Saturday, October 11, 2008

Peristiwa Di Gunung Rabung

Kami mula mendaki dari Sg. Milo jam 9.00 pagi. Pada jam 11.00 sebelum tiba di Bukit Sarsi, salah seorang peserta perempuan mengalami sesak nafas ekoran trek yang agak mencanak dan curam. Rupa-rupanya budak ini memang menghidap athma tetapi dirahsiakan dari kami. Setelah rawatan awal tidak memberikan kesan, saya minta Mad (seorang kakitangan JSJ, IPK Kelantan) menghantarnya ke bawah dan tunggu kami di bawah sehingga kami turun. Mad bersetuju dan kami meneruskan pendakian ke Kem Taman. Kali ini Along ikut bersama saya.

Lebih kurang jam 6.00 petang kami tiba di Kem Taman setelah berhempas pulas mendaki dan mengharungi lurah serta permatang. Setelah rehat dan reda dari penat, saya arahkan peserta mendirikan khemah, ambil bekalan air dan memasak untuk makan malam. Saliran air/anak sungai terdekat adalah lebih kurang 100m. dari Kem. Untuk keselamatan, mandi dan ambil bekalan air mesti dilakukan sebelum hari gelap.

Semasa peserta sedang mandi dan ambil bekalan air, saya turun ke salah satu gaung berhampiran yang agak dalam untuk mencari kayu mati dan kering untuk dibuat unggun pada sebelah malamnya. Unggun api perlu untuk menghindari binatang buas dan memanaskan badan. Di pergunungan cuaca memang sejuk. Sedang saya meredah ranting dan semak di lurah itu saya ternampak selonggok kasut yang hampir reput. Saya teringat yang tiga empat bulannya sebelum ini satu kumpulan mendaki dari Gua Musang gempar kerana semua anggota kumpulan itu kehilangan kasut sebelah seorang. Mengikut ceritanya pada malam itu ramai dari kumpulan pendaki itu main terup/berjudi dan buat bising. Walau pun ketuanya cuba melarang tetapi tidak diendahkan oleh ahli kumpulan itu. Malam itu setelah puas berjudi dan buat bising, masing-masing pun tidur dengan meninggalkan kasut masing-masing di luar khemah.

Bila mereka bangun pagi dan bersiap untuk ke puncak, mereka dapati kasut masing-masing hilang sebelah. Kalau ada yang kiri yang kanan hilang. Kalau ada yang sebelah kanan yang sebelah kiri hilang. Jadi kumpulan itu naik ke puncak dan turun dengan hanya memakai selipar. Mendaki dan menurun dengan memakai selipar memang menyeksakan. Itulah balasannya bila membuat onar di tempat orang.

Berbalik tentang saya di lurah itu. Setelah saya kumpulkan kayu mati yang dah kering, saya pun membawa naik ke Kem dengan memikul dan ada yang saya heret saja. Setelah saya mandi dan solat serta makan malam, saya hidupkan unggun api sambil bersembang sekeliling unggun. Setelah puas bersembang ada sebahagian dari peserta masuk khemah dan mula bising dengan radio dan menyanyi. Saya cuba larang supaya jangan bising. Hanya sekejap mereka diam dan mereka terus bising juga. Saya dah naik muak nak larang dan saya biarkan saja. Apa-apa nanti tanggung sendiri.

Lebih kurang jam 1.00 pagi tiba-tiba satu pokok yang sederhana besar di kem itu tidak semena-mena tumbang dan betul-betul menghempap khemah yang bising tadi. Semua penghuninya berada di dalam khemah. Saya bingkas dan terus meluru ke khemah itu. Khemah itu separuh ranap, nasib baik pokok itu tersangkut pada seutas akar besar dan tidak menghempap khemah itu sehingga ranap terus. Penghuninya alhamdulillah selamat, cuma terkejut. Pucat lesi semuanya. Saya tenteramkan mereka dan saya katakan itulah sebabnya saya larang dari buat bising tadi. Saya tahu di sini memang tempat orang.

Sebenarnya dalam jarak 20m dari Tapak Perkhemahan itu ada satu tanah datar yang cantik dengan pokok-pokok gelam separuh bonzai dihiasi dengan orkid yang bermacam jenis ditambah pula dengan tanahnya yang berlumut kasar dan tebal macam karpet. Lebih menggerunkan dengan suasana kabus yang nipis di celah-celah pokok. Tempat itu cukup bersih tanpa sampah dan daun kering seolah-olah dijaga dengan rapi oleh sesuatu entiti. Saya tahu itu adalah Taman mereka.

Setelah semuanya reda dan pulih semangat saya tolong baiki khemah dan arah mereka tidur. Saya pun tidur di khemah saya. Berhampiran di sebelah kiri saya adalah Along (anak sulung saya) dan di sebelah kiri Along adalah kawan sepejabat saya Kamal. Kami tidur dengan hanya membuat khemah terbuka dan ringkas. Saya lena dan semua orang lena. Tiba-tiba saya terkejut dengan suara yang bising seperti budak-budak bermain kejar-kejar di padang permainan. Saya bangun dan lihat jam, baru jam 3.00 pagi. Bulan terang. Tetapi suara itu masih lagi begitu, bising. Jaraknya dari kepala tidur saya hanya agak 2 meter saja. Tidak ada kelibat jasad manusia yang kelihatan. Hanya suara yang tidak saya fahami.

Saya pandang Along, Along tidur nyenyak tiba-tiba Kamal bersuara " Din, tidakkah mereka tersepak atau terpijak kepala kita?". Rupanya Kamal juga terjaga dan mendengarnya. Saya katakan yang jangan risau, mereka nampak kita tetapi kita saja yang tidak nampak mereka. Kami cuba layan tidur dan kami terlena sehinggalah jam 6.30 pagi. Bila pagi saya cuba mencari kesan jika ada. Tetapi memang langsung tidak ada kesan.

Lepas sarapan kami ke puncak dan minum pagi di puncak. Berehat dan terus turun ke tempat Mad dan budak perempuan athma itu menunggu. Kami tiba di tempat Mad menunggu pada jam 5.30 petang. Memang perjalanan menurun jauh lebih cepat dari mendaki.

8 comments:

  1. Seronok baca cerita tuan. Teringat masa tingkatan 4 & 5 selalu ikut program perkemahan. Pernah berbasikal dari KL ke Lumut. 2 hari 2 malam baru sampai. Pernah juga jumpa hantu bungkus masa sesi 'burung hantu' di kaki Gunung Ledang.

    Selepas bekerja tak dapat beri masa untuk aktiviti macam tu walau ada kawan2 yang masih aktif sampai sekarang.

    ReplyDelete
  2. Salam saudara mountdweller,
    Pengalaman yang menarik yang tidak dapat dibeli..tidak tercapai dgn pembacaan.Cuba membayangkan namun terbatas dgn akal yang bonzai.Teruskan berblogging..Ada ikhtibar yang boleh diboleh dimengerti

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Saudara,

    Memang saya ternanti-nanti pengalaman-pengalaman yang Saudara dan Along serta yang lain telah lalui dan kali ini pendakian di Gunung Rabung pula.

    Menarik sekali akan kes kasut kasut reput itu, memang budak budak ni kalau kita beri nasihat susah nak terima, bila dah rasa sendiri baru mahu dengar nasihat kita.

    ... dan apatah lagi Taman Bonzai dalam hutan tebal macam tu, indah rapi dibela ..... memang menyeramkan.. diselaputi kabus tebal. Sudah membayangkannya di fikiran saja pun meremang bulu roma!!

    Dan suara mereka bermain main dalam Taman Mereka!! Saya pasti Allah swt buka 'hijap" mata dan telinga hamba hambanya pada mereka mereka yang terpilih sahaja. Yang mampu menerimanya. Bukan semua orang boleh 'tahan' jika terlihat atau terdengar sesuatu yang lain dari kebiasaannya.

    Mengenai binatang buas di Gunung Rabung itu, pernahkah atau adakah pendaki pendaki yang pernah diserang oleh mereka? Dan apa agaknya akan jadi jika tiada unggun api??

    Tak dapat saya bayangkan betapa kecut perutnya jika kita berada dalam khemah dan mereka pula, (Pak Belang ke, yang betul betul Belang dan yang tak pandai menaip) berada disebelah khemah di tengah tengah gunung macam tu! Buat ditunggunya sebelah khemah sampai siang hari...

    Memang saya tak layak mendaki dan berkhemah dalam hutan belantara. Dengar cerita ini pun sudah Syukur Alhamdulillah.

    Terima Kasih lagi sekali Saudara.

    BarakaAllah fi ka.

    ReplyDelete
  4. rahsia alam...beribu lorong..pilih mana satu..terokainya..nah! ada sejuta keindahan sejuta kenikmatan kurniaan Yang Maha Suci!

    ReplyDelete
  5. Salam untuk semua,

    Tuan zaharjaafar:

    Pengalaman anda sudah cukup baik sebenar. setidak tidaknya merasai pengalan itu.

    Sdr mogen:

    Terima kasih di atas sokongan saudara

    Puan melayuangkat:

    Di gunung itu gajah dan harimau memang ada. Sebenarnya saya sudah dua kali dating dengan Pak Belang di gunung itu. Pertama semasa saya meneroka trek ke puncak gunung itu 16 belas tanun yang lalu. Ketika saya menebas/merintis jalan di satu lembah, harimau ini terkejut dan dia melompat dari tebing kanan saya ke tebing kiri saya betul-betul di atas kepala saya. Terkejut tetapi alhamdulillah tidak panik. Saya sempat arahkan kawan-kawan saya lari dan saya menyusul.
    Kali kedua beberapa tahun selepas itu saya turun dari puncak di waktu malam, hujan renyai-renyai dan agak berangin. Harimau itu sedang naik dan saya sedang turun. Kami bertembung di satu selekoh jalan. Harimau dan saya sama-sama terkejut. Harimau melompat ke jurang sebelah kiri saya dan saya arahkan teman-teman terus lari turun. Kejadian ini berlaku disebabkan angin bertiup dari arah harimau ke arah saya. Jadi harimau itu tidak berbau saya dan kawan-kawan, kebiasaannya deria bau bagi harimau cukup kuat dan dia akan mengelak dari bertembung dengan manusia.

    Walau apa pun setakat ini alhamdulillah tidak pernah lagi terdengar harimau di situ membaham manusia.

    Tuan mamak spicy:

    Terima kasih di atas kunjungan tuan.

    Untuk Wak:

    Alam dengan beribu rahsia. setakat ini saya baru menemui dua lorong yang berbeza tetapi menuju hakikat yang sama. Alhamdulillah.

    Banyak di dalam yang satu dan satu kepada yang banyak! betul tak wak? intipatinya di situkan?

    ReplyDelete
  6. Terima Kasih atas info bagaimana Harimau akan cuba mengelakkan dari bertemu dengan manusia.

    Amat menghargai sesuatu yang baru yang tahu ini. Selalu kita ingat harimau ni tak lain kerja nak kejar dan terkam kita saja.

    Salam.

    ReplyDelete
  7. Gunung Rabung dah banyak berubah... 10 tahun dulu aku cukup kagum dengan deretan pokok tualang gergasi yang berdiri megah di permatang yang berlumut,selepas trekking 2-3 jam.

    Kunjungan terakhir pada bulan Mei 2006 menyebabkan aku 'terkejut beruk' dengan perubahan trek akibat kerakusan nafsu manusia.Laluan pembalak yang kelihatan tidak diurus dengan cara yang sepatutnya menyebabkan trek pendakian sebelumnya lesap dan amat sukar untuk dikesan. kami kehilangan arah dan 'tersesat' 1 hari sebelum dapat mengesan pengujung trek pada hari keesokannya.

    Amat jelas mereka menjarah hasil hutan negeri Kelantan ini dengan begitu rakus. Terdapat laluan yang dibuat selaku mempersiapkan pembinaan lebuhraya 10 lorong! Kayu-kayan yang ditebang dan dibiarkan bergelimpangan didasar jurang mungkin bernilai mencecah jutaan RM. Runtuhan tebing, tinggalan sisa-sisa jentera dan suhu yang membahang meninggalkan rasa marah, sedih dan kesal yang amat sangat.

    Apalah ertinya leteran kepada budak-budak yang meninggalkan secebis kertas pembalut gula-gula di lantai hutan, berbanding dengan kerosakan yang telah dilakukan keatas Hutan Simpan Gunung Rabung.

    Aku tak pasti berapa lama pasangan tenuk yang masih merayau-rayau di kem Milo itu mampu bertahan. Rasanya tenuk laki bini itu lebih mulia daripada manusia yang tidak berupaya menanggung amanah.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa