Friday, December 15, 2017

Keluarga mahu hantar ahli patologi, penyiasat persendirian

Kematian model Belanda: Keluarga mahu hantar ahli patologi, penyiasat persendirian

  | December 14, 2017
Keluargfa Ivana Smit mahu mengumpul sejumlah RM24,000 untuk membiayai seorang ahli patologi dan penyiasat persendirian ke Malaysia.
GEORGE TOWN: Keluarga model Belanda yang maut selepas dikatakan terjatuh di sebuah kondominium di Kuala Lumpur minggu lalu memulakan kempen kutipan dana bagi menghantar ahli patologi dan penyiasat persendirian ke Malaysia untuk mencari “kebenaran”.
Ivana Esther Robert Smit, 18, ditemui mati di sebuah kondominium di pusat bandar Kuala Lumpur 7 Disember lepas.
Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan dibuka semula berikutan tekanan daripada keluarga mangsa dan Kedutaan Belanda.
Keluarga Ivana memulakan kempen kutipan dana untuk memperoleh €5,000 (RM24,113) untuk membiayai seorang ahli patologi Belanda dan seorang penyiasat Amerika Syarikat (AS) datang ke Malaysia untuk menentukan sama ada kematian gadis itu berlaku secara tidak sengaja atau mempunyai unsur jenayah.
Setakat 3.00 petang tadi, sejumlah €1,240 (RM5,979) telah dikutip.
“Sumbangan diperlukan untuk pembiayaan ahli patologi dan penyiasat yang akan ke Malaysia untuk menentukan punca kematian, sama ada ia kemalangan atau jenayah.
“Tolong bantu keluarga Smit untuk mengetahui fakta sebenar kematian anak perempuan, kakak dan anak saudara mereka, Ivana Smit,” tulis keluarga itu di halaman kutipan dana Belanda, Doneeractie.
Ivana meninggal dunia pada pagi 7 Disember selepas dia dikatakan terjatuh melalui tingkap dari unit kondominium di tingkat 20. Mayatnya ditemui di balkoni tingkat 6 CapSquare Residences di Jalan Dang Wangi.
Seorang lelaki AS dan isterinya warga Kazakhstan dikatakan bersama mangsa di kondominium itu selepas mereka keluar bersama pada malam sebelumnya.
Komunikasi terakhir Ivana adalah dengan teman lelakinya pada jam 7.30 pagi pada 7 Disember.
Keluarga mangsa curiga mengenai keadaan yang menimpanya, mendakwa Ivana mempunyai tanda dan lebam di lehernya yang kelihatan seperti “cap jari”, lapor portal berita Belanda, Algemeen Dagblad (AD).
Bapa mangsa, Marcel Smit, memberitahu AD, tidak mungkin Ivana jatuh secara tidak sengaja dari balkoni kondominium itu kerana birainya mencapai ketinggian 1.21 meter sedangkan Ivana setinggi 1.81 meter.
Pada mulanya, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata beliau tidak mengesyaki sebarang jenayah.
Laporan itu juga mengatakan Ivana mati disebabkan pengaruh alkohol dan dadah.
Selasa lepas, Shaharuddin berkata kes itu disiasat semula kerana keluarganya mencurigai kematian Ivana, lapor theSun Daily.
“Kes itu masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut buat masa sekarang. Bagaimanapun, jika kita menemui bukti terdapatnya unsur jenayah dalam kematiannya, kita akan mengklasifikasikan semula kes itu.
“Setakat ini kita masih belum menemuinya dan kami juga menunggu laporan penuh hasil bedah siasat,” katanya lapor akhbar itu.
Ivana, seorang warga Belanda, membesar dan belajar di Pulau Pinang kerana dia berada di bawah jagaan neneknya sejak berumur 3 tahun.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa