Wednesday, November 22, 2017

Pandangan S Arutchelvan (PSM): 'Perjalanan berbeza dua pemimpin kuku besi'

'Perjalanan berbeza dua pemimpin kuku besi'
mk      Hari ini, 1:55 pm
Susulan peletakan jawatan Robert Mugabe selaku presiden semalam, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan membuat perbandingan pemimpin paling lama memerintah Zimbabwe itu dengan perdana menteri paling lama mentadbir negara, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menyifatkan Mugabe dan Mahathir sebagai 'kawan baik', ahli jawatankuasa pusat PSM itu berkata kedua-duanya memerintah secara kuku besi.

"Pembangkang Mugabe dan Mahathir berkata mereka berdua berjaya dalam pilihan raya kerana penipuan. Kedua-duanya terkenal menggunakan kuasa dan menjadi lebih kuku besi semasa memerintah," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mahathir mentadbir negara sejak 1981 hingga 2003, manakala Mugabe menjadi perdana menteri Zimbabwe pada 1980-1987, dan presiden pada 1987-2017.

Beliau berkata, Mugabe ketika pemerintahannya merampas tanah orang putih yang kaya dan diberikan kepada masyarakat kulit hitam yang miskin, manakala Mahathir terkenal dengan kempen 'Buy British Last' dan dasar Pandang ke Timur.
Walaupun tidak menyatakan secara jelas, Arutchelvan membayangkan walaupun di sebalik persamaan itu, pendekatan politik dan pentadbiran kedua-duanya berbeza.

"Mugabe pejuang revolusioner yang dikenali melawan penjajahan di negaranya, Mahathir pula dikenali melawan Tunku Abdul Rahman yang dikenali sebagai Bapa Malaysia.

"Mugabe dipenjarakan 10 tahun kerana menuntut kemerdekaan untuk orang kulit hitam manakala ada berita bahawa Mahathir pernah ditahan sehari kerna melawan Tengku.

"Semasa pemerintahan, Mugabe berjaya memastikan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dinikmati oleh lebih ramai rakyatnya, manakala Mahathir terkenal menswastakan hospital dan pendidikan di Negara kita," katanya lagi.

Persimpangan berbeza

Mugabe meletakkan jawatan semalam selepas berhadapan pelbagai tekanan, termasuk rampasan kuasa tentera dan undi tidak percaya di Parlimen.
Menurut laporan, ia diraikan dengan meriah oleh sidang Parlimen yang sebelum ini telah memulakan proses untuk memecatnya.

Berbeza dengan Mugabe, Mahathir berundur daripada jawatan perdana menteri secara sukarela pada 2003, beberapa tahun selepas prestasi buruk Barisan Nasional dalam pilihan raya umum (PRU) 1999 ekoran gelombang Reformasi.

Namun itu tidak bermakna Mahathir berundur daripada politik.

Selepas memainkan peranan dalam pengunduran Tun Abdullah Badawi sebagai perdana menteri, beliau kini sekali lagi menjadi watak utama dalam penentangan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

"Mugabe hari ini meletak jawatan kerana desakan rakyat dan tentera, Mahathir pula kini mendesak Najib Razak meletak jawatan di negaranya," kata Arul lagi.

2 comments:

  1. Very energetic blog, I enjoyed that bit. Will there be a part 2?

    ReplyDelete
  2. magnificent points altogether, you simply gained a new reader.
    What could you suggest about your publish that you made a few days in the past?

    Any sure?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa