Saturday, October 28, 2017

‘Golongan agama rasa diri suci’ buat MP Pas panas punggung

HUSIN MAHAT  -  October 26, 2017 4:40 pm
Mohamed Hanipa Maidin

Ekoran membangkitkan fenomena sesetengah golongan agama yang “merasakan diri mereka suci”, perbahasan Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) dicelah dua ahli parlimen Pas yang mahukan penjelasan.

Ketika bangun membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017 yang dibentangkan Menteri Kesihatan bagi bacaan kali ke-2 pada sidang Dewan Rakyat, pagi tadi, Hanipa berkata sekarang ini wujud golongan agama yang merasakan diri mereka suci.

Kenyataan beliau itu menyebabkan Datuk Dr Khairudin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) bangkit mahukah kepastian siapakah ‘golongan agama’ yang dimaksudkan Hanipa.

Tanpa ragu-ragu, Hanipa menjawab, “Pas!”

Ini menyebabkan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) bangun dan berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk mengkritik golongan agama tetapi jangan mempersenda.

Hanipa bersetuju dengan saranan Nasrudin namun menegaskan bahawa ‘golongan agama’ sendiri yang meletakkan diri mereka untuk dipersenda.

Beliau memberi contoh bagaimana ada golongan agama mendakwa saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap beberapa individu warga Malaysia sebagai satu ‘campur tangan asing’.

“Kenyataan (seperti) ini bagi saya yang menyebabkan golongan agama dipersenda,” kata Hanipa.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa