Friday, December 1, 2017

Satu lagi serangan terhadap Azmin?

Tangkapan SPRM hanya satu lagi serangan terhadap Azmin
Nabihah Hamid, Radzi Razak  · Diterbitkan pada 30 Nov 2017 10:18PM
Pemimpin Pakatan Harapan berkata tangkapan anak saudara Mohamed Azmin Ali atas tuduhan rasuah hanya satu lagi serangan terhadap menteri besar itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017

TANGKAPAN anak saudara lelaki kepada Mohamed Azmin Ali atas tuduhan rasuah dalam kes perlombongan pasir nampaknya satu lagi serangan terhadap menteri besar itu dan pentadbiran negeri Pakatan Harapan (PH), menjelang pilihan raya umum, kata pemimpin PH.

“Kita sudah masak dengan sepak terajang serangan (lawan) khusus di ambang PRU14  . Saya ramal akan ada serangan lagi disasarkan pada Azmin," kata Setiausaha Publisiti DAP Selangor Ng Suee Lim ketika dihubungi The Malaysian Insight.

SPRM semalam menahan anak saudara Azmin dan tiga lagi individu untuk direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti perlombongan pasir haram.

Mereka yang ditahan adalah dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak dan seorang eksekutif syarikat pengiklanan.

SPRM juga membekukan beberapa akaun yang dimiliki oleh syarikat itu, melibatkan sejumlah RM4 juta.

Menurut sumber rapat dengan Kumpulan Semesta Sendirian Berhad iaitu syarikat berkaitan negeri yang memonopoli perlombongan pasir di negeri itu mengesahkan semua yang direman dikatakan terlibat dengan kegiatan curi pasir di kawasan seluas 40 hektar di ladang sawit di Sungai Long, Hulu Langat antara 2010 hingga 2013.

"Tapi kami tidak pasti lagi, kertas siasatan sudah pun dibuka SPRM sejak 2013 lalu," katanya kepada The Malaysian Insight tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun status kes itu masih tidak diketahui.

Sementara itu, seorang lagi sumber rapat dengan Pejabat Menteri Besar Selangor berkata setakat ini, Azmin dan pegawai kanannya masih "selamat” susulan siasatan SPRM menjurus kepada mereka yang memberi tender pasir kepada beberapa individu yang sedang atau telah disiasat agensi kerajaan itu.

"Azmin tidak terlibat dalam jawatankuasa tender,  " katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan kerajaan negeri Selangor pula berkata SPRM kemungkinan menyasarkan ahli politik PKR di negeri Selangor yang mempunyai kaitan langsung dengan pemberian tender atau mendapat manfaat daripada mereka yang ditahan.

"Mungkin mereka yang ditahan ini akan bertindak sebagai saksi, mungkin mereka nak tahan pemimpin PKR tinggi di negeri ini," katanya yang enggan dinamakan.

Awal hari ini, Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong dalam kenyataannya mempersoalkan "permainan konspirasi" yang mengaitkan Azmin dalam kes ini oleh blogger tidak bernama.

"Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger Umno sebelum penahanan tersebut dilakukan jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat memburukkan reputasi MB dan Selangor menjelang PRU14," katanya.

Beberapa blog dua hari lalu "membayangkan" SPRM akan membuat beberapa tangkapan di Selangor.

Blog captainmgs.blogspot.my Selasa lalu menyatakan "SPRM akan menggempur Selangor sebuah negeri syurga kepada rasuah, jenayah dan salah guna kuasa.

Satu poster menampilkan gambar Azmin dan setiausaha sulitnya, Hilman Idham turut diletakkan dengan tulisan "SPRM serbu Selangor rasuah berleluasa. Lombong pasir atau kilang haram."

Sementara itu, Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata tidak adil untuk menghukum Azmin.

"Yang ditahan anak saudara MB. Bukan MB. Ahli politik tidak bertanggungjawab ke atas skandal ahli keluarganya melainkan jika ada penyalahgunaan kuasa di kalangan ahli politik dalam memperkayakan saudara-mara mereka.

"Dari laporan berita, saya fikir ia adalah tidak adil untuk melaporkannya seolah-olah Azmin adalah orang yang ditahan. Biarkan SPRM menjalankan tugas mereka," katanya menerusi WhatsApp. – 30 November, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa