Friday, December 1, 2017

Imej Mahathir di UUM pun berdepan tekanan

Institut bersempena Dr Mahathir di UUM berdepan tekanan

 | December 1, 2017
Pusat itu ditubuhkan pada 2003 sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir Mohamad yang kini mengepalai pembangkang.
Gelari Tun Dr Mahathir Mohamad di UUM tidak aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
PETALING JAYA: Lebih sedekad selepas ia ditubuhkan sebagai penghormatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, masa depan sebuah institut di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah kini terancam berikutan tekanan beberapa pihak, menurut sumber.
Ia berikutan spekulasi ada pihak tertentu mendesak Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) ditutup atas kaitannya dengan orang yang paling ke depan menentang kerajaan itu.
IPDM diumumkan pada 2003 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir yang bersara selepas 22 tahun memimpin kerajaan.
Sejak itu, institut itu menerbitkan pelbagai dokumen mengenai pemikiran Dr Mahathir, yang kini selaku pengerusi gabungan 4 parti pembangkang, Pakatan Harapan, secara terbuka mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tetapi pemeriksaan dengan kakitangan institut gagal menjernihkan spekulasi itu.
Sumber rapat dengan pihak universiti mengakui ada tekanan daripada pemimpin Umno setempat, tetapi enggan memberi butiran lanjut.
Umno bakal mengadakan perhimpunan agung parti minggu depan, dan melihat kepada amalan sebelum ini, perwakilan Kedah, sekiranya benar tidak berpuas hati dengan IPDM, mungkin akan menggunakan peluang itu untuk mengutarakan isu.
FMT difahamkan kini wujud kempen senyap untuk menyelamatkan IPDM yang mendapat sokongan para pelajar dan kakitangan di UUM.
Rak kosong di galeri yang ditujukan buat Dr Mahathir Mohamad.
Universiti itu selama ini terkenal dengan pengurusannnya yang dilihat rapat dengan Umno dan sangat mengawal pandangan anti-kerajaan.
Baru-baru ini, muatnaik di Twitter memaparkan pelajar UUM membuat pembentangan sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir. Ia turut menerima reaksi bekas pemimpin itu.
“Terima kasih anakanda. Jasa saya kecil sahaja jika nak dibandnigkan dengan rakyat Malaysia yang bekerja pagi dan malam untuk menyara hidup keluarga, keluarga yang akhirnya berbakti kepada negara,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir dan Najib mula bermusuhan sejak 2015 susulan kontroversi 1MDB. Setahun selepas itu, Dr Mahathir menjalinkan semula ikatan dengan bekas seteru utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menguatkan kerjasama melawan Barisan Nasional.
Sejak mereka mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan, gabungan 4 parti itu termasuk parti baharu Dr Mahathir, PPBM, sedang dalam usaha bertanding pada pilihan raya umum akan datang di bawah satu simbol.
Sumber memberitahu FMT, tekanan untuk menutup IPDM itu hanya kerana namanya.
Universiti itu juga mempunyai galeri dinamakan sempena Dr Mahathir, tetapi tidak aktif sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Tidak ada bahan dipamerkan di galeri itu. Saya pergi tengok dan dapati kosong,” kata sumber itu.
Ketua Umno Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin bagaimanapun tidak tahu menahu akan kempen oleh pemimpin partinya untuk menutup IPDM.
“Saya tidak ada maklumat tentang perkara itu. Ini pastinya bukan Pemuda Umno Kedah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa