 28% dan kadar 28% hanya dikenakan pada barangan tertentu seperti penghawa dingin dan peti sejuk yang melibatkan kenaikan 5% daripada cukai semasa 23% serta perjudian serta tidak melibatkan  sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan. Secara realitinya, golongan berpendapatan rendah di India tidak merasai GST.  Berbeza dengan dasar GST di negara ini, hampir kesemua barangan dan perkhidmatan dikenakan GST dan ditanggung oleh kesemua segmen rakyat tanpa mengira kelas dan tempat.

7. Justeru, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) sekali lagi membuat desakan agar GST dihapuskan untuk meringankan beban rakyat. Cukai regresif ini tidak pun membantu rakyat di mana dalam masa kerajaan mengutip GST hampir RM42 bilion setahun, subsidi komoditi rakyat seperti minyak, minyak masak, gula dan beras  ditarikbalik dan bajet bidang ekonomi utama negara seperti pendidikan dan kesihatan dipotong.

8. Perdana Menteri digesa untuk tidak terus menjustifikasikan GST dengan membuat perbandingan dengan negara asing sedangkan masalah utama rakyat akibat tekanan GST tidak diselesaikan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak.

Menggalas Harapan Perubahan
#PemudaBekerja

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

(26 September 2017)

Pautan Rasmi: https://www.fb.com/pemudaamanahnasional/photos/a.1489635611336596.1073741827.1489057944727696/1765139330452888/?type=3&theater

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa