Sunday, October 29, 2017

Menjelang PRU14: Menyatakan kebenaran, buat kerja dan bukan hanya tahu 'berkokok' - Mat Maslan

Jentera IT UMNO yakin menang perang maya PRU14
Diterbitkan pada Oktober 29, 2017 06:59 MYT
AHMAD: Kami tidak mahu kalah lagi pada PRU14 ini dalam peperangan media sosial...ini penting kerana kita (parti) yang membawa kebaikan, menyatakan kebenaran, buat kerja dan bukan hanya tahu 'berkokok'. -Gambar fail

SUNGAI PETANI: Barisan jentera teknologi maklumat (IT) UMNO meletakkan sepenuh keyakinan memenangi 'perang maya', khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO Malaysia merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata UMNO kalah dalam media sosial semasa PRU pada tahun 2008 dan 2013.

"Kami tidak mahu kalah lagi pada PRU14 ini dalam peperangan media sosial...ini penting kerana kita (parti) yang membawa kebaikan, menyatakan kebenaran, buat kerja dan bukan hanya tahu 'berkokok'.

"Oleh kerana itu jentera media sosial UMNO mesti menang dalam peperangan maya pada PRU akan datang, kami berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan perang maya PRU akan datang ini dimenangi UMNO dan Barisan Nasional (BN), dan saya yakin kami boleh menang," katanya selepas merasmikan Penutup Bengkel Teknikal Maya (BTM) Peringkat Negeri Kedah dan Perlis, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Biro UMNO negeri Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia, Datuk Noor Sabrina Mohd Noor; dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad.

Sementara itu, Ahmad turut mengingatkan semua jentera IT UMNO untuk tidak menyebar dan menularkan fitnah sebaliknya kebenaran yang membawa banyak manfaat kepada rakyat dan negara.

Dalam pada itu, katanya, dianggarkan seramai 2,000 jentera IT UMNO setiap bahagian akan berkumpul dalam Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 4 Nov ini, bagi mendengar pandangan dan nasihat mengenai persediaan menghadapi PRU14.

"Ini adalah satu lagi usaha kami selama setahun lapan bulan, apabila saya menjadi Pengerusi Biro IT, untuk memperkukuh barisan jentera IT UMNO dan program akan turut dihadiri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa