Tuesday, October 7, 2008

16 Sept. Tersasar, Sampai Bila Penantian Kita

Terlebih dahulu walau pun agak terlewat saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidul Fitri dan mohon ampun dan maaf kepada semua pembaca sekiranya terkasar bahasa dan sumbang kata-kata.

Saya juga memohon maaf kerana tidak dapat untuk update blog kerana masalah dengan streamyx sejak tiga empat hari sebelum raya lagi sehingga ke hari ini. Sudah tiga kali saya buat aduan tapi dok camtu jugak. Itulah sebenarnya tahap kebertanggung jawaban orang-orang kita di dalam melaksanakan kerja yang diamanahkan. Pengguna juga yang susah. Bayar tetap kena bayar. Posting ini pun saya gunakan Desktop kat pejabat.

Berbalik kita kepada isu sebenar apa yang saya perkatakan di posting ini:

Kita rakyat Malaysia telah saksikan target 16 Sept. untuk membentuk kerajaan baru Malaysia oleh Pakatan Rakyat/DSAI telah tersasar, malah sipi pun tidak maka dialihkan pula pada Okt. Apakah sasaran kali ini juga akan tersasar?. Pada saya peratusnya adalah kecil untuk kesampaian. Keyakinan rakyat juga sudah goyah. Kelangsungan debum debam di alam media sudah tidak berapa kedengaran lagi. Sudah mula lemah. Sesungguhnya bagi saya dari awal lagi tidak mengharapkan apa-apa walau gegak gempita seentero dunia DSAI dan PKR mewar-warkan akan membentuk kerajaan baru menjelang 16 Sept. 2008. Setelah DSAI mencapai kemengan di dalam PRK Permatang Pauh, suara ke arah itu semakin lantang. Semua rakyat terpesona dan termakan dengan harapan.

Setelah sasaran yang dibidik tersasar, bermacam-macam alasan pula yang dilaungkan dan sasaran pun diubah pula ke Okt. 2008. Pun bagi pandangan saya, target ini akan tersasar juga. Sebenarnya bukan isu lompat itu dongeng, tetapi yang ingin melompat itu adalah terdiri dari manusia pengecut. Isu lompat itu saya percaya, tetapi keberanian mereka yang berhasrat melompat itulah yang meragukan. Mereka tidak ada jati diri sebenarnya. Kalau ada pun mungkin banyak "senongehnya".

Di pihak PR pula satu hal lain. Kalau ye pun akan ada pembentukan kerajaan baru tetapi siapa akan jadi PM selain Anwar sekiranya terjadi apa-apa kepada beliau. Mana senarai kabinet bayangannya. Bagaimana bentuk dan cara pemilihan melantik menterinya. Pembaharuan ekonomi sebagaimana yang akan dilakukan untuk meringankan beban rakyat akibat kemeseletan ekonomi dunia dan impak kenaikan minyak baru-baru ini. Sebenarnya rakyat masih di dalam gelap di dalam hal itu.

Dari segi komposisi kaum juga menjadi tanda tanya. Berapakah MP Melayu, berapa orangkah MP Cina, berapa orang pula MP India dan etnik lain. Apakah pula dengan pembentukan kerajaan baru akan merugikan atau menguntungkan Melayu dan Islam. Kalau merugikan lebih baik katakan "tidak". Walau pun saya rasa saya ini liberal tetapi hakikatnya saya masih lagi Melayu dan yang penting saya adalah Islam. Seandainya kedua-dua elemen ini terpinggir, pasti saya katakan tidak. Tidak rela!

Saya juga setuju dengan apa yang diperkatakan oleh sdr. Wan Nordin Wan Yaacob di dalam Harakah daily pada 6 Okt. 2008 sebagaimana yang saya pastekan di bawah, mohon izin sdr. Wan Nordin :

Wan Nordin Wan Yaacob | nordinnasrawi@yahoo.com
Mon | Oct 06, 08 | 3:12:37 pm MYT

Banyak cakap-cakap politik termasuk di warung kopi mempertikai kegagalan usaha Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membentuk kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September lalu.

Walaupun pelbagai alasan diberikan, namun ada yang melihat sejak peristiwa 16 September tidak menjadi kenyataan mereka tidak lagi mengimpikan kerajaan baru jika tiada bukti kukuh yang boleh mengesahkan pembentukan atas dasar lompt parti.

Ia bukan bermaksud tidak menerima usaha Anwar namun, rakyat lebih mahu jika sesuatu yang dirancang itu bukan setakat untuk dihebahkan tetapi menuju kejayaan yang memberi keuntungan kepada rakyat.

Namun menilai semula titik bengit '16 September'yang kini menanti '16 Oktober' ada yang melihat sekiranya Pakatan Rakyat menerajui Malaysia ini, persoalannya samada Dato� Seri Anwar Ibrahim (DSAI) seorang yang layak menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya?

Pastinya di minda para penyokong Anwar, nama Ketua Umum KeADILan itu menjadi ratib untuk mengisi jawatan nombor satu negara kerana bagi mereka berdasarkan pengalaman Anwar benar layak mentadbir.

Begitupun ada yang secara jujur melihat bahawa untuk faedah kepada rakyat yang mahukan perubahan pimpinan kerajaan adalah lebih utama jika Pakatan Rakyat sementara membincangkan siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

Persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri seharusnya tidak timbul kerana pastinya muafakat antara parti-parti yang bersatu di bawah Pakatan Rakyat boleh menyelesaikan titik pertembungan yang kurang enak dibahaskan ini.

Paling penting yang menjadi misi utama ialah Pakatan Rakyat menerajui negara tatkala Barisan Nasional mengenakan pelbagai cubaan untuk menyekat Pakatan Rakyat daripada melakukan perubahan pemerintahan negara.

Dalam hal ini rakyat di peringkat bawahan melihat Anwar sebagai 'pencetus perubahan' seharusnya mengubah strategi dan mempelbagaikan strategi sesuai dengan perkembangan politik semasa serta sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu.

Ada yang sinis menyatakan adakah usaha membentuk kerajaan itu seolah-olah hanya mampu dilakukan Anwar berseorangan tanpa sokongan tiga pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat.

Tidak salah sekiranya dalam mewar-warkan angin perubahan ini, Anwar sepatutnya sudah menanamkan keyakinan kepada rakyat, penyokong dan ahli Pakatan Rakyat bahawa sekiranya apa-apa berlaku pada dirinya Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin untuk meneruskan agenda perubahan.

Malah Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber, professional dan berpengalaman untuk dilantik menjadi Perdana Menteri baik dari KeADILan, PAS, DAP atau mungkin dari mereka yang akan melompat parti.

Oleh kerana seolah-olah sekarang penyokong dan penentang Pakatan Rakyat ditanamkan dalam minda mereka hanya Anwar yang layak jadi Perdana Menteri, maka pelbagai tekanan terutamanya serangan peribadi dihadapkan ke atas Anwar.

Isu perkauman, isu kononnya kurang ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan Pakatan Rakyat dan isu kerjasama Anwar-USA dijadikan bahan semata-mata untuk menyekat naluri perubahan yang dikehendaki rakyat.

Ia belum ditambah lagi dengan momokan buruk media terhadap Anwar selain melagakan antara pemimpin DAP, PAS serta KeADILan.

Seharusnya Anwar dapat membaca permainan kotor kerajaan Umno/BN yang tidak mahu kerajaan yang mempunyai lubuk wang melalui Petronas, hasil bumi, cukai dan balak terlepas kepada Pakatan Rakyat.

Pengalaman 'terkena' pada tahun 1998 seharusnya menjadi pedoman kepada Anwar untuk mengatur strategi yang tidak hanya diterjemah di dada media sebaliknya menjadi realiti.

Satu formula kongsi kuasan haruslah diadakan untuk menangani isu ini dengan pembahagian jawatan kabinet dan jawatan Timbalan Menteri mengikut peratusan kaum sedia ada yang diamalkan Barisan Nasional, mengikut peratusan pengundi, mengikut peratusan kaum atau mengikut peratusan ahli parlimen dan seterusnya.

Selain dari itu kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat serta pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menilai prestasi setiap wakil rakyat dan ahli Parlimen mereka sejauh mana menjalankan tanggungjawab mereka.

Ini akan menunjukkan keseriusan dan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menerajui Malaysia secara amnya. - mr _

3 comments:

  1. Assalamualaikum Saudara,

    Satu Analysis yang baik dari Saudara.

    Memang kita akur, bercakap dan merancang memang senang tetapi hendak laksanakan satu hal lain. Dalam hal apa pun.

    Saya tidak pandai pasal politik tapi walauapa pun berlaku saya berdoa dan berharap PETRONAS atau apa apa khazanah Negara TIDAK AKAN JATUH pada tangan DAP.

    Betul Saudara, saya tidak dapat bayangkan apa akan berlaku..Waliyazubillah.
    Pasal Anwar saya tak nak komen. Saya bukan peminat dia.

    Saya hormat dia sebagai MP di Permatang Pauh, dia memang, itu hak dia. Pada pendapat peribadi saya kalau dia nak jadi PM pun tunggulah pada PRU 13 nanti. Apa yang nak kacau kerajaan BN sekarang yang dipilih rakyat dengan sah.

    Pejam Celik 4 tahun kejap saja. Bersabar sahajalah.

    Saya juga berpendapat 16hb September tidak berlaku kerana Allah swt tidak izinkan. Sebab belum rezeki Anwar lagi.

    WaAllahuAlam.

    ReplyDelete
  2. Bersempena dengan kedatangan Bulan Syawal, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua pembaca-pembaca blog yang budiman jika terdapat sebarang kesalahan atau tersinggung kata. Almaklumlah, kekadang tu bila beri komen tu tak toleh kiri kanan. Diharapkan kedatangan bulan Syawal kali ini akan dipenuhi dengan keberkatan dan keinsafan....

    ReplyDelete
  3. Salam Mountdweller,

    Target date 16092008 tersasar?? Mungkin ada hikmahnya... kita perlu yakin dengan Pencipta kita, dia Maha Mengetahui segala perjalanan alam semesta ini. Sebagai umat kita hanya perlu berdoa minta yang terbaik untuk kita.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa