Monday, October 16, 2017

‘Islam Fasis’ cabaran baru negara

Kemunculan ‘Islam Fasis’ cabaran baru negara
HUSEIN MAHAT  -  October 15, 2017 11:56 am
Khalid Samad

Fahaman ‘Islam Fasis’ adalah bertentangan dengan konsep Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam kerana fahaman ini seolah-olah menyatakan, “Islam adalah untuk orang Islam demi kepentingan orang Islam dan untuk menguasai yang bukan Islam”.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, apabila konsep demokrasi, hak asasi dan hak minoriti dipertikai oleh beberapa golongan Islam dan dianggap sebagai ciptaan dan rekaan tamadun Barat, kecenderungan terhadap sikap fasisme di kalangan pemuda Islam dilihat seolah-olah semakin meningkat.

“Sedangkan kesemua konsep ini selari dengan kehendak Islam, malahan diceduk dari tamadun Islam. Dengan berlakunya kefahaman songsang ini, ia menjadikan sikap pelampau dalam kata-kata dan tindakan yang semakin menjadi-jadi,” ujarnya.

Kesan daripada fahaman ini, beliau menambah wujud kecenderungan memaksa dan kurangnya kecenderungan untuk berbincang dengan kelompok yang berbeza kepentingan bagi mendapat persetujuan.

Ungkapan “kami majoriti”, “ini negara Islam”, “bukan Islam jangan campur” dan sebagainya, tambah beliau mencerminkan sikap tidak mahu ambil tahu pandangan golongan minoriti dan yang bukan Islam.

Malahan golongan minoriti, katanya turut dijadikan ‘bogeyman’ untuk mencetuskan kemarahan dan kebencian dengan golongan Islam yang membantah unsur-unsur fasis ini digelar liberal, pengkhianat dan sebagainya.


“Hasil dari itu kita mula melihat sikap semakin eksklusif atau ingin ‘menyucikan diri’ serta berpandang rendah terhadap golongan lain. Peristiwa gelas minuman yang diasingkan dan kedai dobi hanya untuk orang Islam adalah antara manifestasi sikap sebegitu. Sedangkan penyucian dari rasuah dan kleptokrasi tidak diendahkan kerana ianya bukan pertembungan Islam dengan bukan Islam,” ujar beliau.
Isu-isu pertembungan Islam-bukan Islam ini, jelas beliau menguntungkan golongan Islam fasis kerana pendekatan adu domba dan memaksa ini lebih berkesan dalam meluaskan pengaruh mereka di kalangan rakyat namun memberi kesan negatif dan mencemar imej Islam.

Menjelaskan tentang definisi fasis, Khalid berkata fasisme adalah sejenis fahaman haluan altra kanan atau nasionalisme yang ekstrem.

Tidak toleran

“Oleh itu ianya dikenali dari ciri-cirinya yang berjiwa sempit dan tidak menghiraukan prinsip-prinsip keadilan. Maka boleh dikatakan bahawa perjuangan ‘Fasisme’ merupakan perjuangan oleh satu kumpulan untuk mencapai penguasaan ke atas masyarakat dan negara demi kepentingan kumpulan tersebut semata-mata,” katanya.

Fasisme, jelas beliau bersifat eksklusif atau hanya untuk memenuhi visi kumpulan berkenaan dan tidak sama sekali mengendahkan kehendak mahupun kepentingan kumpulan lain.

Golongan fasis tambah Khalid adalah golongan yang tidak toleran terhadap pandangan dan kefahaman yang berbeza dan tidak merasa ragu-ragu untuk memaksakan pandangan mereka ke atas golongan lain walaupun secara kekerasan.

“Konsep ‘hak golongan minoriti’ dan ‘hak asasi manusia’ kesemuanya dirempuh tanpa merasa bersalah. Mereka memperalatkan kebencian dan kemarahan melalui isu-isu yang dibawa untuk mendapatkan sokongan. Pertembungan dan perbalahan adalah senjata mereka ke arah mendapatkan kuasa dan apabila mendapatnya mereka bersikap kuku besi,” ujarnya.

Menurutnya, golongan fasis mendapat justifikasi terhadap sikap angkuh dan rakus mereka sama ada melalui hujah keagamaan seperti golongan Zionis dan Klu Klux Klan atau bangsa seperti Nazi German.

“Golongan Zionis berpaksikan keyakinan bahawa mereka adalah bangsa pilihan Allah sambil falsafah Nazi German berteraskan konsep ‘Aryan super race’ iaitu keyakinan bahawa keturunan Aryan adalah bangsa utama dan berhak menjadi tuan ke atas semua bangsa lain.

“Begitu juga Klu Klux Klan mengambil justifikasi mereka dari konsep ‘ketuanan kulit putih’ dan pembelaan agama Kristian,” katanya.

Sehubungan itu, katanya dalam mengusahakan agenda politik mereka, kumpulan fasis ini tidak menghiraukan pandangan berbeza, malah secara terus terang menolak hak untuk berbeza pandangan.

Golongan fasis, ujar beliau menafikan hak minoriti dengan alasan ianya hak yang dimansuhkan atas kekuasaan majoriti.

Pendokong fasisme juga, jelas Khalid sering mewujudkan ‘musuh utama’ (bogeyman) yang direka dan diada-adakan bagi mempengaruhi masyarakat.

1 comment:

  1. Antara pinca kejatuhan morsi yang memerlukan Analisa, keinginan dominasi melampau

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa