Monday, September 25, 2017

Ucapan Najib itu hanya untuk meraih undi - Pemimpin kaum India

Najib hanya buat gimik, kata pemimpin kaum India
Muzliza Mustafa
Diterbitkan pada 24 Sep 2017 7:59PM
Hakikatnya tidak banyak yang Najib lakukan untuk membangunkan sosio-ekonomi masyarakat India, kata mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2017.

DAKWAAN  Perdana Menteri Najib Razak yang beliau "Bapa Pembangunan India" pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC pagi tadi hanya terpakai kepada ahli-ahli parti itu dan bukan untuk keseluruhan masyarakat India, kata pemimpin-pemimpin India.

"Dia boleh cakap seperti itu di depan ahli-ahli MIC dan mereka akan percaya cakapnya. Tapi cubalah cakap di depan seluruh masyarakat India. Dia tak akan berani. Semasa dia pegang banyak jawatan penting dalam kerajaan sebelum menjadi perdana menteri, apa yang dia buat untuk masyarakat India? Tak ada. Malah Pelan Tindakan India Malaysia (MIB) hanya di atas kertas, ia bukan satu polisi," kata Presiden RAPAT, A. Rajaretinam.

MIB yang dilancarkan pada April merupakan pelan tindakan 10 tahun bagi memperkasakan komuniti India di Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakaan peruntukan sebanyak RM500 juta di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) khas untuk kumpulan B40 di kalangan masyarakat India dan pelepasan khas untuk memberi kewarganegaraan kepada orang India yang tinggal atau dilahirkan di Tanah Melayu sebelum 1957.

"Pelan tindakan itu tidak disahkan di Parlimen. Pemberian dana bila-bila masa saja boleh dipotong jika kerajaan tiada duit untuk laksanakan rancangan itu. Bagi saya, itu cuma atas kertas," katanya.

Tambahnya lagi, ucapan Najib itu hanya untuk meraih undi.

"Sejak 2007 lagi MIC hilang tarikannya kepada komuniti India. Corak pengundian mereka pun sudah berubah sejak 2008 dan hingga sekarang," kata Rajaretinam.

Sementara itu bagi Pengerusi HINDRAF P. Waytha Moorthy, dakwaan Najib itu menggelikan hati.

"Mungkin dia adalah bapa kleptokrasi dan bapa pembangunan napolean mini dalam kalangan kepimpinan MIC," kata Waytha Moorthy.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum 2008, Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet bagi Masyarakat India. Kemudian, menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) pada 2010 selepas menjadi perdana menteri.

"Perdana menteri terkenal dengan merancang dan mewujudkan unit-unit baru tetapi tiada pelaksanaan atau pun ia akan diserahkan kepada pemimpin-pemimpin tua yang menjahanamkan masyarakat India sejak 60 tahun yang lalu.

"Lagipun ini semua tidak dibuat secara rasmi atau terikat dengan jabatan perancangan kerajaan walaupun berada di bawah Jabatan Perdana Menteri," kata Waytha Moorthy lagi.

HINDRAF sebelum ini katanya telah membuat perjanjian dengan kerajaan untuk masyarakat India tetapi membatalkannya lapan bulan kemudian selepas mendapati kerajaan kembali kepada tabiat lama.

Waytha berkata lagi yang kerajaan telah membaiki dan menyalin semula pelan tindakan HINDRAF dan meletakkan nama Pelan Tindakan India Malaysia pada April 2017 untuk sekali lagi memperdayakan masyarakat India.

"Selepas hampir 10 tahun sejak Najib menjadi perdana menteri, kita telah kembali kepada asal tanpa sebarang penyelesaian jangka panjang untuk masyarakat India supaya setanding dengan pembangunan negara," kata Waytha Moorthy.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata rakyat Malaysia memerlukan seorang perdana menteri yang berusaha untuk pembangunan semua rakyat dan mewujudkan peluang untuk semua, bukan hanya untuk masyarakat India.

Dan masyarakat India di bawah Umno - malah di bawah Dr Mahathir Mohamad - menderita disebabkan dasar mendahulukan Melayu.

Pada masa ini katanya, masyarakat India terutamanya golongan Bawah 40 (B40) menderita miskin teruk kerana kegagalan dasar-dasar Umno dan Barisan Nasional yang hanya mewujudkan peluang kepada golongan kaya.

"Saya lihat Melayu, Cina dan India yang miskin di pejabat saya di Klang setiap Khamis. Ramai yang tak mampu beri keluarga makan, sekolahkan anak atau bayar kos perubatan.

"Kita tengok Najib menarik perhatian orang Cina dan India sejak beberapa bulan ini sebagai petunjuk jelas pilihan raya akan diadakan tak lama lagi.

"Najib mesti faham, kita tak perlukan seorang bapa tapi kita perlukan seorang perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia." – 24 September, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa