Tuesday, October 10, 2017

Aku rasa kata-kata ini lebih kepada amaran kepada yang seumpamanya

Mufti Perlis sindir Kassim Ahmad?
TMI  -  Diterbitkan pada 10 Oct 2017 9:17PM
Catatan Dr Asri di Facebook mengenai cara pengebumian mengikut hadis itu kelihatan menyindir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin didakwa menyindir Kassim Ahmad, yang meninggal dunia hari ini, kerana pendirian cendekiawan Melayu-Islam itu berhubung kedudukan hadis sebagai sumber perundangan Islam.

Menggunakan laman Facebook rasminya DrMaza.com, Asri menulis pengurusan jenazah tidak disebut dalam Al-Quran secara terperinci.

Kenyataannya ini, walaupun tidak menamakan Kassim secara langsung, dilihat sebagai menyindir Kassim yang semasa hidupnya dituduh sebagai seorang yang anti hadis.

“Cara pengurusan jenazah secara terperinci disebutkan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w.

“Maka, untuk menguruskan jenazah memerlukan hadis-hadis yang thabit dari Nabi s.a.w. Ertinya, Muslim sebenarnya memerlukan hadis-hadis Nabi s.a.w. dalam banyak perincian amalan hidupnya,” tulis Asri hari ini.

Tulisan Asri itu dimuat naik sekitar tengahari, kira-kira dua jam selepas Kassim meninggal dunia di Hospital Besar Kulim pukul 10 pagi hari ini setelah tidak sedarkan diri sejak awal pagi semalam.

Kassim mencetuskan kontroversi dalam kalangan golongan agama berfikiran konservatif apabila bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula” yang terbit pada 1986 mengupas hadis secara kritikal.

Beliau antara lain mengkritik kelemahan hadis sebagai sumber hukum termasuk mengkritik proses periwayatan hadis serta menonjolkan percanggahan antara hadis dengan Al-Quran, sains dan sejarah.

Pandangan Kassim itu menyebabkan beliau menjadi mangsa apabila diputarbelitkan dengan mendakwa kononnya beliau membawa satu fahaman baru yang mengajak umat Islam menolak semua hadis.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada Asri tetapi belum berhasil

Tulisan Asri itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

Aliff Ashraf yang menulis komentar terhadap kenyataan Asri di Facebook kesal dengan tulisan mufti itu yang "sebagai mujtahid dan intelektual Islam" sepatutnya mengucapkan hal-hal yang baik tentang orang yang sudah meninggal dunia.

Katanya, Kassim sudah menulis secara ilmiah tentang kajian hadis yang sehingga hari ini tidak dipatahkan oleh golongan ulama.

“Nampaknya you sendiri tak ikut apa yang Nabi buat pada musuh/orang yang berbeza pendapat," tulis Aliff.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Amirul Mukminin pula menulis: “Daripada Aishah r.a: Nabi s.a.w. bersabda: Janganlah kalian mencela orang-orang yang sudah mati, karena mereka itu sudah sampai kepada apa yang telah mereka lakukan (Riwayat Bukhari).”

Tidak kurang juga ada pengguna Facebook yang menyokong tulisan Asri.

“Kita nak tengok juga bagaimana golongan anti hadis nak uruskan jenazah rakan mereka guna al Quran sahaja, tanpa merujuk hadis,” tulis Ahmad Fairuz Saad.

Jenazah Kassim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan di Masjid Al-Huda di Kulim, Kedah selepas Maghrib, malam ini.

Kassim menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun. Beliau sebelum itu dirawat di Hospital Besar Kulim kerana masalah jangkitan paru-paru.

Shauqi sebelum ini dilaporkan berkata bapanya yang uzur dan berkerusi mengalami tekanan kerana naik turun mahkamah setelah didakwa menghina Islam oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.

Hanya dua bulan lepas, Mahkamah Syariah melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan tersebut.

Kassim mengharungi cabaran selama tiga tahun selepas dituduh menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan oleh Wilayah Persekutuan dalam sebuah seminar pada Februari 2014.

Beliau ditangkap di rumahnya di Kulim, Kedah pada Mac 2014. Beliau dibawa ke Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan itu.

Selepas Mahkamah Rayuan pada Disember 2015 dan Mahkamah Persekutuan pada Mac 2016 memutuskan tindakan Jawi itu bercanggah dengan undang-undang, pendakwa syariah kemudian pada 7 Ogos lepas menggugurkan tuduhan terhadap Kassim. – 10 Oktober, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa