Friday, September 29, 2017

Tempat kita ada berlaku gini?

Anggota kabinet Trump bayar balik kos jet peribadi
TMI  -  Diterbitkan pada 29 Sep 2017 6:58AM
Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS Tom Price berkata beliau akan membayar balik duit rakyat yang terpakai untuk perjalanannya menggunakan pesawat peribadi selama ini. – Gambar EPA, 29 September, 2017.

SEORANG anggota kabinet Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan tidak lagi akan menggunakan pesawat peribadi untuk apa juga urusan dan membayar balik semua duit rakyat yang terpakai untuk perjalanannya selama ini.

Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Tom Price membuat pengumuman itu susulan pendedahan portal berita Politico mengenai 24 penerbangannya sejak Mei lepas yang menelan kos AS$400,000 (kira-kira RM1.7 juta).

"Hari ini saya akan keluarkan cek peribadi kepada Perbendaharaan AS untuk perbelanjaan penerbangan saya dengan pesawat peribadi yang disewa.

"Pembayar cukai tidak akan bayar satu sen pun untuk tempat duduk saya dalam pesawat itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Isu itu mula mendapat perhatian susulan laporan mendedahkan beberapa setiausaha dalam kabinet presiden, termasuk Price menggunakan pesawat peribadi menerusi pembiayaan negara.

Penyiasat Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Sumber Manusia sedang menyiasat keputusan Price untuk menggunakan pesawat peribadi, bukannya penerbangan komersial.

Politico pada awal bulan ini mula melaporkan mengenai Price menggunakan pesawat peribadi, dan laporan susulan menyatakan setiausaha itu berbuat demikian untuk sekurang-kurangnya 24 penerbangan sejak Mei, memetik kenyataan beberapa individu yang tahu mengenai perjalanannya.

Kebanyakan penerbangan Price ialah ke bandar-bandar utama yang ada rangkaian pesawat komersial lebih murah, termasuk Nashville, Philadelphia dan San Diego.

Menurut laporan Politico, Price mencampuradukkan urusan rasminya dengan peribadi dalam beberapa perjalanan itu.

Keputusan Price untuk memulangkan kos tambang pesawatnya itu saja mungkin tidak memuaskan hati wakil rakyat Democratic yang mengecamnya kerana membelanjakan wang pembayar cukai dengan sesuka hati, tetapi pada masa sama memotong program insurans kesihatan untuk warga Amerika berpendapatan rendah.

Price, wakil rakyat Georgia sejak lebih sedekad lalu, sekian lama membantah program kesihatan Obamacare yang diperkenalkan bekas presiden Barack Obama.

Sebagai bekas pengerusi Jawatankuasa Bajet Dewan, beliau menawarkan beberapa pelan yang akan memansuhkan undang-undang kesihatan 2010 dan menarik balik program kelayakan penjagaan kesihatan.

Trump pada Rabu berkata “kita lihat dulu” ketika ditanya jika beliau akan memecat Price susulan laporan beliau menggunakan wang pembayar cukai menggunakan pesawat peribadi bagi menjalankan tugas rasmi.

Presiden itu berkata beliau tidak suka dengan amalan yang dilakukan oleh beberapa anggota kabinetnya.

Bagaimanapun, pegawai White House berkata Trump masih belum ada perancangan untuk menyingkirkan Price daripada kabinetnya. – 29 September, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa