Wednesday, October 25, 2017

Donald Trump dibaling bendera Rusia

Donald Trump dibaling bendera Rusia di Capitol Hill
Astro Awani dan Idzham Mispan
Agensi |  Diterbitkan pada Oktober 25, 2017 15:45 MYT
Donald Trump dibaling beberapa bendera Rusia oleh seorang penunjuk perasaan sewaktu beliau dalam perjalanan untuk makan tengah hari bersama Senat Republik di Capitol Hill.- Gambar Fail

CAPITOL HILL: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terus menerima kecaman dan terbaharu beliau dibaling beberapa bendera Rusia oleh seorang penunjuk perasaan sewaktu dalam perjalanan untuk makan tengah hari bersama Senat Republik di Capitol Hill, semalam.

Trump dilihat sedang berjalan untuk makan tengah hari sebelum seorang lelaki yang berdiri di kelompok media, menyamar sebagai wartawan, melempar bendera itu kepada Trump dan Ketua Majoriti Senat, Mitch McConnell, R-Ky.

Sumber: Youtube

Trump bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut malah hanya bertindak balas dengan memberikan isyarat ‘thumbs up’.

Lelaki yang membaling bendera tersebut kemudian berjaya ditahan dan dikenali sebagai Ryan Clayton.

“Trump pengkhianat! Presiden ini telah berkomplot dengan agen-agen kerajaan Rusia! Kita harus bercakap mengenai pengkhianatan di Kongres, bukan tentang pemotongan cukai,” jerit Clayton sebelum pihak berkuasa menahan beliau.

Presiden Amerika Syarikat itu tidak berada dalam keadaan berbahaya, namun insiden tersebut menunjukkan kelopongan kawalan keselamatan.

Orang awam sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke dalam Capitol Hill sewenang-wenangnya. Sedangkan pihak media sekali pun harus melalui pemeriksaan keselamatan dan memerlukan kad pengenalan media untuk membolehkan mereka bergerak di dalam kawasan itu.

Selain itu, turut didengari di dalam video Clayton menjerit, mendedahkan diri beliau sebagai ejen perisik ‘American Takes Action’.

Kumpulan itu mengidentifikasikan di laman web bahawa mereka ‘rangkaian populasi yang percaya bahawa kerajaan Amerika harus mewakili semua rakyat bahawa ekonomi negara patut berfungsi untuk mereka, dan internet perlu tetap bebas dan terbuka untuk generasi yang akan datang’.

Berikutan kejadian itu, Clayton ditahan oleh polis Capitol Amerika Syarikat, yang mendakwa beliau melakukan tingkah laku yang melanggar undang-undang.

Clayton turut melakukan hal sedemikian dalam kejadian Julai lalu.

Pada 24 Julai, seorang lelaki yang berdiri bersama dengan kelompok wartawan yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Ryan Clayton bersama American Takes Action’ yang cuba menyerahkan bendera Rusia kepada Jared Kushner dan meminta Kushner menandatanganinya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa