Thursday, November 16, 2017

Nazri bercakap isu diskriminasi di tempat kerja

'Bukan Muslim saja, Sikh pun jangan didiskriminasi'
Anne Mohammad      Hari ini, 11:49 am
Isu diskriminasi di hotel bukan melibatkan orang Islam sahaja, tetapi penganut agama lain juga, kata Menteri pelancongan dan kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Justeru, katanya, hak semua pihak akan dipertahankan jika terdapat diskriminasi di tempat kerja.

“Ini bukan soal pada orang Islam sahaja, orang Punjabi dan Sikh pun pakai serban, sebab itu tak ramai kerja di situ (Hotel antarabangsa).

“Sebab itu perkara menyebabkan ramai orang Punjabi dan Sikh tidak bekerja (di hotel).

“Kita akan monitor. Kita harap mana-mana pekerja yang diskriminasi sedemikian akan maklum pada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perlawanan Bola Keranjang Cina Sedunia ke-33 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, Selangor.

Komen itu dibuat selepas timbul isu mengenai terdapat pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

Sementara itu Nazri menyokong tindakan kerajaan yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen pengusaha hotel jika mereka didapati melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

Nazri berkata tindakan itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

“Memang betullah tu. Kita tidak boleh keluarkan syarat-syarat yang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Perkara itu tidak boleh dilakukan dihalalkan oleh undang-undang tubuh mereka.

“Jadi mana-mana yang hotel yang keluarkan arahan begitu, dia harus tarik balik. Kalau tidak kita akan ambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Semalam Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, menyarankan pihak PBT menarik balik lesen pengusaha hotel antarabangsa.

Isu larangan pekerja wanita Islam yang bertugas di bahagian depan hotel mengenakan tudung menjadi perhatian beberapa hari lalu apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) membuat pendedahan mengenainya.


Menurut Uni-MLC, larangan serupa turut dikenakan ke atas pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan amali.

Namun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan hotel berkenaan dan berkata ia sebahagian daripada dasar antarabangsa dan setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing.

Malaysiakini semalam menghubungi beberapa buah hotel lima bintang yang dikatakan mengamalkan amalan itu tetapi kesemuanya enggan mengulas kontroversi itu buat masa ini.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa