Wednesday, September 3, 2008

Bicara Merdeka

Hari ini masuk hari ketiga umat islam di malaysia berpuasa. Tiga hari juga lepas sambut kemerdekaan. Namun saya masih tercari-cari apakah kita sudah merdeka? Memang di zaman saya kanak-kanak saya faham merdeka adalah kita bebas dari penjajahan Brittish tetapi bila saya sudah dewasa saya masih mencari apakah merdeka itu sebenarnya.

Dulu di masa anak-anak saya masih kecil saya galakkan mereka kibar bendera dan di kereta sendiri pun tegak berdiri bendera Malaysia kononnya menyambut hari merdeka. Kepada anak-anak memang mereka faham merdeka yang separuh masak ini adalah merdeka. Hanya merdeka dari penjajah orang putih! Itu saja fahaman mereka. Setakat itulah saja merdeka pada mereka sebab pada masa mereka masih kecil memang saya merdekakan mereka. Apa yang mereka hajati saya akan penuhi seadanya. Mereka juga bebas seadanya. Minda mereka juga bebas sebagaimana bebas minda kanak-kanak yang diberikan ruang untuk meluahkan rasa dan naluri kanak-kanak yang memang tidak akan mereka pendam. Tetapi bila anak-anak saya sudah dewasa mereka juga tertanya-tanya sebagaimana juga bapanya. Apakah hakikatnya kita merdeka?

Merdeka...merdeka.... merdeka... bagaikan burung tiung yang mengikut apa yang diucapkan oleh tuannya. Itu sajakah taraf kita? Itu sajakah taraf pemikiran manusia yang merdeka? Sedih, sungguh sedih kita ditanam dan dilekakan pemikiran kita oleh Pemerintah kita, oleh orang tua kita dan oleh kebodohan kita sendiri.

Merdekakah kita bila kebebasan kita diikat dengan berbagai-bagai akta yang mencerut leher? Merdekakah kita bila Agama Islam yang kita anuti juga dibelenggu? Kebebasan mengembangkannya di sekat? Merdekakah kita jika kebebasan berkata-kata kita juga dibisukan? Merdekakah kita bila ekonomi kita dijerut, perut diikat dengan kenaikan harga barangan yang tidak sepadan dengan pendapatan?

Merdekakah kita bila sambutan kemerdekaan yang disambut oleh anak-anak muda kita masih lagi berwadahkan orang putih? Merdekakah kita bila hiburan kebaratan disokong dan ibadah kita disekat? Bebaskah kita berceramah agama Islam yang kita sanjungi tidak sebebas sebagaimana bebasnya hiburan dengan penganjuran jutaan ringgit?

Rupanya merdeka yang disambut hanya sebagaimana berhimpunan untuk berpesta dan menonton perbarisan sahaja.

3 comments:

  1. Kita hanya akan Merdeka apabila kita tidak bergantung kepada 'manusia' yang lain. Setakat ini, rasanya belum.

    ReplyDelete
  2. kita kadang kala terlalu memperjuangkan kemerdekaan namun kita lupakan pengisian kemerdekaan itu sendiri.

    ReplyDelete
  3. Salam Mountdweller,

    Kalau merdeka dalam ertikata sebagai 'hamba ALLAH', saya terima titipan harimau-menaip di atas. Tetapi, 'makam' kita amat jauh untuk ke sana.

    Kita tidak dihijabkan daripada kesilapan duniawi. Semoga Allah mengampuni.

    Kalau merdeka dari sudut duniawi, 'mendaulatkan' kewujudan negara bangsa, saya kira kita amat jauh terhina.

    Justeru, perjuangan mendaulatkan negara bangsa mesti diteruskan.

    Salam takzim

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa