Tuesday, November 14, 2017

The Star pula cari penyakit!

Shafie tuntut The Star mohon maaf
mk      Hari ini, 9:33 am
Peguam kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal telah menghantar notis tuntutan kepada Star Media Group Berhad berkenaan satu laporan khas yang diterbitkan akhbar The Star pada 29 Oktober lalu.

Shafie mendakwa artikel bertajuk "MACC sifting through the flow of RM48 million cash" itu bersifat fitnah.

Notis tuntutan yang dihantar firma guaman Law Practice of Rafique semalam mendakwa laporan itu menjatuhkan reputasi Shafie, sedangkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai.

"Artikel itu membuat beberapa dakwaan yang membimbangkan, mengarut dan bernada fitnah," kata notis tersebut yang dilihat Malaysiakini.

Surat itu menyatakan yang maklumat dalam artikel itu "dalam siasatan" dan hanya boleh didedahkan jika bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu didakwa di mahkamah.

"Jelas yang artikel yang dipersoalkan ini mencemarkan reputasi Sahfie, yang bukan sahaja seorang anggota parlimen, tetapi pernah menjadi menteri kanan dalam kabinet (Datuk Seri) Najib Abdul Razak dan sekarang tokoh utama dalam landskap politik Sabah melalui Parti Warisan Sabah, parti baru yang hari demi hari mendapat sokongan," kata surat itu lagi.

Kata surat itu, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya, dan walaupun SPRM telah memberi amaran akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang membuat kenyataan di media, The Star tetap menerbitkan artikel itu dengan memetik sumber dalaman SPRM.

Dengan menerbitkan artikel itu, The Star dan SPRM telah menjejaskan proses undang-undang dan menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap Shafie dan merosakkan imejnya di mata umum, kata surat itu lagi.

"Justeru anda dituntut untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada anak guam kami pada 19 November ini, di muka depan akhbar Sunday Star dan memaklumkan kepada kami sumber maklumat anda.

"Tindakan undang-undang akan diambil jika (The Star) gagal berbuat demikian," kata surat itu lagi.

Salinan notis tuntutan itu dihantar kepada peguam Star Media Group, firma guaman Shear Delamore.

Shafie ditahan pada 19 Oktober lalu, dalam siasatan SPRM berhubung kes penyelewengan dana projek pembangunan luar bandar antara 2009 hingga 2015.

Selain Shafie, beberapa pemimpin Umno termasuk adiknya Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Yusof Apdal, serta beberapa pemimpin WARISAN, turut ditahan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa