Sunday, September 17, 2017

'Sesudah selut di kakiku kering...'

 Anne Muhammad      16 Sep 2017, 9:57 malam      Hari ini, 3:21 pagi
Untuk dua tiga hari ini ada wartawan yang tidak mendapat tidur yang biasa. Mereka - seperti aku - ditakdirkan membuat laporan mengenai kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu mengorbankan 23 orang, dan sejumlah yang lain cedera.

Letih dan lesu sebu menjadi satu.

Semuanya bermula pada pagi Khamis lalu. Aku sepatutnya ke pejabat pada hari seperti selalu. Tidak ada tugasan khusus pada pagi itu.

Tapi, awal pagi itu tidurku dikejutkan dengan panggilan daripada editor yang meminta aku pergi ke pusat tahfiz tersebut.

“Siap-siap jurugambar, ramai yang mati,” katanya.

Pesanan itu membawa aku bingkas bangun, bersiap seadanya dan segera ke tempat kejadian.

Jarak antara rumah dan tempat kejadian hanya 16 kilometer tapi disebabkan keadaan trafik pagi, aku terpaksa mengambil masa lebih 40 minit untuk tiba.
Jenazah sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Apa yang tinggal ketika aku sampai di situ hanya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sedang membuat penyiasatan, polis yang mengawal keadaan dan ahli keluarga mangsa.

Aku terpaku melihat bangunan tiga tingkat itu. Paling atas kelihatan rosak teruk dimakan api. Mataku berkaca, hatiku marah. Bagaimana ia boleh berlaku?

Aku masuk ke surau bersebelahan pusat tahfiz bagi mencari keluarga mangsa. Pandanganku tertumpu ke arah seorang seorang wanita berbaju oren, bertudung kelabu di sudut paling hujung.

Dia menangis sendirian.

Tanpa berfikir panjang, aku menghampiri dan menyapanya.

Wanita itu, Norhayati Karim, bercerita anak lelakinya Amiel Ashraf Abd Rasid adalah salah seorang pelajar yang maut pagi itu.

Suara hati anak

Tapi yang paling terkesan baginya ialah, Amiel Ashraf mengirimkan pesanan kepadanya kurang 12 jam sebelum itu. Maka jadilah ia nota terakhir daripada Amiel Ashraf untuk ibunya.

Antara kandungan nota itu, Amiel meluahkan rasa sayangnya kepada kedua ibu bapa, serta tujuan dia masuk ke tahfiz adalah membantu mereka ke syurga.
“Ibu ayah, Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu ayah, Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini.

"Amiel tak tahu macam mana nak balas jasa budi ayah dan ibu, hanya ini sahaja yang Amiel mampu (iaitu) masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga firdaus,” kata Amiel.

Tulisan anak berusia 11 tahun ini bukan sahaja membuatku runtun, mataku juga tak dapat ditahan daripada berkaca.

Aku juga sempat menemu ramah beberapa mangsa yang terselamat termasuk pengetua pusat tahfiz itu, Muhammad Zahid Mahmod, menyifatkan kesemua pelajarnya yang maut dalam kebakaran berkenaan sebagai mati syahid.

Sedang aku leka menulis hampir empat berita mengenai kejadian itu, aku sempat menjeling ke arah tingkat tiga pusat tahfiz itu. Kelihatan anggota bomba sedang membawa dua anjing pengesan ke arah dua tong gas masak berwarna kuning.

“Eh, tong gas datang dari mana?” soalku kepada rakan-rakan wartawan lain yang sedang leka menulis berita.

Kami semua terpaku. Ya kami akan tanya bomba selepas ini mengenai kemunculan dua tong gas itu.

Pondok Pak Ya

Bomba mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas serta mengesahkan mengenai penemuan dua tong gas.

Hujan mulai turun. Aku menghabiskan sisa-sisa akhir tulisan pada hari itu dan pada jam 6 petang, aku pulang dengan rasa lesu.
Malam itu, aku caj sehingga penuh segala kelengkapan elektronik kerana esok adalah hari panjang dan kes ini nampaknya masih lama.

Jam 1.30 pagi. Biasanya aku sudah masuk ke mimpi yang kedua, namun malam itu tidurku tidak lena kerana masih terkenangkan kejadian yang menimpa anak-anak yang tidak berdosa.

Jumaat, 15 September: Pagi itu, seawal jam 9 tugasanku bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pulapol, Kuala Lumpur dalam acara Transformasi Nasional 50 (TN50).

Seperti biasa, dalam sidang media dipenuhi dengan ramai pengamal media dari merata agensi yang ingin bertanyakan mengenai kejadian di pusat tahfiz itu.

Zahid menjadi tumpuan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengadakan lawatan di AS.

Kata Zahid kerajaan persekutuan tidak boleh mengambil alih sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat  kerana ia di bawah bidang kuasa negeri dan ia dihormati.
Selain itu Zahid berkata laporan dan syor yang pernah dikemukakan kepada kerajaan mengenai kebakaran di Yan, Kedah 28 tahun lalu boleh dijadikan panduan untuk mengelak lebih banyak tragedi menimpa pusat tahfiz

Pada 22 September 1989, sebuah bangunan asrama perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah dijilat api dan mengorbankan 27 pelajar.

Selesai menemui Zahid, aku memandu ke tahfiz itu semula bagi melihat keadaan. Ternyata pada hari kedua keadaannya masih sama – dikunjungi orang ramai, pihak keselamatan dan pengamal media.

Dan tentu sedihnya tetap ada di mana-mana.

Aku fikir, tidak ada banyak berita yang aku akan dapat lalu aku mengambil keputusan untuk ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Taman Batu Muda, di ibu negara.


Aku dimaklumkan, kesemua jenazah sudah dikenal pasti dan 11 daripadanya akan dikebumikan di situ.

Hujan mulai turun, namun tanah perkuburan itu tetap dikunjungi ahli keluarga, orang awam serta pengamal media.

Pada jam 6.25 petang, jenazah Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri adalah yang pertama tiba, tidak lama kemudian jenazah-jenazah yang lain tiba.

Azan Maghrib pun berkumandang, urusan pengebumian tetap dijalankan dan semuanya tamat pada jam 8.04 malam.

Hari itu, kasutku penuh dengan selut dari tanah perkuburan, melekat pada seluar dan pakaianku.

Tapi itu bukanlah perkara besar buatku apabila melihat banyak hati yang hiba dan menangis sayu mengenangkan insan tersayang pergi sekelip mata.

Seorang lelaki turut kelihatan memeluk erat batu nisan, manakala disatu sudut seorang ibu curi-curi mengelap air matanya. Sungguh, hatiku tersentuh.

Dalam diam aku berdoa mereka kekal tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Hujan terus turun - di luar dan di dalam. Yang diluar membasahkan bumi, dan di dalam menenggelamkan hati.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa