Sunday, June 15, 2008

Peristiwa Berjalan Di tempat Yang Sama

Otak letih kerana kerja yang tak boleh beres di pejabat, semput dada kerana harga minyak. Kali ini saya nak beralih kepada satu peristiwa yang benar-benar berlaku dan saya alami sendiri. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1991, malam 23 Ogos, di perjalan turun dari Gunung Tahan.

Setelah empat hari mendaki melalui Kuala Tahan, kumpulan kami tiba di puncak Gunung Tahan pada jam 07:00 dari Kem Padang. Suhu terlalu sejuk sehingga sepasang Mat Salleh Belanda yang ikut kumpulan kami minta diri untuk turun duhulu kerana tidak tahan kesejukan . Saya sendiri walau pun pakai dua lapis baju di bahagian dalam iaitu singlet dan t-shirt lengan panjang dan di luar pula dengan lapisan wind-breaker masih lagi menggigil kesejukan. Selepas memanaskan air dan buat milo cecah biskut serta sekeping roti sebagai sarapan pagi kami bergambar dan menikmati keindahan di puncak alam anugerah Allah yang maha kuasa dan maha kaya. Sungguh indah, memang indah tidak terkata. Saya menangis kefanaan.

Jam 10:30 kami mula bertolak turun semula ke Kem Padang dan tiba Jam 13:00. Kami masak dan makan tengahari. Selepas solat zohor jamak dengan asar kami berlepas ke Kem Wray's dan destinasi kami sebenarnya adalah Kem Kuala Teku. Saya lebih suka trekking berseorangan sebab saya suka menikmati alam keliling dengan tenang dan berjalan santai sambil ambil angin. Jam 19:00 saya menuruni Gunung Tangga lima belas dan tiba di Kem Wray's pada jam19:45 dan bertemu dengan dua orang teman yang sedang berehat. Dari situ kami berjalan bertiga dan saya mengepalai kumpulan ini. Walau pun sudah gelap, kami masih lagi berjalan dengan rentak yang releks. Pada kami, paling tidak pun pada tengah malam kami boleh sampai ke Kem Kuala Teku dan tidur secukupnya untuk perjalanan pagi esok.

Pada jam 22:00 ketika sedang berjalan dan rancak bersembang tiba-tiba lampu suluh saya padam, mungkin kehabisan bateri sebab saya tukar bulb spare pun masih tidak mahu menyala. Berjalanlah kami menggunakan dua lampu. Sejurus kemudian lampu salah seorang kawan saya pula padam dan selang beberapa minit pula lampu ketiga juga padam. Pelik tapi benar! Saya keluarkan lilin dari bungkusan kecemasan saya dan kami berjalan dengan hanya diterangi cahaya lilin dalam gelap pekat rimba. Untuk mengelak dari lilin terpadam dihembus anign, saya ambil daun muda buat hadangan. Saya masih lagi mengepalai kumpulan ini. Kami teruskan perjalanan menurun, berjalan sehingga saya rasa letih. Yang peliknya kelakuan kawan-kawan saya tadi, sekejap mereka memotong saya untuk kehadapan. Sekejap lagi mereka berhenti dan biarkan saya potong, jadi saya pula berjalan di hadapan. Begitulah seterusnya sehingga beberapa kali keadaan ini berulang. Sekejap saya di depan, sekejap lagi saya dipotong mereka.

Jam sudah 00.15, tiba-tiba saya terasa pelik sebab saya sedar yang saya telah melangkah satu banir besar dan tinggi yang melintang trek, dan saya pasti kami sudah tiga kali melangkah banir yang sama. Barulah saya sedar yang kami telah berjalan di tempat yang sama hampir dua jam. Saya sedar yang kami telah dipermainkan oleh setan gunung. Saya mula meradang sebab sudah amat letih diperdayakan oleh setan laknat ini.

Setelah kami melepasi banir itu dalam jarak lima puluh meter, saya minta kawan saya yang dua orang lagi itu berhenti rehat. Air bekalan kami semuanya sudah habis dan yang tinggal hanya sebotol livita. Kami kongsi sebotol livita bertiga. Setalah minum dan berehat sekejap saya minta dua orang teman saya tadi tunggu di sini kerana saya akan naik kembali seorang diri ke lokasi banir tadi. Saya nekad saya akan lawan setan penunggu pokok besar itu. Saya teringat pesan arwah ayah saya, katanya kalau kita tahu yang kita telah diganggu, kita mesti teguhkan keyakinan dan kuatkan semangat dan dengan angkuh kita melawan. Jangan tunjuk yang kita takut. Sebab kalau kita takut setan akan lebih suka kerana dia sudah berjaya. Tetapi kalau kita tunjuk berani dan berlagak angkuh setan akan kecut perut. Ingat satu lagi pesan arwah ayah, setan memang bodoh dan senang diperdaya kalau kita berani.

Seketika mendaki saya sampai di banir tadi dan saya terus tendang banir tersebut sambil berkata dengan kasar dan kuat "Aku tahu kau cuba perdayakan aku malam ini, tapi jangan ingat aku takut. Engkau mesti lepaskan aku turun malam ini, kalau tidak aku bakar seluruh bukit ini bersekali dengan engkau. Aku tahu kau dijadikan dari api. Tetapi tengok ni, api memang makanan aku (sambil itu saya pasang api ke rokok dan saya hisap) kalau kau tidak percaya cubalah halang aku lagi. Aku akan kembali dan terus bakar dengan tidak ada amaran lagi" . Saya bertenggek di atas banir tadi menghisap rokok dan menghembuskan asap yang tebal berkepul ke udara. Selepas itu saya turun kembali ke tempat kawan-kawan menunggu tadi dan terus berjalan tanpa monoleh kebelakang. Jam 01:10 kami tiba di Kem Kuala Teku tanpa apa-apa gangguan dan berehat.

Perkara aneh juga berlaku di sini. Bila tiba di Kem Kuala Teku, saya dapati dua tiga orang kawan yang bertolak kemudian dari saya telah pun sampai di sini lebih dahulu sedangkan seingat saya mereka tidak pernah bertembung atau memotong kami di perjalanan tadi. Mereka juga hairan bagaimana mereka sampai dulu dan tidak pernah memotong kami, sedangkan kami bertolak lebih awal daripada mereka. Adakah kami hanyut ke laluan lain atau bagaimana? kalau kami hanyut ke laluan lain, macam mana pula saya boleh sampai ke Kem Kuala Teku? Sehingga sekarang saya ttidak mendapat jawapannya.

Semasa berehat sebelum tidur selepas mandi dan makan barulah dua orang kawan tadi buka cerita. Rupanya sesuatu yang pelik dan menakutkan berlaku kepada mereka berdua semasa saya mengepalai perjalan tadi. Apabila tiba di tempat banir besar tadi, sebaik saja mereka melangkah banir tersebut salah seorang daripada kawan tadi nampak satu tangan berbulu keluar dari banir dan memegang kakinya. Kakinya terlepas setelah dia menariknya dengan kuat. Yang seorang lagi pula, beg yang disandangnya ditarik oleh satu tangan berbulu yang entah keluar dari mana. Itulah sebabnya mereka berdua memotong saya untuk ke hadapan. Sekejap lagi bila mereka berada di hadapan dan saya di belakang, mereka rasa takut dan biarkan saya memotong supaya saya berada di hadapan mereka semula. Tapi yang anehnya saya tidak diganggu dan tidak diapa-apakan sehinggalah saya sedar kami sedang berjalan di tempat yang sama. Bila saya tanya mereka kenapa tidak beritahu saya lebih awal. Mereka kata mereka terlalu takut pada masa itu, nak beritahu saya pun mereka takut.

Itulah, petuanya bila kita tahu yang kita telah diganggu setan, kita jangan takut atau tunjuk takut. Kita tunjukkan yang kita tidak takut dan berani melawan. Gunakan helah untuk menipu setan. Kalau yang boleh baca doa-doa tertentu lagi bagus.

Insaya Allah kita jumpa lagi dan saya suka untuk kongsi bersama beberapa petua bila berada di hutan atau bukit.






5 comments:

  1. wahhh...hebatnya..tak sangka ekk..walaupun na baru kenal tapi syok juga baca cerita dalam blog ni...

    ReplyDelete
  2. ngerinya!tak sangka pengalaman berkhemah boleh jadi begitu menakutkan!

    ReplyDelete
  3. Fenomena yang saudara alami itu adalah bukan perkara yang asing bagi pendaki tegar atau peneroka hutan. Banyak cerita peristiwa seumpama itu yang didengar dari rakan-rakan pendaki atau orang-orang yang lama berkecimpung dalam kegiatan merentis hutan dan mendaki gunung.

    Saya sendiri telah mengalami beberapa peristiwa yang lebih kurang sama dengan apa yang saudara alami. Secara peribadi saya menanggapi situasi tersebut sebagai 'mainan hutan' yang berpunca dari dua faktor ;

    i. Faktor fizikal - pengaruh mukabumi, fisiologi dan psikologi pendaki yang mencetuskan kekeliruan fungsi pancaindera dan kecelaruan berfikir.

    ii. Faktor metafizika - campur tangan makhluk tuhan dari dimensi keempat.(Dunia jin boleh kita masuki sama ada secara sengaja dan tidak sengaja. Saya meyakini hal ini dan telah melalui beberapa pengalaman rohani dan jasmani).

    Peristiwa pertama saya berlaku pada tahun 1993 tatkala saya membuat perjalanan ke Gunung Tahan bersama seorang rakan (menurut petua orang-orang tua, meneroka dengan penyertaan ahli dalam bilangan angka genap boleh mengundang aral atau menghadapi masalah). Kami tiba di Kem Padang pada lewat petang dan bercadang untuk berehat dan makan malam disitu sebelum meneruskan perjalanan ke puncak.Di Kem padang pada masa itu terdapat sekumpulan pendaki dari France dan Sweden yang sudah beberapa hari berkampung disitu atas tujuan membuat penyelidikan saintifik. Guide yang mengiringi team penyelidik tersebut bersungguh-sungguh menasihati kami berdua agar bermalam bersama mereka di Kem Padang dan mendaki ke puncak Tahan pada pagi keesokannya atas faktor cuaca. Katanya kami bakal menghadapi ribut petir,kabus tebal dan suhu yang amat sejuk, berdasarkan kondisi semasa dan tanda-tanda perubahan cuaca yang kelihatan pada petang itu.

    Pada kami, semakin tinggi risiko dan cabaran, semakin tinggi nilai pengembaraan. Keputusan pada masa itu dibuat oleh hati muda yang membara, dengan jiwa yang terlalu yakin dan sudah pasti angkuh dan penuh dengan pemberontakan (Kami memasuki Taman Negara ketika itupun adalah secara haram, tanpa dipandu oleh guide).

    Selepas menunaikan fardhu maghrib dan rehat yang pendek, berbekalkan tenaga dari mee segera, kami meredah hutan bantut dalam gerimis kabus gunung dan suhu dingin yang menggigit tulang. Kami mengandaikan akan tiba di puncak dalam tempoh tidak lebih dari 4 jam (perjalanan biasa di siang hari adalah 3 jam). Selepas dua jam berjalan memasuki trek berpaya, sesuatu yang agak aneh berlaku. Telinga kami berdesing dan berdengung, kami bernafas tercungap-cungap seolah-olah kehabisan oksigen. Pasangan mendaki saya mula pening, sakit kepala dan muntah-muntah. Pada saya itu adalah gejala mabuk gunung pada altitude yang tinggi (Acute Mountain Sickness) dan jarang berlaku digunung yang berketinggian 7000'. Di Malaysia gejala ini sering dialami di Gunung Kinabalu (bermula di Mempening Hut) disebabkan oleh faktor altitude.

    Kami mengambil keputusan untuk berhenti rehat, sekiranya gejala masih berterusan langkah yang akan diambil ialah turun atau undur ke tempat yang lebih rendah (descend).

    Selepas hampir satu jam berehat,kami meneruskan perjalanan dalam trek yang berlumpur dan semakin menurun. Tepat jam 12 mlm (waktu yang sepatutnya kami tiba ke puncak), petir dan halilintar mula sabung menyabung, diikuti dengan hujan dan ribut yang sungguh dahsyat. Apa yang diramalkan oleh guide di Kem Padang telah benar-benar berlaku. Keinginan untuk melalui rintangan ini mula berbelah bagi apabila kawan saya mula menangis dan mendesak untuk berhenti dan memasang khemah perlindungan. Yang menghairankan saya ialah pergerakan kami yang semakin menurun, bukan mendaki, sepatutnya corak pergerakan adalah semakin menaik selepas 2 jam rentis dari Kem Padang. Saya mula merasakan ada sesuatu yang tak kena apabila berkali-kali melangkah kayu, lopak, dan memegang akar yang sama serta melepasi 3 penanda trek yang sama (trek ditanda dengan plat bulat dan empat segi yang dipakukan ke batang pokok dan ada reflex bila terkena suluhan lampu). Setiap kali melalui penanda trek, satu cahaya hijau seperti kunang-kunang sebesar syiling 20 sen akan terbang melintasi kami.
    Pergerakan kami seolah pergerakan ulang tayang yang berlaku melebihi tiga kali.

    Situasi yang begitu kritikal menyebabkan saya amat marah dan menjerit macam orang hilang akal. Secara spontan saya melaungkan azan seolah-olah ingin mengatasi bunyi petir yang berdentum diatas kepala kami. suasana pulih serta-merta sebaik sahaja azan selesai dilaungkan. Kami tiba di puncak selepas waktu subuh dan menyaksikan fajar sadiq diufuk timur.

    Pada saya apa yang berlaku itu adalah faktor metafizik yang melepasi logik akal. Saya melalui ujian tersebut dengan rasa yang insaf dan amat bersyukur, kerana dengannya saya mendapat banyak iktibar. Sesungguhnya apa yang telah ditakdirkan itu memberi hikmah yang tidak ternilai tidak dialami oleh semua orang.

    Peristiwa kedua berlaku di Gunung Tera (terletak dalam litar Gunung Gunung Saji, Gunung Che Tahir, Gunung Ayam dan Gunung Stong) pada tahun 1996. Saya bersama 3 orang rakan pendaki cuba menjejaki jalan pulang setelah 7 hari menyusur rentis yang separuh daripadanya adalah trek laluan gajah. Kami tiba di satu kawasan lepan (datar dan lapang)dan berehat sementara menunggu masuk waktu asar. Hal yang sama dengan peristiwa pertama telah berlaku apabila semua orang tiba-tiba sahaja berdesing telinga dan kepala rasa berdengung. Selepas solat asar, perjalanan diteruskan dengan menyusur lereng gunung. Selepas 1 jam, kami mula menyedari bahawa kami telah melalui lingkaran trek yang sama sebanyak 2 kali. Untuk mendapatkan pengesahan, kami berpecah dengan 2 orang meneruskan penjejakan, sementara 2 orang lagi menunggu di trek utama. Sungguh aneh apabila lingkaran yang dijejaki semakin membesar dan kami bergabung kembali menjelang tengah malam!

    Ada yang menamakan trek sebegini sebagai fenomena Lingkaran Naga. Saya membuat andaian bahawa faktor fizikal adalah penyebab kepada seseorang itu boleh terperangkap ke dalam Lingkaran Naga yang mencetuskan peristiwa berjalan di tempat yang sama.Pendaki yang kepenatan dan lemah semangat akan terpedaya dengan berjalan dalam satu lingkaran yang tak berkesudahan.

    Itu adalah antara pengalaman yang saya alami sendiri yang berkaitan dengan Peristiwa Berjalan Di Tempat Sama. Semoga pengalaman yang dialami sedikit sebanyak boleh dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada bukti kebesaran Tuhan - Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  4. Salam untuk semua.

    Maafkan saya kerana lambat respond.

    Sdr. rienamushkah,

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Insya Allah akan saya ceritakan banyak lagi pengalaman yang saya alami sendiri sepanjang lebih 20 tahun penglibatan saya di dalam aktiviti meredah hutan dan mendaki.

    sdr. erisya,

    Sebenarnya pengalaman begini adalah biasa bagi kami yang selalu ke hutan dan mendaki. Dah lali dengan ketakutan.

    Sdr. halimyaccob,

    Terima kasih kerana singgah di blog yang tidak seberapanya ini.

    Saudara juga kerap mengalami peristiwa begini rupanya. Saya takut juga pada mulanya nak ceritakan di blog ini nanti orang katakan saya saja mereka cerita untuk menyedapkan bacaan.

    Sebenarnya sepanjang trek ke gunung tahan sama ada dari kuala tahan atau pun kuala juram memang banyak tempat yang keras/puaka. Sepanjang 12 kali saya ke gunung tahan menggunakan kedua-dua laluan itu sudah banyak perkara yang saya alami tetapi alhamdulillah tidak pernah memudaratkan.

    Sesungguhnya maha suci Allah yang menguasai semesta alam.

    ReplyDelete
  5. bro mountdweller,

    byk info yg berfaedah kat dalam ni. seronok sy membacanye. kalau ade crite lg, tolong la critakan lagi. sy akan jd pembaca setia blog ni.

    sy juga adalah seorang penggemar aktiviti outdoor ni. dah lame sy tak wat aktivit ni sebab halangan kerja. kalau ade aktivit, tolong inform. mane la tau kalau2 sy dapat join!

    emel sy, apolosia_nd@yahoo.com

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa