Saturday, June 14, 2008

Kemana Arahku Nanti

Entah aku ahli UMNO lagi atau tidak, aku tak tahu. Tapi dah lebih 10 tahun aku tak pernah bayar yuran. Keahlian aku sah atau tidak aku sudah tidak mahu ambil tahu. Sudah lama aku di persimpangan wadah politik. Di sekelilingku nampak bercelaru!.

Mengikut sejarah, wadah politikku sering berubah. Mungkin disebabkan oleh keadaan semasa. Semasa aku di tingkatan enam mungkin pada masa itu aku muda dan berjiwa rebelious, maka aku penyokong PRM (Parti Kepala Kerbau), pada masa itu Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali cukup terkenal di kalangan orang-orang muda. Selepas itu bila PAS ditendang keluar daripada BN aku menjadi ahli PAS dan pada pilihanraya selepas mageran di Kelantan, aku adalah penceramah sekarela PAS berkempen. Pada masa itu aku sanggup bertumbuk kerana PAS. Selepas itu aku telah pegang beberapa jawatan di peringkat Ranting/Cawangan dan DUN di dalam PAS.

Malangnya selepas PAS memenangi pilihanraya di Kelantan pada tahun 1990, aku istihar diri keluar PAS dan masuk UMNO. Peristiwa ini dilaporkan di Berita Harian dan Utusan Malaysia siap dengan gambar sekali. Penghijrahan ini berlaku disebabkan tidak puas hati dan terkilan dengan perangai rakus dan berebut-rebut meterial di kalangan ketua-ketua PAS di peringkat pertengahan dan cawangan seperti perebutan harta rampasan perang. Aku sangat kecewa dan terasa sangat-sangat, seolah-olah mereka hanya memakai topeng Islam yang kononnya ikhlas berjuang kerana Allah, tetapi ghanimah yang direbutkan, sedangkan aku dan isteri bertungkus lumus dengan tenaga dan kewangan membantu PAS. Kad kredit aku terhutang. Kad kredit isteri aku juga terhutang. Kereta aku ku jadikan seolah-olah kereta parti semasa berkempen sedangkan minyak aku tanggung. Pun begitu aku tak minta sesen pun dari PAS. Bagi aku itu tidak penting, aku ikhlas. Tetapi kalau aku ikhlas dan tidak berniat apa-apa balasan, kenapa orang lain tidak.

Yang paling mengecewakan aku ialah keadaan yang menimpa Ketua Pemuda aku. Ketika itu beliau tidak bekerja tetapi sudah beristeri dan mempunyai anak. Aku cuba minta pertolongan dari kerajaan PAS yang sudah di bentuk ketika itu bagi pihak Ketua Pemuda tadi. Tapi dikecewakan, yang mnedapat syafaat adalah orang-orang yang aku ceritakan di atas tadi dan para kroninya.

Kerana peristiwa itu, selepas itu aku berfikir " kalau semua orang tamakkan dunia tidak kira di dalam PAS atau UMNO, kenapa aku jadi bodoh. Di dalam UMNO kan dunianya lebih luas dan lebih mewah. Kalau aku masuk UMNO yang banyak meterial, peluang aku untuk tolong orang kampung lebih luas dan lebih lumayan. Kalau aku ikhlas nak tolong orang kampung kenapa tidak aku masuk UMNO saja" . Lantaran itu aku masuk UMNO dan keahlianku diterima oleh Dato' Ahmad Rastom Dato' Haji Ahmad Maher sendiri yang ketika itu beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu dan bekas TMB Kelantan.

Tapi sekarang bila UMNO sudah berubah menjadi Perompak dan Penindas rakyat di bawah PM sekarang, aku memang dah tidak ada hati lagi terhadap UMNO. Tambahan pula UMNO sudah tidak mampu nak jaga Islam dan Melayu yang menjadi teras perjuangan diriku, aku menjadi seribu kali kecewa.

Tetapi yang menjadi aku keliru ialah semua wadah politik di semenajung ini, tidak boleh diharap. Di Malaysia Timur lagilah. UMNO dengan Twisternya, PAS dengan pendirian berubah-ubah dan PKR dengan cacamarbanya (istilah Mahathir). Kalau kekawan bloger sudi memberikan padangan saya sangat alu-alukan.

3 comments:

  1. Salam~

    Aku datang menyinggah. Orang Pas dulu rupanya. Lebih kurang aku juga lah cuma aku tak pernah masuk UMNO. Tak sangka, orang Pas pun banyak yang buat macam UMNO bila dah dapat kuasa. MUNGKIN sebilangan kecil sahaja kot!.

    Macam Mr Mountdweller, anggap sahajalah kita semua ni manusia biasa yang bukannya maksum. Bila dah dapat kekuasaan, barangkali ada jiwa-jiwa yang tersinar dengan material. Apapun, kalau kita dapati orang-orang macam ni sudah lupa diri dan gila kuasa, kita humban mereka balik.

    Akupun pernah tengok sekali Hj Hadi elok shj bersandar masuk ke Taman Melewar nak buat ceramah bila dia jadi MB dulu. Tersirap aku tengok dia. Dulu dia ada cerita yang Bapak M Natsir sanggup naik bas balik kampung tak pakai kereta kerajaan bila urusan peribadi. Begitu juga Hassan Turabiy di Sudan buat perkara yang sama bila pegang kekuasaan. Alih-alih, Hj Jadi dah lupa apa yang dia cerita.

    Barangkali, susah untuk mencari pemimpin yang cakap serupa bikin. Yang banyak, bikin tak serupa cakap.

    Ikhlas
    empangan-jernih.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Ha ha. Pening kepala nampaknya ya tuan!.

    Jangan gusar, berhenti seketika daripada berparti, saudara menulis dulu sebebas burung berkicau. InsyaALLAH tulisan saudara dapat memberi panduan dan pengajaran kepada pembaca.

    Salam takzim

    ReplyDelete
  3. Susah nak jumpa ikhlas dalam dunia nie.. Politik lagila susah...

    Kekadang saya nampak manusia kat dunia nie sudah menjadi terlampau materialistik dan terlampau duniawi sehingga melampau-lampau...

    Saya pun kekadang tu memang tak berkira pun duit-duit nie... Tetapi bila orang mula berkira dengan kita, kita pun terpaksal berkira dengan dia...

    Takkan dah tahu perangai orang macam tu, kita nak murah hati lagi kut?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa